Tuesday, June 10, 2014

Tahniah Khaled Nordin, anda hebat



Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor telah diluluskan oleh ADUN UMNO dalam Dewan Undangan Negeri Johor semalam.  Rang undang-undang yang kontroversi kerana dilihat sebagai langkah permulaan  memasukkan kuasa istana dalam pentadbiran Johor dan seterusnya mungkin akan diikuti oleh negeri-negeri lain.
.
Malah kelulusan rang undang-undang ini juga dilihat kuasa istana (Sultan Johor)  sudah melepasi sempadan yang sepatutnya dalam kuasa eksekutif (Menteri Besar).  Kenapa rang undang-undang ini  memberi penglibatan kuasa istana  terus menjadi persoalan.  Malah  banyak yang sangsi dengan penerangan retorik  Menteri Besar, Khaled Nordin bahawa “kuasa masih di tangan beliau”.
.
Dalam mewajarkan kelulusan rang undang-undang ini sekali lagi rakyat khususnya rakyat Johor telah diperbodohkan oleh kuasa eksekutif  yang diterajui oleh Menteri Besar.  Frasa  dalam rang undang-undang ini yang menyebut “dengan nasihat Menteri Besar”  terus dipersoalkan  hakikatnya. Malah  kalau benar wujud “dengan nasihat Menteri Besar”  apakah yang Menteri Besar telah menasihatkan Sultan Johor?
.
Tetapi saya percaya rakyat Johor tidak boleh diperbodohkan dengan begitu mudah kononnya terdapat pindaan dalam rang undang-undang yang dibahaskan selama tiga jam sebelum diluluskan.  Untuk rekod,  ADUN pembangkang tidak menyokong rang undang-undang ini.  Hanya ADUN UMNO sahaja yang menyokong.
.
Khaled Nordin berkata,  perkataan “Raja” dalam rang undang-undang asal dipinda kepada “pihak berkuasa negeri” . Mengenai frasa yang menyebut “lembaga yang dilantik oleh Raja” ditukar kepada “dilantik oleh Raja dengan nasihat Menteri Besar.”   Bagi saya pindaan itu tidak ada beza apa-apa pun.
..
Adakah pindaan-pindaan yang sekadar mainan bahasa ini mengubah tujuan asal  rang undang-undang ini yang memberi kuasa kepada Sultan Johor membuat keputusan walaupun ada disebut “dengan nasihat Menteri Besar”. Siapa pun tidak dapat memastikan benar-benar wujud keadaan Sultan Johor mendengar nasihat Menteri Besar  atau  Menteri Besar yang  akur kepada  perintah Sultan Johor.
.
Hingga kini tidak disebut siapakah yang mengusulkan supaya rang undang-undang itu dibentangkan untuk mendapat kelulusan DUN Johor?  Dan siapakah yang mengusulkan nama Sultan Johor dimasukkan rang undang-undang itu?  Adakah usul ini datang daripada Khaled Nordin sendiri?  Kenapa Khaled Nordin beriya-iya mempertahankan rang undang-undang itu  sedangkan dasar perumahan dan hartanah Johor selama ini tidak melibatkan Sultan Johor?
.
Saya tertanya-tanya mana suara  UMNO  Johor?  Adakah mereka sudah menjadi tukang angguk kerana masing-masing menjaga tembolok supaya tidak dimurkai  oleh pihak istana?  Saya lebih percaya kepada hujah-hujah tokoh undang-undang termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad daripada ADUN-ADUN UMNO di Johor
.
Kalau tokoh undang-undang melihat  rang undang-undang itu sebagai satu yang menimbulkan konflik antara istana dan kerajaan,  adakah rakyat  Johor  akan percaya kepada keputusan yang dibuat oleh ADUN berhubung masa depan mereka  padahal mereka bukan sahaja tidak arif tentang undang-undang malah mempunyai kepentingan tertentu?
.
Melihat keadaan ini saya sangat setuju dengan pandangan penulis pojok Mingguan Malaysia, Awang Selamat bahawa Menteri Besar Johor lemah.  Saya tambah, bukan sahaja Menteri Besar yang lemah malah panglima-panglima (ADUN UMNO) juga lemah.
.
Saya melihat  ADUN UMNO telah membuat satu keputusan besar yang melibatkan masa depan rakyat secara langsung.  Rang undang-undang telah diluluskan  dan  Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor dengan rasminya wujud sebagai satu entiti yang sah di segi undang-undang.  Begitu juga  kuasa "nasihat Menteri Besar kepada Sultan Johor"   dalam menentukan ahli lembaga yang akan menduduki entiti baharu ini.
.
Kita anggaplah entiti baharu ini  "dikuasai sepenuhnya oleh Menteri Besar"  kalau tidak untuk apa ada frasa "dengan nasihat Menteri Besar".  Siapa yang dilantik nanti, itu adalah lantikan oleh Menteri Besar dan siapa yang akan dibuang juga dilakukan oleh Menteri Besar.  Lagi pun Menteri Besar sudah menegaskan bahawa kuasa tetap di tangan Menteri Besar.



No comments:

Post a Comment