Monday, May 11, 2015

Isu sebenar Tabung Haji -1MDB

Jangan membunuh pembawa berita tetapi selidik adakah berita yang dibawa itu benar atau sebaliknya.  Dalam isu Tahung Haji (TH)  yang dibongkarkan oleh sebuah blog ialah TH telah membeli  sebidang  tanah di kawasan Tun Razak Exchange (TRX)  yang luasnya tidak sampai dua ekar dengan harga RM188.5 juta.

Pembongkaran ini menjadi kontroversi bukan kerana TH membeli tanah milik 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi  1MDB  menjual tanah itu kepada TH dengan harga yang berlipat ganda.  Ini membentuk tanggapan pembelian itu sengaja dibuat untuk membantu 1MDB  yang menghadapi krisis  kewangan yang teruk.

Blog berkenaan mendedahkan  1MDB  membeli tanah keluasan 70 ekar daripada kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dengan harga RM194.8 juta.  Isunya  1MDB menjualkan kepada TH tanah keluasan tidak sampai dua ekar dengan harga yang berlipat ganda mahalnya iaitu  RM188.5 juta. Sebab itu jangan menyalahkan 'pembawa berita'  tetapi tanya apa yang dibawanya.

Isu yang  tidak dijawab oleh Perdana Menteri, Najib Razak ialah  kenapa kerajaan menjualkan tanah seluas 70 ekar itu terlalu murah kepada 1MDB?  Menteri Besar Kedah,  Mukhriz Mahathir juga bertanyakan perkara yang sama kepada  Kementerian Kewangan yang Najib menjadi menterinya, "Kenapa murah sangat?"  Rakyat faham,  ia murah kerana yang membeli adalah Najib dan yang menjual juga Najib.  Seperti kata Dr Mahathir,  mudahlah 1MDB buat untung, beli murah dan jual mahal.

Rakyat  yang tidak faham ekonomi sekalipun pasti akan tertanya-tanya kenapa  kerajaan (baca Najib)  menjual tanah itu dengan harga begitu murah kepada 1MDB (baca Najib juga)?  Kerajaan, Kementerian Kewangan dan 1MBD  adalah Najib.  Jadi yang kelihatan di sini Najib menggunakan kuasanya dalam kerajaan sebagai Menteri Kewangan untuk membeli tanah kerajaan dengan harga murah bagi kepentingan  1MDB  yang ditubuhkannya.

Kita wajar berterima kasih kepada blog yang dikenali sebagai Benchmark kerana membuat pendedahan ini.  Memanglah  ini melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan  boleh didakwa, bagaimanapun pembongkaran itu  setidak-tidaknya menghentikan kerja yang tidak betul  dalam isu TH membeli tanah  1MDB.

Jadi, sidang akhbar Pengerusi  TH yang juga Ahli Parlimen UMNO, Azeez  Rahim Sabtu lalu yang berjela-jela sedikit pun tidak menjawab isu sebenar. Sia sia sahaja. Sebaliknya  Azeez yang muncul sebagai satu-satunya Pengerusi TH yang paling glamour mengumumkan TH menjual semula  tanah yang dibeli itu di atas 'nasihat'  Najib.

Malah Azeez tidak perlulah beriya-iya untuk menangkap dan mendakwa blogger yang mendedahkan dokumen perjanjian jual beli tanah itu.  Ini  membuatkan  saya melihat seperti ada suatu  yang tidak kena dengan  jual beli tanah ini dibuat secara diam-diam.  Kalau  urusan jual beli ini  suatu amalan  biasa kenapa pula  Azeez begitu beriya-iya mahu mengheret blogger ke muka  pengadilan?

Saya tertanya-tanya  adakah  hanya pendedahan oleh sebuah blog TH membuat keputusan menjualkan semula tanah itu?  Adakah  tindakan ini profesional kerana TH mempunyai kuasa untuk  mempertahankan keputusan profesional yang dibuat oleh pihak lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi TH?  Saya fikir agak pelik sebuah agensi sehebat TH membuat pusingan U hanya kerana sebuah blog kecuali ada suatu  yang mencurigakan dan  mengambil tindakan menutupnya.

Apa yang dilakukan oleh TH (membeli  tanah 1MDB kemudian menjualkan semula)  dilihat sebagai kerja Pak Pandir.  Kalau keputusan membeli tanah 1MDB dibuat  di atas dasar profesional, TH tidak perlu melayan persepsi yang dicetuskan oleh blog berkenaan.  Tetapi oleh kerana pengurusan tertinggi TH umpama Pak Pandir,  maka mereka pun membuat kerja yang tidak menguntungkan.

Pengurusan begini  sebenarnya sangat membimbangkan bakal-bakal haji yang menyimpan di TH.  Mana tidaknya  hanya dikejutkan oleh sebuah blog mereka telah bercempera dan membuat keputusan yang tidak  masuk akal iaitu  menjual semula aset yang  ada.  Bayangkan kalau selepas ini  ada pula blog yang membuat pendedahan baharu, adakah  TH akan membuat tindakan yang sama yang dilihat merugikan penyimpan?

Oleh kerana itu dalam isu TH dan 1MDB ini  kita perlukan berfikiran kritis   kenapa TH dengan mudah membuat tindakan   seolah-olah merajuk dengan persepsi yang dibina oleh pihak tertentu. Sebenarnya bukan merajuk atau  mengambilkira  sentimen penyimpan tetapi membendung daripada perkara sebenar terbongkar. 





1 comment:

  1. Terima kasih atas kupasan yang menarik ini.

    ReplyDelete