Thursday, April 10, 2014

Kenapa Obama melawat Malaysia?

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama akan melawat Malaysia akhir April ini. Kunjungan ini adalah lanjutan dari penundaan lawatan yang sepatutnya Oktober tahun lalu disebabkan kerajaan pentadbiran Obama berhadapan dengan krisis belanjawan yang paling serius.
.
Sejak menjadi Presiden AS dan telah memasuki penggal kedua, inilah kali pertama Obama melawat negara ini. Kunjungan awal sebaik sahaja memenangi pilihan raya Presiden pada 2008 ialah ke Mesir dan berucap di Universiti Al Azhar di Kaherah.
.
Semasa di Kaherah, Obama memberikan harapan yang besar kepada negara-negara Islam tentang hubungannya dengan AS. Ketika itu Obama dilihat sebagai penyelesaian kepada Islamofobia yang dicetuskan dalam kalangan masyarakat Barat terhadap Islam. Tetapi sebenarnya tanpa diketahui oleh banyak pihak, dasar luar AS tidak pernah berubah.

Obama atau siapa sahaja yang menjadi Presiden tidak boleh mengubah dasar luar yang telah ditentukan oleh pembiaya-pembiaya semasa seseorang calon bertanding untuk kerusi Presiden. Pembiaya itu adalah dalam kalangan konglomerat Yahudi dan merekalah yang menentukan dasar luar AS.
.
Bagi kunjungan ke negara ini, banyak pihak di sini melihatnya di lapisan atas atau retorik semata-mata. Mereka menganggap lawatan Obama ke negara ini sebagai memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Ini adalah pandangan retorik yang hakikatnya langsung tidak ada kena mengena dengan hubungan dua hala AS – Malaysia.
.
Kunjungan Obama, sebenarnya bukan sahaja Malaysia malah negara-negara rantau Asia Pasifik untuk memperkukuhkan kedudukan AS di rantau ini. Dengan kebangkitan China yang menguasai ekonomi dunia pada masa ini AS perlu mempunyai tapak yang kukuh di Asia Pasifik sebagai faktor pengimbang.
.
Jurucakap White House berkata, kunjungan Obama ke rantau Asia Pasifik untuk mempertingkatkan hubungan diplomatik, ekonomi dan keselamatan dengan negara rantau ini. Dalam kata lain, apabila AS mempunyai kedudukan yang kukuh di Asia Pasifik, ini menjadi penghalang pengaruh China.
.
Kunjungan ini juga mempunyai agenda yang tidak kurang pentingnya iaitu untuk memberi penekanan terhadap Trans-Pasific Partnership (TPP) yang melibatkan 12 negara termasuk negara ini. Ketika ini Malaysia antara negara yang belum menanda tangani TPP kerana beberapa klausa dalam TPP mungkin memberikan kesan jangka panjang kepada Malaysia.
.
Beberapa penganalisis ekonomi melihat tindakan Obama mempercepatkan TPP sebagai memperlahankan kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dunia. Semua ini memberikan keuntungan kepada AS dan bukan negara-negara yang dikunjunginya. Kerana itu kunjungan seorang peresiden yang paling berkuasa di dunia wajar dilihat dari sudut pandangan yang kritikal dan bukan menelan retorik bulat-bulat.
.
Obama yang tidak menetapkan tarikh lawatan itu kerana faktor keselamatan akan memulakan kunjungan ke rantau Asia Pasifik dengan singgah ke Jepun kemudian ke Korea Selatan. Ini kerana Jepun dan Korea Selatan tercetus ketegangan politik sejak akhir-akhir ini. Sementara kunjungan ke Korea Selatan pula sebagai untuk memperlihatkan keterampilan AS yang mempunyai pangkalan tentera di negara ini sebagai satu isyarat kekuatan kepada Korea Utara. Korea Selatan adalah sekutu AS di rantau ini selain Singapura.
.
Kunjungan Obama ke rantau Asia Pasifik juga bertujuan memperkukuhkan gagasan “Pasific Dream” yang dirintis oleh Setuausaha Negara, John Kerry semasa kunjungan ke Tokyo, Jepun tahun lalu. “Pasific Dream” sebagai pengimbang kepada “China Dream” yang digeraknan oleh Presiden China, Xi Jinping.
.
Kita tidak menghalang kunjungan Obama ke negara ini tetapi pihak tertentu di negara ini tidak wajar menganggap kunjungan ini memberikan keuntungan kepada Malaysia. Ada pihak di negara ini kurang senang dengan spekulasi yang melibatkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dalam kehilangan pesawat MH370 kononnya menjejaskan “keharmonian” kunjungan Obama ke negara ini.
.
Pihak ini bertindak lebih sudu dari kuah, lebih CIA dari CIA kerana melompat dan panik dengan teori spekulasi yang melibatkan CIA dalam tragedi pesawat itu. Maka mereka bertindak munutup mulut dan mengikat tangan wartawan untuk menulis di luar pemikirannya yang telah diCIAkan oleh AS.
.
Tulisan saya mengenai kemungkinan konspirasi CIA dalam tragedi itu tidak disenangi oleh pihak yang “lebih CIA dari CIA” ini. Pihak yang sama juga memberi tekanan kepada saya yang menulis bahawa pembunuhan Duta AS di Libya adalah sangat wajar. Saya difahamkan mereka sanggup “menyembah” Duta AS di Kuala Lumpur dan “mengesyorkan” supaya saya ditiadakan di Utusan Melayu.
.
Bagaimanapun saya tidak terlalu teruja dengan kunjungan Obama ke negara ini. Kita tidak wajar meraikan atau mendewa-dewakan secara berlebihan. Sebab saya melihat keuntungan lebih kepada AS dan Obama untuk masa depan AS di rantau ini. Sekiranya kunjungan ini menyumbang kepada cepatnya Malaysia menandatangani TPP dengan tidak memperhalusi beberapa klausa yang dibimbangi oleh bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, ini satu misibah daripada kunjungan ini.


No comments:

Post a Comment