Tuesday, July 15, 2014

Apabila Najib ke gelandangan

Selepas Perdana Menteri, Najib Razak membuat lawatan ke beberapa tempat warga gelandangan di Kuala Lumpur, beberapa teman meminta pandangan saya mengenai tindakan Najib itu. Tanya mereka adakah yang dilakukan oleh Najib mampu menggambarkan dia seorang pemimpin yang berjiwa rakyat?

Sebelum saya menjawab, saya juga bertanya kepada mereka apakah tujuan Najib pergi ke kawasan gelandangan tersebut? Dia boleh sahaja tanya dengan DBKL untuk mendapatkan gambaran masalah gelandangan di Kuala Lumpur.

Saya menyanjung tinggi kesudian Najib pergi ke kawasan gelandangan tersebut tetapi sanjungan saya akan lebih tinggi sekiranya Najib tidak membawa rombongan dan juga tidak membawa wartawan. Sebabnya kunjungan Najib kelihatan sama dengan program turun padang yang dilakukan sebelum ini.

Bagi saya inisiatif untuk turun padang adalah baik tetapi biarlah ia bukan satu program yang diatur. Turun padang bagi kefahaman saya adalah tindakan spontan seperti yang selalu dibuat oleh Raja Abdullah di Jordan.

Berbalik mengenai kunjungan Najib, alangkah besar kesannya kalau Najib hanya pergi dengan diiringi pengawal peribadi, mungkin 10 orang atau lebih tanpa memberitahu agensi atau kementerian yang terlibat dengan isu gelandangan. Kalau sudah membawa segala macam pegawai kanan dan kiri agensi dan kementerian,  ini satu acara yahg diatur.

Bayangkan di tempat gelandangan itu pun Najib diberi taklimat oleh pegawai dan menteri yang ikut serta. Bukankan lebih baik memanggil menteri atau pegawai berkenaan ke pejabat PM dan meminta mereka menerangkan isu gelandangan. Tujuan turun padang ke kawasan gelandangan untuk mendapat maklumat dan gambaran yang segar serta asli daripada warga berkenaan.

Saya tak fikir wartawan dapat menghidu kunjungan Najib kalau tidak diberitahu lebih awal. Kalau pun dapat menghidu hanya satu akhbar sahaja bukan semua akhbar seperti majlis yang dihadiri oleh Najib. Saya tak fikir kunjungan ini perlu dihebahkan kerana ia hanya untuk pengetahuan Najib sahaja.

Alangkah baiknya kalau dibuat macam Dr Mahathir pergi ke Jalan Raja Alang membeli kuih pada setiap Ramadan yang hanya ditemani oleh pengawal peribadi. Kalau  jumpa wartawan atau jurugambar,  nak buat macamana tetapi bagi Dr Mahathir  semasa menjadi PM itu bukan acara yang perlu dibuat liputan.

Saya masih ingat pengalaman bertemu dengan Allahyarham Yahya Ahmad pengasas DRB yang turun padang seawal 6 pagi  untuk melihat sendiri kelancaran bas Intrakota di Kuala Lumpur.  Yahya naik bas dan turun bas tanpa disedari oleh pekerja Intrakota malah pemandu bas pun tidak tahu yang dalam bas itu ada orang nombor satu DRB yang menguasai Intrakota.

Tetapi bila difikir fikir balik,  Yahya Ahmad berbuat begitu kerana dia bukan orang politik. Dia tidak perlu publisiti untuk memberitahu dia turun padang dan berasak asak bersama penumpang lain. Dr Mahathir pula mungkin kerana dia mahu menjalani hidup sebagai orang biasa, boleh pergi beli kuih sambil bertemu dengan orang ramai.

Saya fikir untuk masa depan Najib perlu membuat lawatan mengejut. Kalau orang kata khidmat di kaunter jabatan kerajaan kurang mesra rakyat, sesekali buatlah lawatan mengejut dan tanya orangramai di situ. Lawatan ke kawasan gelandangan kalau dibuat secara mengejut, tentu mengelupur Ku Nan yang  mahu menghalau gelandangan ke luar dari Kuala Lumpur terutama di kawasan yang dibangunkan oleh taikun Cina seperti YTL dan Berjaya.

Saya percaya kita semua pernah melihat bagaimana calon pilihan raya  berkempen dengan cara mengunjungi pasar ikan yang hanyir dan busuk. Merrka bersama rombongan termasuk jurugambar beraksi mengukur kelapa, tuang santan malah ada yang menebar roti canai.

Tak apalah, sebab kita faham tujuan mereka hendak berkempen. Bukan hendak jumpa rakyat pun. Sebenarnya saya pun tidak faham dengan strategi kempen yang tidak berubah sejak zaman tok nador dulu.

Sebab itu saya fikir tujuan Najib baik iaitu untuk melihat sendiri keadaan warga gelandangan. Tetapi orang yang berada di keliling Najib berfikir cara lama, kalau bos nak melawat mesti hebah kepada pihak itu dan ini termasuk media. Ini cara lama dan dah lapuklah. Mereka sepatutnya membezakan  untuk tujuan politik dengan yang berkaitan kepentingan rakyat.

Tengoklah hasilnya, kerana mereka Najib yang dapat nama buruk sebagai meraih kepentingan politik. Mereka ini hanya jaga KPI sahaja, setiap perkara yang dibuat oleh PM mesti dihebahkan. Sebenarnya apabila melihat pemimpin pemimpin kita duduk dengan orang marhaen sambil makan nasi lemak di akhbar dan televisyen,  rasa macam tidak asli saja.

1 comment:

  1. Write more, thats all I have to say. Literally, it seems as though you relied on the video to make your point.
    You obviously know what youre talking about, why
    throw away your intelligence on just posting videos to your site when you
    could be giving us something enlightening to read?

    Feel free to surf to my website; key

    ReplyDelete