Wednesday, April 2, 2014

Suatu hari di Istana Budaya

Pada 14 September 1999 saya diminta oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Khalid Mohd supaya menulis tentang Istana Budaya yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dr. Mohamad keesokannya. Saya yang mengikuti gagasan awal sebelum berdirinya Istana Budaya 28 tahun sebelum itu (1999) melihat Iatana Budaya atau Panggung Negara atau di luar negara disebut National Theatre sebagai pemangkin tradisi berteater yang bercitra tinggi di negara ini.

Kini ketika menulis entri ini saya di kafe Istana Budaya. Beberapa hari lagi akan diadakan pementasan Di Bawah Lindungan Kaabah. Pelakonnya semua selebriti walaupun Aswara banyak melahirkan pelakon terlatih dan berwibawa. Tetapi graduan Aswara malah aktivis teater juga tidak berpeluang berlakon pada era teater tempat orang menjual orang.

Hari ini impian ketika saya menulis rencana lebih kurang 15 tahun lalu belum tercapai. Saya mengimpikan Istana Budaya tempat pementasan teater teater agung tetapi agak malang kerana teater kita sebenarnya sudah mati. Kita tidak ada teater. Yang ada hanya selebriti ke hulu ke hilir di atas pentas memperagakan nama, populariti dan selebihnya kontroversi.

--------------------////////-----------------------


Istana Budaya akhiri penantian

(Utusan Malaysia 15 September 1999)

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
ISTANA Budaya merentasi zaman yang panjang dan penuh liku sebelum berdirinya bangunan bermotif sirih junjung di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Institusi budaya ini adalah kelangsungan suara seniman dan budayawan tentang pentingnya monumen ini sejak 28 tahun lalu.

Istana Budaya atau dalam pengertian sejagat adalah Panggung Negara lahir daripada gagasan luhur untuk memartabat dan memperkayakan seni dan budaya negara. Teriakan untuk menjadikan seni dan budaya sebagai ukuran kualiti hidup selepas Kongres Kebudayaan Kebangsaan tahun 1971 pada dasarnya kini telah menjadi kenyataan.

Sekalipun terpaksa mengambil masa yang agak lama tetapi akhirnya seni dan budaya diletakkan pada galur yang sewajarnya dalam struktur pembangunan negara. Tidak ada gagasan yang mengambil masa sebegitu lama, jalan merealisasinya paling kompleks, penuh prasangka dan kekeliruan seperti yang dialami oleh proses kelahiran Istana Budaya.

Ini kerana antara fungsi sebagai prasarana budaya yang menyediakan kemudahan dan institusi budaya yang menyediakan warga berbudaya hanya disempadani oleh garis yang nipis.

Gagasan mendirikan bangunan yang berfungsi sebagai Panggung Negara memang besar dan sukar terjangkau dek tangan. Tetapi ia juga sebuah idea murni untuk menjulang pengucapan kesenian. Ini membuktikan bahawa di tengah-tengah keghairahan manusia mengejar kualiti hidup dalam kemajuan fizikal, penyataan luhur menerusi kesenian tidak dipinggirkan begitu saja.

Biar ada yang berkata, keunikan Istana Budaya kerana bumbung, pentas atau teknologi yang memungkinkan pementasan broadway serba canggih, Istana Budaya tetap melampaui sifat fizikal itu.

''Falsafah kita ialah kecemerlangan seni. Kami di Istana Budaya ini tidak berani mengaku sudah pandai dalam serba-serbi tetapi sentiasa berusaha memberikan kecemerlangan dalam seni,'' demikian pengakuan Pengarah Panggung Negara, Supiat Mukri.

Tetapi Supiat realistik dengan cabaran dan harapan luar biasa terhadap kecemerlangan seni pada era Istana Budaya itu. Di mana-mana negara yang mendakwa mempunyai tamadun seni dan budaya, sebuah Panggung Negara selalunya dijadikan ukuran.

''Untuk mengukur kecemerlangan kami di sini perlukan sedikit masa,'' kata Supiat yang juga aktivis seni dekad 70-an dan 80-an. Ini kerana fungsi sebagai Panggung Negara amat unik lagi mencabar kerana ia tidak sekadar bangunan atau wajah fizikal sesebuah ciptaan.

Sebaliknya membawa semangat, cita-cita serta tamadun bangsa daripada teras budaya dan seni rakyatnya. Inilah ukuran sebuah bangunan walau apa nama sekalipun diberikan.

Hari ini Istana Budaya hasil daripada gagasan 28 tahun lalu telah dibuka dengan rasminya. Bangunan ini tentunya cukup banyak merakamkan sejarah tentang obsesi , prasangka, kebimbangan karyawan apa lagi sudah sekian kalinya tertangguh pembinaannya.

Istana Budaya menjadi penting dalam pembangunan negara kerana ia simbol percambahan seni dan budaya yang lebih terancang. Inilah tempat yang memainkan peranan sebagai institusi budaya masyarakat Malaysia.

Kalau gagasan Istana Budaya dianggap bermula dengan pengumuman oleh bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Razak pada mesyuarat kabinet tahun 1971, ia mengambil masa 28 tahun untuk diwujudkan seperti yang dilihat pada hari ini.

Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan selepas dua bulan pengumuman Tun Razak itu memutuskan secara rasmi tentang peri pentingnya sebuah Panggung Negara yang diberi beraneka nama; Kompleks Kesenian, Panggung Nasional, Taman Kebudayaan dan Pusat Pentas Perdana.

Pada pertengahan 1971, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan ketika itu, Tan Sri Hamzah Abu Samah berkata, pembinaan Panggung Negara dimulakan pada pertengahan 1972 dengan kos dianggarkan RM10 juta. Tetapi ada saja halangannya yang membuatkan projek ini tertangguh kepada satu masa yang lain.

Pada 23 Ogos 1981, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan ketika itu Datuk Mokhtar Hashim pula mengumumkan projek Panggung Negara yang dianggarkan menelan belanja RM46 juta akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Keempat.

Ekonomi mencemburui seniman. Pada Julai 1982 diumum projek itu ditangguhkan lagi kerana langkah berjimat cermat yang dilancarkan oleh kerajaan. Rintangan dan halangan Panggung Negara memang luar biasa hebatnya. Apakah ini juga sebahagian daripada ukuran untuk menjadi budayawan dan seniman yang kental serta tidak mudah kecewa?.

Diari tercatat lagi. Pada 13 September 1986 diumumkan pula sebuah kawasan baru sedang dicari setelah cadangan awal di kawasan tujuh hektar berdekatan Jalan Parlimen dan di Persiaran Tun Ismail tidak terlaksana.

Bagi seniman dan karyawan harapan masih ada cuma masanya belum tiba untuk melihat sebuah bangunan yang ketika itu sebagai alternatif Panggung Eksperimen Universiti Malaya dan Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Di atas sifatnya sebagai tempat persembahan dan institusi yang menjadi pemangkin perkembangan budaya negara, peranan bangunan ini sering mengelirukan. Kalangan pentadbir budaya, seniman malah rakyat biasa, mereka melihat daripada persepsi yang berbeza-beza.

Kalau kerana bangunannya, gagasan awal yang mencetuskan sekian banyak hujah oleh tokoh akademik, budayawan dan seniman sejak 28 tahun lalu hanya sia-sia belaka. Mendirikan sebuah panggung bukanlah sebagai jalan penyelesaian apabila timbul masalah ruang persembahan.

Ini kerana di mana-mana negara sekalipun Panggung Negara melampaui peranannya sebagai ruang persembahan. Tetapi pada masa yang sama ia jua simbol di mana budaya dan penyataan dalam bentuk seni disatukan dan mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Istana Budaya yang membuka tirai dengan pementasan teater Keris Sang Puteri arahan Datuk Rahim Razali ini harus dilihat sebagai simbol kesedaran terhadap warisan seni dan budaya selain prasarana yang menyediakan kemudahan berkarya.

Bangunan unik dan dilengkapi teknologi tercanggih ini sebenarnya menamatkan pertanyaan seniman dan karyawan; ''Di mana Panggung Negara? Pertanyaan hampir tiga dekad itu terjawab apabila Istana Budaya terbina di Jalan Tun Razak.

Suatu ketika dulu apabila perancangan tertangguh beberapa kali setelah dinyatakan kos dan lokasinya, masyarakat seniman dan budayawan mulai skeptikal kesungguhan merealisasikan gagasan ini.

Apa lagi dengan sikap sesetengah birokrat budaya yang dengan mudah mengambil contoh bahawa National Theatre di London yang gagasannya tahun 1904 hanya wujud 72 tahun kemudian. Dalam kata lain, kita juga harus bersabar dan terus menanti.

Berdirinya Istana Budaya juga membuktikan, isu tentang National Theatre di London itu tidak lebih sebagai 'gurauan'. Kita mengambil masa 28 tahun yang relatifnya lebih cepat berbanding National Theatre. Tetapi seperti yang dihujahkan sebelum ini, bangunan dan pengisiannya adalah sama penting.

Sasterawan Negara Datuk Usman Awang dalam satu rencana tahun 1973 pernah mengingatkan bahawa yang penting bukanlah pada bangunannya tetapi bagaimana ia ditadbir dan diselenggarakan.

Istana Budaya perlu mengimbangi pembangunan fizikal dan aspek pembangunan manusia kerana sifatnya sebagai sebuah institusi budaya. Ciri luaran dan teknologi hanya sebahagian daripada keperluan Istana Budaya.

Laluan berliku gagasan awal Panggung Negara tidak berakhir apabila berdirinya Istana Budaya. Liku fasa kedua juga tidak kurang mencabarnya. Dengan ketiadaan tradisi yang sistematik dalam sejarah pembangunan kebudayaan negara, Istana Budaya dikhuatiri tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Tradisi berteater yang rata-ratanya bermusim dan kegiatan kesenian yang amatur cukup membimbangkan. Apakah Istana Budaya pula harus bersabar untuk digunakan semaksimum mungkin oleh seniman dan budayawan?

Istana Budaya sebenarnya adalah cabaran kepada sekian banyak ego sesetengah seniman dan karyawan. Istana Budaya barangkali mengajar seniman bersatu lebih toleran pada prinsip kesenimanan yang dianuti mereka.

No comments:

Post a Comment