Monday, June 23, 2014

Teguran ikhlas kepada Wanita UMNO

Semalam (22 Jun) saya hadir ke majlis Anugerah Nadi Negara anjuran Wanita UMNO di Hotel Premiera. Acara itu  adalah penyampaian anugerah kepada bekas bekas siswa yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Tetamu kenamaan adalah isteri Perdana Menteri,  Rosmah Mansor.

Walaupun penganjurnya sebuah sayap parti politik iaitu Wanita UMNO tetapi saya tidak menjangka majlis yang bertujuan menghargai siswa yang cemerlang itu bertukar menjadi majlis  berkempen UMNO.

Tetapi jangkaan saya meleset sama sekali, tiga ucapan yang disumbatkan kepada tetamu termasuk ibu bapa siswa yang diraikan itu melimpah ruah dengan  kempen politik UMNO.  Penganjur perlu membezakan antara majlis politik dan acara yang dianjurkan untuk memberi semangat dan penghargaan kepada generasi muda khususnya dalam dunia akademik.

Ucapan Ketua. Wanita UMNO, Shahrizat Jalil penuh dengan puji pujian kepada Perdana Menteri dan isterinya, Rosmah Mansor. Dia juga seolah olah mengungkit sumbangan UMNO dalam bidang pendidikan di negara ini.

Ucapan Rosmah juga mengecewakan saya kerana dia tidak menekankan peri pentingnya pendidikan kepada generasi muda. Tetapi yang ditekankan adalah jasa jasa UMNO yang bagi saya semua tidak menafikan perkara itu. Saya percaya sebahagian besar tetamu mengakui sumbangan UMNO terhadap pendidikan.

Saya percaya majlis itu akan menjadi lebih baik sekiranya penganjur tidak tergelincir daripada majlis untuk menghargai siswa kepada acara yang memperlihatkan UMNO begitu defensif pada hal yang tidak sepatutnya UMNO defensif.

Saya membayangkan masa yang saya beri kepada acara itu (selepas Rosmah lewat satu jam masuk ke dewan walaupun sudah sampai)  memberikan sekian banyak pencerahan tentang perancangan Wanita UMNO terhadap dunia pendidikan.

Tetapi malangnya semua itu tidak diberikan kepada tetamu termasuk saya dan  rasa macam sia sia kerana membazirkan masa ke majlis yang mahu memberitahu jasa jasa UMNO. Bagi saya pengendalian majlis ini perlu lebih fokus kepada penerapan peri pentingnya pembinaan generasi pelapis kepimpinan negara.

Saya percaya umtuk menjadi parti politik yang baik tidak perlu berpolitik dan bercakap tentang politik sepanjang masa. Ruang perlu diberikan untuk memikirkan hal hal lain yang boleh digerakkan dengan menggunakan pelantar politik.

1 comment:

  1. Umno menjadi lemah kerana pemimpin dan pengikutnya tidak ikhlas dalam perjuangan. Semuanya mencari laba atau keuntungan utk diri atau keluarga. Jika berjuan utk agama maka barulah umno akan kuat dan org islam akan duduk dlm.1 barisan.

    ReplyDelete