Tuesday, May 26, 2015

Apa isunya video Muhyiddin?

Saya telah menonton video ceramah Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu dan mendapati tidak ada pun perkara yang sensitif diucapkan oleh Muhyiddin dalam satu majlis tertutup anjuran UMNO itu.  Oleh kerana itu tidak perlulah Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bersusah payah untuk menghukum pemecah berita yang menyebarkan video itu.

Khabarnya Zahid bekas orang kuat Anwar Ibrahim yang pernah membangkitkan kononnya  Dr. Mahathir memberikan projek kepada kroni difahamkan telah tahu orang yang menyebarkan video itu. Zahid berkata, dia tidak memaafkan orang berkenaan kerana telah membuat kerosakan.

Tetapi daripada apa yang saya dengar dan lihat dari video berkenaan, tidak ada perkara yang sensitif dan memudaratkan UMNO. Cuma video itu lebih memecahkan tembelang sesetengah pemimpin kanan UMNO yang kecut perut bila gambar mereka ada dalam video itu.

Malah bukan sekadar ada dalam video tetapi bersorak dan bergelak ketawa apabila Muhyiddin membelasah 'anak emas' Najib, syarikat pelaburan 1MDB sambil mendesak supaya CEO dan semua ahli lembaga pengarah dipecat.

Zahid adalah salah seorang yang ada dalam video itu selain Menteri GST  Ahmad  Maslan,  Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob. Zahid kelihatan ketawa besar mendengar ucapan panas Muhyiddin.

Kepada Zahid, orang tua-tua pesan,  janganlah membunuh pembawa berita tetapi selidik apa berita yang dibawa. Dalam konteks ini, janganlah menghukum penyebar video tetapi fikirlah apa yang disebarkan itu.

Kalau isi kandungan durasi tujuh minit itu dianggap suatu yang sensitif, maka benarlah UMNO suka sangat membuat sesuatu dalam keadaan sembunyi-sembunyi. Banyak pemimpin UMNO dikejar bayang-bayang sebab itulah mereka sentiasa takut walaupun sebenarnya tidak ada isu, tersebar kepada rakyat.

Sebagai rakyat, saya rasa amat terhina apabila perkara yang kecil seperti itu dimomok sebagai sensitif  seolah-olah rakyat terlalu bangang untuk berfikir secara rasional. Bagi saya ucapan Muhyiddin sangat bernas, tidak klise dan menjawab persoalan yang tergantung mengenai 1MDB.

Saya sangat menghormati Muhyiddin kerana tidak mencuci tangan atau menafikan dia berkata demikian. Tidak seperti sesetengah pemimpin UMNO yang berlumba mendapatkan perhatian Najib tetapi gelak besar bila berdepan dengan Muhyiddin.

Penyebaran video itu tidak memberikan apa-apa implikasi buruk kepada UMNO, jauh sekali kepada rakyat keseluruhannya. Tetapi perkara itu tentu memberikan implikasi kepada juak-juak yang cuba membina keyakinan kepada Najib sebagai 'orang Najib' yang pada masa sama cuba berlakon sebagai penyokong Muhyiddin.

Ketika ini wujud konflik antara Najib dan Muhyiddin,  banyak pemimpin UMNO yang oportunis memperagakan diri sebagai hulubalang atau hulu lalang kepada Najib. Ini penting supaya mereka tidak tersingkir dari Kabinet.

Tetapi masa yang sama gerakan Muhyiddin juga tidak boleh diperkecilkan. Orang oportunis sentiasa dalam dilema di tengah-tengah,  dahan mana satukah mereka akan lompat apabila turun ribut taufan. Orang yang sama juga mahu kelihatan berdiri teguh di belakang Muhyiddin dan mudah-mudahan kalau Najib meletak jawatan, Muhyiddin akan menjadi gantinya.

Video itu sebenarnya baik untuk rakyat melihat fiil dan perangai terlindung sesetengah pemimpin mereka.  Oleh yang demikian mereka cuba membina persepsi bahawa orang yang menyebarkan video sebagai rendah akhlak tetapi hakikatnya takut perangai mereka terbongkar.


Sebab itulah saya pun tidak tahu apakah yang akan berlaku kepada UMNO kerana perkara sekecil itu dianggap besar dan dibuat secara tertutup.  Perkara itu hanya menjadi dan dilihat besar dari sudut pandangan politik yang penuh dengan andaian dan bayang-bayang.

No comments:

Post a Comment