Tuesday, May 13, 2014

Isu Ahmad Said: Pusat (Najib) bertindak tidak bijak

Krisis yang melanda UMNO di Terengganu hingga negeri itu berpindah ke tangan Pas disebabkan tindakan tidak bijak Pusat yang tidak melihat permintaan Ahmad Said untuk meletak jawatan selepas perkahwinan anaknya tidak lama lagi. Walaupun Ahmad Said dikenali sebagai seorang yang bengkeng tetapi Pusat tidak boleh bertindak di luar prinsip kemanusiaan.

Kalau saya jadi Ahmad Said, saya juga mengambil tindakan yang sama; keluar dari parti yang tidak boleh membuat tindakan di atas prinsip kemanusiaan. Perjanjian antara Pusat dengan Ahmad Said untuk memberi setahun lagi selepas PRU 12 setahun lalu bukan rahsia lagi.

Kalau Pusat hendak bertegas, kenapa tidak gantikan Ahmad Said setahun lalu? Apabila Ahmad Said minta dua bulan sahaja lagi dan itu tidak dipenuhi, ini menunjukkan satu tindakan politik yang kurang bijak.

Sekarang, bagi Pusat nasi sudah jadi bubur. Ahmad. Said tidak rugi apa apa tetapi Pusat akan kehilangan Terengganu kecuali Pas mengutamakan perpaduan Islam dan Melayu menolak jawatan Menteri Besar.  Pas sudah tentu akan dilihat berjuang untuk Islam dan penyatuan Melayu kerana sanggup memulangkan jawatan Menteri Besar kepada UMNO.

Krisis yang melanda UMNO Terengganu bukan kerana Pas tetapi kerenah orang UMNO sendiri. Konflik UMNO dan Pas tidak ketara di Terengganu. Malah kelihatan tenang walaupun Pas boleh berusaha membeli ADUN UMNO. Malah setakat ini Pas belum membuat sebarang kenyataan mengenai jawatan Menteri Besar.

Sekiranya permintaan Ahmad Said dipenuhi oleh Pusat, sudah tentu dua penyokong kuat Ahmad. Said tidak keluar dari UMNO. Tetapi disebabkan Pusat bertegas tidak bertempat, UMNO akan kehilangan sebuah negeri. Orang UMNO boleh mengutuk tindakan Ahmad Said, tetapi pada masa yang sama mereka kena melihat ketidakcekapan Pusat menangani krisis UMNO Terengganu.

Sebenarnya landskap politik di Terengganu berbeza dengan Kelantan. Apabila Terengganu dibawah pimpinan Wah Mokhtar tidak ada masa depan, rakyat Terengganu menukarkan Wan Mokhtar dengan Haji Hadi Awang dari Pas.

Tetapi selepas diberi peluang selama sepenggal menerajui Terengganu, Pas gagal membawa sebarang perubahan, rakyat Terengganu menukarkan Haji Hadi dengan Idris Jusuh. Rakyat Terengganu tidak seperti Kelantan yang tetap dengan Pas walaupun Pas wajar ditukar.

UMNO yang selalu menjaja perjuangan untuk agama, bangsa dan negara seharusnya tidak melihat apa yang berlaku di Terengganu sebagai suatu krisis sebaliknya sebagai pemangkin penyatuan Melayu dan Islam. UMNO perlu membuktikan perjuangan terhadap agama, bangsa dan negara tanpa mengira sama ada Pas atau UMNO memimpin Terengganu.

Kerana saya bukan orang politik, maka saya memahami perjuangan terhadap agama, bangsa dan negara melampaui batas politik asalkan dipimpin oleh orang. Islam untuk kepentingan Islam. Dari sudut politik barangkali kefahaman saya adalah salah. Kalau benarlah kefahaman saya salah maka prinsip perjuangan untuk agama, bangsa dan negara hanya satu slogan politik.

No comments:

Post a Comment