Monday, March 24, 2014

Pengajaran kepada UMNO, rakyat menolak MCA

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang telah dimenangi oleh orang Melayu yang mewakili PKR dan menewaskan Cina yang mewakili BN. Wan Azizah menewaskan Chew. Mei Fun dengan majoriti yang pada relatifnya besar. Saya fikir kalau BN meletakkan calon Melayu dari UMNO keadaan tidak akan seteruk itu.

Saya tidak tahu di atas alasan apakah BN meletakkan calon MCA kerana sudah tahu MCA telah ditolak oleh pengundi dalam PRU 13 yang lalu. Prestasi MCA dalam PRU 13 sangat buruk dalam sejarah parti Cina itu. UMNO pula tidak ada keberanian dalam BN walaupun menunjukkan prestasi hebat pada PRU 13.

Sekarang kita hanya boleh berkata, padan muka UMNO yang tidak meletakkan calonnya di Kajang. Padan muka UMNO kerana hendak jaga hati MCA hingga "merayu" MCA duduk dalam kabinet. Rakyat sudah lama menyampah dengan MCA yang korup bila pegang jawatan dalam kerajaan. Malangnya UMNO semacam tidak yakin diri dalam keadaan rakyat memberi kepercayaan kepada mereka.

Sekarang tengok, calon Melayu boleh menang di Kajang walaupun sebelum ini calon Cina dari PKR. Saya fikir kekalahan teruk calon MCA di Kajang kerana banyak yang memprotes dan tidak keluar mengundi. Mereka dilema, nak bagi undi kepada Melayu akan menyumbang kepada PKR kalau nak bagi kepada BN akan pergi kepada Cina.

Kalau ada dalam kalangan UMNO berkata, PRK Kajang bukan penting, saya akan menjawab, sepatutnya BN tidak bertanding dalam PRK ini. Sebabnya ini pilihan raya sandiwara PKR. Untuk apa BN ikut menari rentak yang dipalu oleh PKR bagi percaturan hayat politik Anwar bin Ibrahim?

Dulu pun calon PKR dan kalau terus bagi kepada PKR pun bukan satu yang merugikan BN. Malah lebih menguntungkan apabila memperlekehkan PKR yang menang tanpa bertanding. Dalam politik menang tanpa bertanding satu penghinaan yang sangat besar. Tetapi mungkin UMNO tidak pernah fikir begitu, sebab itulah jawatan Presiden dan. Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Mereka ingat cara itu bermaruah, padahal satu penghinaan kepada yang dikekalkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Jadi, kalau BN galak sangat hendak bertanding di Kajang, buatlah supaya boleh menang. UMNO pun kena bersuara jangan ikut telunjuk MCA yang sudah hampir lubang kubur kerana orang Cina sendiri menolak parti Cina ini. Macam Parlimen Bandar Tun Razak, kalau bagi UMNO belum tentu Khalid bin Ibrahim menang di di situ. Tetapi UMNO takut hendak bersuara akhirnya bagi kepada MCA anak kepada bekas MP MCA Bandar Tun Razak.

Kekalahan di Kajang memalukan UMNO bukan BN. Biarpun UMNO cuba membina persepsi rakyat bahawa Kajang tidak penting tetapi kalau tidak penting buat apa BN turut bertanding dan membazirkan duit rakyat? Ada dua lagi PRK dan kita tengok adakah UMNO akan letak Cina MCA untuk kerusi yang dikosongkan oleh Karpal Singh di Pulau. Pinang?

2 comments:

  1. Tuan Putra, depa ni memang tak makan ajar, biarlah rakyat yang ajar depa pada PRU14

    ReplyDelete