Wednesday, April 22, 2015

Nur Jazlan 'tibai' juak-juak di keliling Najib

Saya berharap  Ahli Parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed tidak akan ‘dicincang’  oleh juak-juak yang bermuka-muka dengan Perdana Menteri, Najib Razak ekoran  kritikan terbuka dan sangat bernas mengenai penasihat-penasihat Najib.
.
Dalam blognya, Nur Jazlan menulis dengan jujur dan amatlah merugikan kalau Najib tidak melihat keterbukaan  Nur Jazlan sebagai suatu yang boleh dimanfaatkan untuk menambahbaik  sikap dalam kalangan orang yang berada di sekelilingnya.
.
Sebenarnya tidak banyak pemimpin UMNO di peringkat  bahagian  atau dalam kalangan Ahli Majlis Tertinggi yang sanggup mengambil risiko seperti Nur Jazlan.  Sebaliknya mereka mengambil pendekatan bermuka-muka untuk mengisi perut masing-masing.
.
Sekiranya  Najib  turun seperti Abdullah Ahmad Badawi,  puak-puak ini akan bercempera lari menyelamatkan diri kerana sokongan yang diperlihatkan di depan Najib sebahagian besarnya tidak jujur.   Tetapi ini bukanlah luar biasa dalam politik termasuk UMNO.
.
Oleh kerana itu saya sedikit  tidak mengambil  aras sokongan ketua-ketua bahagian dalam perjumpaan dengan Najib baru-baru ini sebagai  indikator  sokongan kuat dari akar umbi kepada Najib.  Banyak muka-muka yang hadir bila-bila masa sahaja boleh lari kerana sokongan hari itu sekadar bermuka-muka  menyedapkan hati Najib.
.
Tetapi biasanya orang seperti Nur Jazlan tidak boleh lama di takah atas,  dia akan dijatuhkan oleh  juak-juak yang hipokrit demi kelangsungan perut yang tidak pernah  kenyang.  Biasanya yang pandai bermuka-muka, pandai melompat dari dahan ke dahan berjaya meneruskan kerjaya politik.  Dalam UMNO manusia begini sangat banyak.
.
Oleh yang demikian, Najib jangan sama sekali rasa selesa dengan khabar-khabar yang dibawa oleh juak-juak yang bertenggek di sekeliling pinggangnya.  Pada masa sama jangan cepat  melihat sisi negatif kritikan  Nur Jazlan kerana kawan yang baik tidak akan memuji kita.


No comments:

Post a Comment