Sunday, August 2, 2015

Benarlah RM2.6 bilion itu dana politik

Apabila Najib tidak pernah menafikan wang RM2.6 bilion  dimasukkan dalam akaun peribadinya, kita bolehlah menganggap memang benar wang itu sudah dimasukkan.  Ada banyak sebab yang membuatkan kita yakin wang itu ada antaranya  pendedahan Muhyiddin dalam video yang tersebar baru-baru ini.

Selepas video tersebar,  Muhyiddin tidak menafikan beliau  bercakap dalam video tersebut.  Ini menunjukkan Muhyiddin bercakap benar yang  Najib Razak mengakui wang RM2.6 bilion itu dimasukkan dalam akaun peribadinya.

Bukan itu sahaja baru-baru ini  Pengarah  Komunikasi Strategik Barisan Nasional,  Rahman Dahlan  dalam tulisannya dalam Utusan Malaysia  bahawa dana politik  bukan satu kesalahan.  Bagaimanapun Rahman yang  sangat kuat mengampu Najib tidak mengulas lanjut mengenai beza antara akaun peribadi dan akaun parti dalam isu dana politik.

Tidak cukup itu  Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang  tandatangan masih basah, Azalina Othman Said  dipetik sebagai berkata,  RM2.6 bilion dalam akauan peribadi Najib bukan isu besar.  Saya membuat kesimpulan wang itu  dimasukkan dalam akaun Najib.

Oleh yang demikian pasukan peguam Najib yang dikatakan terhandal tidak memberi kata dua kepada  Dow Jones penerbit  The Wall Street Journal sama ada meminta maaf atau  berdepan dengan saman oleh Najib.  The Wall Street Journal melaporkan  wang sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan dalam akaun Najib.

Ini bermakna laporan The Wall Street Journal adalah benar kecuali dikatakan wang itu dari 1MDB.  Maknanya bukan semua laporan media asing apa lagi yang berwibawa seperti The Wall Street Journal sampah belaka.  Malah Najib hanya menggelepar mengugut menyaman The Wall Street Journal tetapi  peguamnya hanya menghantar letter of demand yang meminta didedahkan sumber.

Rakyat di negara ini  telah terpedaya dengan  telatah  Najib yang seoleh-olah  akan mengambl tindakan undang-undang ke atas  Dow Jones.  Banyak pula pencacai yang memuji tindakan 'tegas' Najib kononnya mahu mengajar Dow Jones dengan tindakan undang-undang.  Tetapi rakyat tidak diberitahu bahawa  Dow Jones telah mempersendakan Najib apabila  dalam tempoh 14 hari yang diberikan oleh peguam Najib,  pihak Dow Jones tidak memberikan apa-apa reaksi kecuali berkata, "Kami percaya kepada wibawa wartawan kami."

Oleh kerana itu  rakyat jangan mudah tertipu dengan pasukan perang saraf Najib yang diketuai oleh  Rahman Dahlan.  Sekarang ini mereka mengubah tumpuan kepada kewajaran  dana politik.   Rahman Dahlan juga meberitahu bahawa Presiden UMNO boleh memegang akaun amanah atas nama peribadi.

Tetapi adakah wang RM2.6 bilion itu dimasukkan dalam akaun amanah?  Dana politik bukanlah satu isu. Isunya  dalam politik peribadi yang dimasukkan dalam akaun peribadi, apa lagi seorang Perdana Menteri.  Kalau sebelum ini  banyak pihak dalam UMNO  menghentam  Anwar Ibrahim  menerima dana politik  daripada pihak luar.  Tetapi dalam konteks isu Najib, apakah ini berbeza dengan Anwar yang menerima dana politik luar negara? 

Saya tetap menentang parti politik tempatan menerima dana politik dari luar negara. Ini diibaratkan menjual negara untuk tujuan politik.  Kalau  orang seperti Najib menerima dana politik  sebanyak itu,   mustahil  tidak ada apa-apa permintaan  daripada pemberi. 

Mesir dulu pernah menerima dana politik daripada Amerika Syarikat (AS) sebanyak AS$1.5 bilion setahun untuk memperkuatkan ketenteraan. AS tidak memberi dana secara percuma sebaliknya  mencampuri hal ehwal Mesir misalnya Presiden Mesir  mesti dalam kalangan tentera yang  telah diperakuinya.

Apabila pilihan raya demokratik pertama Mesir berlangsung dan Morsi dari Ikhwanul Muslimin menjadi Presiden,  ini bukan pilihan AS.  Maka Morsi pun dijatuhkan secara tidak demokratik dan Al Sisi, seorang jeneral yang menjadi sekutu AS dilantik mengantikan  Morsi.  Inilah akibatnya menerima dana politik daripada pihak luar.


Oleh yang demikian rakyat diharapkan  jangan menerima bulat-bulat  pencacai-pencacai  UMNO yang berkerja  untuk tembolok sendiri.  Dengan boleh tetapi selidik dan fikir dahulu sebelum mempercayai kerana mereka ini  amat bahaya. Asal tembolok sendiri penuh, apa pun mereka sanggup buat termasuklah mengangguk dan mengakui kalau Najib berkata bulan berwarna biru.  Inilah Kabinet angguk namanya.

No comments:

Post a Comment