Friday, June 13, 2014

Utusan Malaysia membakar diri demi rakyat



Akhbar  Utusan Malaysia  sekali lagi menjadi lilin, membakar diri untuk menjaga kepentingan jangka panjang rakyat khususnya di Johor apabila mendesak  pembentangan Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ)  ditangguh dan dikaji dengan lebih teliti.  Rang undang-undang ini menjadi sangat “luar biasa”  apabila LPHJ  memberi kuasa kepada Sultan Johor melantik  dan menggugurkan  ahli lembaga.
 .
Maksud  “luar biasa”  ini  adalah rumusan daripada pandangan pelbagai pihak terutama pakar undang-undang dan perlembagaan negara ini. Rang undang-undang tersebut  dilihat secara profesional  oleh  pihak yang  arif  sebagai  bertentangan  dengan sistem Raja Berpelembagaan  dalam Perlembagaan Persekutuan.  
 .
Bagi orang kebanyakkan,  mereka juga merasa “luar biasa” kerana belum pernah institusi raja dilibatkan  dalam bidang  kuasa eksekutif walaupun mereka tidak arif tentang terma-terma perundangan.
 .
Walaupun  banyak pihak menggunakan wadah  yang  dibuka oleh Utusan Malaysia untuk menzahirkan pandangan tentang baik buruknya melibatkan institusi raja dalam LPHJ,  rang undang-undang itu telah disokong oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  UMNO  pada sidang  Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor  Isnin lalu.  Pembentangan usul ini  “berjalan dengan lancar”  walaupun khabarnya mengambil masa tiga  jam di mana akhirnya  semua ADUN UMNO menyokong.  
 .
Sebenarnya tidak banyak akhbar yang sanggup menjadi lilin  dan bermain api seperti yang dilakukan oleh  Utusan Malaysia walaupun  isu ini mempunyai hubungan langsung dengan kepentingan rakyat. Sebabnya tidak banyak pihak yang sanggup mengotorkan tangan kerana isu ini  melibatkan institusi raja.  Tetapi Pengerusi Majlis di Raja Johor, Abdul Rahim Ramli  dalam satu sidang akhbar berkata,  Sultan bukan di belakang rang undang-undang itu. Ternyata Utusan Malaysia tidak menghina Sultan apabila mempersoalkan rang undang-undang ini.
 .
Tulisan ini bukanlah  seperti perumpamaan Melayu,  “rumah siap pahat berbunyi”.   Tetapi pahat berbunyi kerana  rumah disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa untuk cepat diduduki.  Dalam keadaan tergesa-gesa,   ada kalanya  kekurangan di sana sini apa lagi “pahat” itu  adalah tukang rumah yang arif  tentang  membuat rumah yang selamat untuk diduduki.
 .
Walaupun kebimbangan  rakyat  yang disuarakan menerusi  Utusan Malaysia telah dijawab  melalui  10 pindaan tetapi sebahagian besarnya adalah  untuk mengindahkan bahasa,  maksudnya  tidak berubah. Pindaan itu memasukkan frasa-frasa yang  lebih sedap  didengar misalnya  perkataan “raja”  dipinda kepada “pihak berkuasa negeri.”  Sementara  frasa yang membawa maksud keputusan  yang dibuat oleh  Sultan  pula dipinda  dengan menambah  supaya lebih sedap didengar, “dengan nasihat Menteri Besar.” 
 .
Pakar undang dan perlembagaan  bukan menentang tetapi meminta ditangguhkan supaya  ADUN  diberi masa yang cukup untuk meneliti rang undang-undang  berkenaan. Mereka berhujah berteraskan kepakaran dalam bidang masing-masing dan tentunya tidak ada kepentingan  lain. Tidak seperti sesetengah orang politik yang menyalahkan orang lain untuk menonjolkan kebaikannya. 
.
Utusan Malaysia  tidak mahu mendabik dada tidak bersendirian dalam isu  yang kontroversi ini walaupun  ternyata banyak pihak mengatakan sokongan kepada Utusan Malaysia. Tetapi  yang penting untuk ditegaskan ialah  pendirian Utusan Malaysia   bukanlah tindakan  melulu.  Sekiranya  Utusan Malaysia bertindak melulu, adalah mustahil  ia  disokong oleh  pakar undang-undang  dan perlembagaan  yang arif  dalam bidang masing-masing.  Utusan Malaysia tidak ada kuasa memaksa pihak lain menyokong kecuali mereka juga sama pendirian dengan akhbar ini. 
 .
Kerana itu  Utusan Malaysia  tidak perlu memohon maaf  walaupun seorang ADUN  meminta  berbuat demikian. Dia kena ingat,  Utusan Malaysia tidak boleh disamakan dengan sikapnya yang menjaga kelangsungan politik  sanggup mengenepikan rakyat.  Utusan Malaysia  menyuarakan hal-hak yang berkaitan kepentingan  rakyat dengan cara mendedahkan baik buruk untuk difikirkan oleh rakyat. Menganggap laporan  Utusan Malaysia mengenai  rang undang-undang itu sebagai provokasi  adalah menafikan peri pentingnya rakyat diberi maklumat yang tepat lagi jelas.
 .
Utusan Malaysia bukan sengaja mahu bermain api  tanpa memikirkan kesan di sebalik pendirian yang ditunjukkan. Tetapi sebagai   suara hati nurani rakyat, Utusan Malaysia  perlu menyuarakan  kebimbangan rakyat terhadap masa depan mereka.  Memang benar, ini tindakan tidak popular.  Tetapi Utusan Malaysia  tidak mahu  popular dengan cara menafikan  suara hati nurani rakyat untuk mengembirakan pihak tertentu. Ini mungkin cara orang politik tetapi bukan cara Utusan Malaysia.
 .
Orang politik  selalunya akan mencari pihak lain untuk diletakkan kesalahan bagi diri mereka kelihatan  betul.  Jadi, tindakan pihak yang  menganggap  laporan muka depan Utusan Malaysia 6 Jun lalu sebagai provokasi  dan mendesak  akhbar itu meminta maaf kononnya tidak sensitif terhadap institusi raja bukanlah suatu yang luar biasa. 
 .
Bagaimanapun  ada perkara yang lebih penting daripada tindakan ADUN UMNO menyalahkan Utusan Malaysia  ialah   rang undang-undang   berkenaan telah menjadi satu kajian kes  dalam konteks  sistem Raja Berpelembagaan  negara ini. Mahu tidak mahu  pihak istana  telah dilibatkan dalam pentadbiran walaupun Menteri Besar, Khaled Nordin menekankan  “atas nasihat Menteri Besar.”
 .
Tetapi penegasan itu  tidak mampu untuk Utusan Malaysia menyembunyikan kebimbangan  rakyat  dalam  kalangan pakar-pakar  yang arif dalam hal ehwal undang-undang dan perlembagaan  serta  orang  biasa  bahawa akan wujud konflik antara istana dan kerajaan pada jangka panjang. Maka Rang Undang-Undang LPHJ yang diluluskan  tetap  akan dibahaskan secara akademik dan profesional.  Mahu tidak mahu  pihak  yang terlibat dalam rang undang-undang ini  wajar menerima dengan fikiran yang terbuka.

No comments:

Post a Comment