Monday, March 10, 2014

Sebaiknya Shahrizat tak bercakap, RTM tak siar

Semalam Ketua Wanita UMNO, Sharizat Jalil membuat lawatan dan berjumpa dengan keluarga dan sanak saudara penumpang pesawat MAS yang hilang Di sebuah hotel di Putrajaya. Lawatan untuk memberikan sokongan moral itu baik tetapi RTM tidak perlulah menyiarkan temubual dengan Sharizat kalau setakat untuk mengeluarkan kenyataan yang retorik.

Saya melihat ini lebih kepada kepentingan politik daripada kepentingan rakyat yang resah menunggu penemuan terbaru mengenai kehilangan pesawat itu. Kalau setakat untuk menyuruh membuat sembahyang hajat, Shahrizat boleh menghantar kenyataan media sahaja.

Saya harap orang politik yang sudah luput tarikh tidak perlulah mencari keuntungan politik dengan cara begini. Najib walaupun orang politik tetapi bercakap di atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, begitu juga Hishamuddin Hussein yang bercakap di atas kapasiti sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan.

Setahu saya tidak ada orang politik lain yang tidak berkenaan turut memberi kenyataan apa lagi di hotel yang menenpatkan keluarga penumpang pesawat itu. Maka tindakan Shahrizat dan RTM yang menyiarkan kenyataan tidak ada nilai berita itu adalah sangat memalukan.

Untuk pengetahuan Shahrizat, sesaat masa siaran di televisyen itu sangat berharga pada masa ini. Rakyat Malaysia dan keluarga penumpang mahu mengetahui perkembangan terbaru. Mereka tidak mahu membuang masa mendengar kenyataan kenyataan retorik.

Saya memuji tindakan Rosmah Mansur yang melawat keluarga penumpang di hotel di Putrajaya tetapi tidak memberikan kenyataan. Saya fikir Rosmah faham dalam keadaan sekarang orang sudah muak dengan kata kata supaya mereka bersabar.

Cara Rosmah membuatkan kehadiran beliau bernilai tinggi dan keikhlasan terserlah berbanding Shahrizat yang datang seolah olah berjumpa dengan ahli ahli Wanita UMNO.

1 comment:

  1. Rasanya ramai yang berkongsi sentimen ini sebagaimana saudara.

    ReplyDelete