Tuesday, March 25, 2014

Siapa kata undi popular tidak penting?

Saya fikir MCA tidak perlu defensif apabila kalah dalam PRK Kajang Ahad lalu. Faktanya MCA kalah kepada PKR, jadi tidak perlulah menghujahkan majoriti PKR menurun berbanding PRU13 lalu. Lebih baik MCA diam dan membuat perubahan dari dalam daripada berkokok seolah olah orang Cina sudah menerima parti Cina ini.

Hujah MCA sebenarnya memakan diri kerana majoriti kecil atau besar itu menandakan undi popular penting kepada sesebuah parti politik. Tetapi BN yang menafikan undi popular dalam PRU13 kononnya sistem pilihan raya kita bukan berdasarkan undi popular.

Sebabnya undi popular pembangkang lebih tinggi daripada BN. Maksudnya BN tidak kisah kepada kemenangan yang majoriti tipis kerana kemenangan bukan diukur kepada berapa majoriti tetapi ada majoriti walaupun satu undi.

Tetapi bila sampai ke Kajang, MCA pandai pula membela diri seolah olah kemenangan PKR lebih rendah daripada PRU13 sebab majoritinya kecil. Bagaimana pula kalau PKR kata dalam sistem pilihan raya Malaysia kemenangan bukan dikira undi popular tetapi majoriti?

Hakikatnya undi popular adalah kelangsungan sesebuah parti politik. Semakin jauh jurang meninggalkan lawan semakin kuat parti itu. Dalam politik bukan sekadar mendapat majoriti tetapi berapa majoriti. Cuma dalam pilihan raya sahaja memerlukan lebih dari satu undi untuk menang.

Menang dalam pilihan raya bukan bererti menang dalam politik. Pilihan raya adalah angka angka tetapi politik adalah sokongan. Saya bimbang kalau BN tidak memerlukan undi popular. Nanti mereka sentiasa selesa walaupun di banyak kawasan hanya mendapat majoriti tipis atau dua tiga undi sahaja.

Sebab itulah dalam Parlimen pun untuk selesa memerlukan majoriti dua pertiga. Ini menunjukjan semakin besar majoriti semakin kuat sesebuah parti dalam galanggang politik. Kalau tidak mementingkan undi popular suatu hari nanti BN hanya menang 51 - 49 peratus. Ketika itu kemenangan tidak bermakna kerana pembangkang mempunyai pengaruh yang sama kuat.

MCA betul kerana prihatin terhadap undi popular. Tetapi kenyataan MCA bertentangan dengan BN yang kata undi popular bukan ukuran kemenangan. Kalau mengikut kenyataan BN selepas PRU13 lalu, kemenangan PKR tidak boleh dipersoalkan sama ada majoritinya besar atau kecil.

Kalau MCA merasakan kekalahan di Kajang adalah kemenangan kerana undi majoriti PRK mengecil, pembangkang tentu merasakan kekalahan mereka dalam PRU13 adalah kemenangan kerana majoriti BN mengecil. Apa BN nak jawab kalau dikatakan begini?

No comments:

Post a Comment