Tuesday, April 21, 2015

UMNO kata Jho Low terlibat 1MDB?

Apabila UMNO mulai menyerang dan membuat laporan polis terhadap bilionaire Cina asal Malaysia, Low Taek Jho (Jho Low) yang kini menetap di New York kerana menyindir UMNO sebagai 'putar belit', seorang rakan meminta reaksi saya. Tanpa berfikir panjang sebab sudah lama berfikir tentang Jho Low, saya menjawab, “Suatu yang sangat menarik.”

Dia tanya lagi, apakah yang menariknya? Saya menjawab, itu satu pembuka jalan untuk kita mengetahui misteri Jho Low yang didakwa mempunyai hubungan dengan syarikat pelaburan negara, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Bagaimanapun pihak kerajaan dan 1MDB sendiri menafikan perkara tersebut.

Perdana Menteri, Najib Razak menafikan penglibatan  Jho Low dengan 1MDB di Parlimen.  Tetapi apabila Jho Low sendiri mengaku dia terlibat dalam 1MDB dan kenyataan itu bertentangan dengan Najib,  sekarang siapakah yang memutar belit siapa.

Malah Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia 15 Februari lalu menafikan Jho Low mempunyai kaitan dalam 1MDB tetapi tidak mengakui pernah bertemu dengan Jho Low.

Kepada Mingguan Malaysia, Arul berkata, “Saya pernah berjumpa dengannya (Jho Low) di Kuala Lumpur. Ini sama seperti saya berjumpa dengan orang lain yang terlibat dalam dunia perniagaan kerana saya berada dalam sektor perbankan. Tetapi Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB dan saya tidak menjumpai sebarang dokumen yang mengaitkannya dengan syarikat ini.”

Tetapi baru-baru ini dalam satu temu bual dengan akhbar Financial Daily, Jho Low didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menutup semua ke­pincangan yang berlaku dalam 1MDB dan menyifatkan pemimpin UMNO sebagai ‘kaki putar belit’. Beberapa pemimpin UMNO peringkat bahagian mendesak Jho Low pulang dan memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu 1MDB.

Dakwaan Jho Low ini menjadi antiklimaks kepada penafian banyak pihak bahawa dia tidak terlibat dengan 1MDB. Adakah ini sengaja diada-adakan oleh Jho Low untuk menjatuhkan reputasi Najib,  kerajaan dan UMNO.  Tidak ddinafikan bahawa ini satu lagi beban masalah kepada Najib yang sekarang teruk diserang oleh bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Bagi saya perkembangan terbaharu ini adalah cukup baik untuk menyingkap misteri Jho Low yang sudah lama berlegar dan menjadi topik sembang di kedai kopi hingga restoran lima bintang.  Tentu  satu Malaya sudah  tahu tentang hubungan  akrab  Jho Low yang hidup mewah di New York dengan anak tiri Najib (anak Rosman Mansor),  Riza  Aziz  yang juga hidup mewah di New York. Kehidupan mewah yang luar biasa Riza Aziz turut ditanya oleh Dr Mahathir tentang jenis perniagaan yang diusahakannya.

Tetapi Riza Aziz sama misteri dengan Jho Low, tidak terjawab hingga kini walaupun  akhbar New York Times mengaitkan  kekayaan Riza Aziz dengan Najib.  Najib dikatakan mewarisi harta datuknya yang merupakan pengasan pusat perjudian Genting bersama Lim Goh Tong.

Daripada kontroversi ini, ada pula yang  menyindir,  apa perlunya mendesak Jho Low memberikan penjelasan kepada PAC? Bukankah dia tidak terlibat dengan 1MDB?  Sebaliknya  desakan UMNO seolah-olah mengesahkan Jho Low ada memberikan ‘khidmat’ kepada syarikat tersebut yang  bertentangan dengan kenyataan  Najib di Parlimen. Adakah ini menunjukkan UMNO lebih tahu hubungan Jho Low dengan 1MDB berbanding Arul yang belum panas kerusi Presiden yang didudukinya?  Kalau UMNO tahu tentulah mustahil Najib tidak tahu.

Sementara itu Pemuda UMNO pula mencabar dan membuat laporan polis terhadap Jho Low. Saya menyanjung keberanian semua tindakan UMNO yang memperlihatkan iltizam untuk membersihkan nama yang telah dibusukkan oleh bilionaire tersebut seolah-olah UMNO mengawal operasi 1MDB.

Tetapi janganlah setakat membuat laporan polis sahaja. UMNO juga kena memastikan supaya Jho Low bertanggungjawab terhadap dakwaannya. Yang lebih penting Jho Low perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan "putar belit” itu. Harap tindakan proaktif ini bukan hangat-hangat tahi ayam. Sebabnya misteri Jho Low ini sekiranya tidak dirungkai akan meninggalkan persepsi buruk kepada kerajaan.

Isu 1MDB ini menjadi semakin kronik,  kenyataan  Presiden  1MDB kini  seperti  sudah tidak  bernilai lagi apabila dia menafikan penglibatan Jho Low tetapi UMNO mendesak Jho Low menjelaskan penglibatannya dalam 1MDB.  Malah kenyataan  menteri-menteri yang berkaitan  sukar untuk dipercayai kerana ketara sangat untuk menutup sesuatu yang menjadi bangkai gajah. 




No comments:

Post a Comment