Monday, June 8, 2015

Apakah yang mengancam keselamatan di PWTC?

Apabila bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad diarahkan oleh polis supaya berhenti berucap dan turun dari pentas di PWTC Jumaat lalu selepas menyebut 'Jho Low',  apakah rakyat yang terdiri daripada orang biasa  masih percaya kerajaan   mengamalkan  demokratik, setidak-tidaknya kebebasan bersuara?

Perdana Menteri,  Najib Razak  selalu mencanang pihaknya terbuka kepada kritikan dan memberikan kebebasan bersuara seluas-luasnya kepada rakyat.  Tetapi apabila tokoh seperti Dr. Mahathir pun dilarang bercakap,  macammana dengan orang biasa yang tidak ada pangkat dan kedudukan.  Dr. Mahathir  pernah menjadi Perdana Menteri  yang melantik Najib sebagai anggota Kabinetnya.

Kalau orang biasa yang naik ke pentas di PWTC Jumaat lalu dan berucap sambil menyumpah seranah  pihak tertentu ,  sangat wajar sekali untuk polis bertindak mengarahkan individu berkenaan turun dari pentas.  Tetapi yang berucap itu adalah bekas Perdana Menteri,  munasabahkah  beliau akan menyumpah seranah orang lain  kalau diberi peluang menerukan ucapannya?

Maknanya kebebasan bersuara atau demokrasi dalam berpolitik tidak lebih sebagai Aji No Moto sahaja,  bertujuan melazatkan  tetapi bukan memberikan khasiat yang sebenarnya.  Kalau benar Dr. Mahathir tidak layak berucap,  secara munasabahnya semasa menjadi  Perdana Menteri, polis  telah mengarahkan beliau turun dari pentas.

Saya percaya polis bertindak mengikut  arahan bukan undang-undang sepenuhnya.  Kalau polis mengikut undang-undang kenapa suatu ketika dulu Dr. Mahathir boleh berucap malah lebih lantang lagi?  Kenapa sekarang  baru sahaja menyebut 'Jho Low'   ada arahan  mengarahkan beliau turun?

Siapakah "Jho Low'  hingga namanya  dilarang disebutkan  waima oleh seorang bekas Perdana Menteri?   Saya tidak kisah  sama ada Najib hadir atau tidak pada majlis dialog mengenai 1MDB anjuran  SukaGuam.  Kalau Najib tidak hadir pada jangkaan saya orang ramai yang datang boleh mendengar 1MDB daripada sudut pandangan Dr. Mahathir.

Jumaat lalu  adalah tragedi terhadap kebebasan bersuara di mana  kerajaan sendiri yang membunuhnya.  Tidak setakat itu  diciptakan pula  satu suasana  supaya meninggalkan paranoid kepada rakyat dengan mengkelaskan  acara itu mengancam keselamatan khususnya kepada Perdana Menteri.  Ironinya sehingga kini polis tidak menghuraikan apakah bentuk ancaman  keselamatan sekiranya  acara itu diteruskan?  Adakah  dalam kalangan orang ramai itu membawa botol, parang atau setidak-tidaknya telur busuk yang dijadikan bom?  Adakah  hanya tercetus keadaan merempuh masuk ke dewan sudah dikelaskan  sebagai keadaan yang 'tidak selamat'  kepada Perdana Menteri?

Oleh yang demikian,  ada dua perkara penting  yang boleh dikutip dan dijadikan iktibar pada acara Jumaat lalu. Pertama,  kebebasan bersuara hanya sandiwara keterbukaan dan kedua,  polis mencipta paranoid bahawa kehadiran Dr Mahathir membuatkan keselamatan Najib terancam.  Maka sebagai rakyat yang mempunyai kebebasan berfikir tanpa diserkup  oleh kecenderungan menyokong membuta tuli individu tertentu boleh berfikir mesej yang bersifat subteks  daripada kejadian ini.

Orang mungkin boleh mengongkong  kebebasan  fizikal kita tetapi tidak mampu mengongkong kebebasan berfikir terhadap sesuatu.  Kita terkongkong  disebabkan kecenderungan kita membiarkan pemikiran dikongkong  dan memuja individu secara membuta tuli atau ada muslihat di sebaliknya.


Saya mempunyai pemikiran  sendiri terhadap isu-isu rakyat seperti 1MDB,  Jho Low,  UMNO dan sebagainya.  Terima kasih kerana setakat ini kerajaan belum menggubal akta melarang  saya berfikir di luar kotak.

1 comment:

  1. Asmlkm saudara Ku Seman. Saya rasa Utusan pun tidak bebas dlm pemberitaan. Ada kekangan dr dulu lg. Rakyat melayu rindukan Utusan yg bebas dr kekangan politik. Dato zaini pun nampaknya dah malas menulis tentang isu rakyat. Harap saudara tidak keseorangan dlm hal kebebasan ini.

    ReplyDelete