Monday, February 24, 2014

Di Sebalik Isu Kassim Ahmad

Rencana ini disiarkan dalam kolum Anekdot Ahad di Mingguan Malaysia 23/2/14

23/2/14

Kassim Ahmad, skeptisisme dan birokrat agama


Oleh Ku Seman Ku Hussain
SAYA bimbang apabila membaca kenyataan demi kenyataan oleh beberapa birokrat agama yang bersepakat mengecam tokoh pemikir Kassim Ahmad. Saya bertambah bimbang apabila mereka tidak melangkah setapak ke depan untuk melihat secara mikro punca isu seumpama anti hadis ini.

Yang lebih serius dan bahaya sekarang ialah fenomena skeptisisme agama (religious scepticism). Fenomena ini telah lama wujud dan Kassim Ahmad hanyalah sebahagian daripada mereka yang skeptikal terhadap Islam.

Skeptisisme agama dalam definisi longgarnya ialah mempunyai persepsi sinis terhadap agama, bukan sahaja Islam malah terhadap agama lain juga. Mereka ini juga ragu-ragu terhadap Islam kerana realiti yang berlaku tidak seperti yang dibaca, dipelajari ataupun diasuh di sekolah dan sebagainya mengenai Islam. Banyak yang bertentangan, mereka jadi keliru dan akhirnya skeptikal terhadap Islam.

Mereka telah hilang keyakinan kepada golongan yang digelar ulama, institusi kehakiman Islam dan pengemudi birokrat agama yang tidak bertindak seperti termaktub dalam Islam. Misalnya masih wujud pilih kasih dalam mengambil tindakan, tidak memperlihat ketegasan untuk turut mengemudi negara dengan menegur sesetengah pemimpin dan yang lebih buruk ada ulama membiarkan diri menjadi bahan jual beli di pasar politik.

Di Barat, skeptisisme agama adalah satu cabang kajian akademik oleh ahli sosiologi dan teologi mengenai sikap sinis dan ragu-ragu terhadap agama Kristian. Tetapi tidak semestinya yang skeptikal terhadap agama menolak kewujudan Tuhan dan antiagama. Ini satu gerakan massa tetapi individu bukanlah puncanya. Skeptisisme agama bukan satu cetusan, sebaliknya satu tindak balas. Maknanya, Kassim Ahmad bukan mencetuskan tetapi memberikan tindak balas terhadap sesuatu yang berlaku dalam lingkungan agama, sistem dan institusi agama.

Isunya kenapa wujud golongan yang bersikap sinis kepada agama? Inilah yang perlu ditanyakan kepada birokrat agama dan untuk menangani skeptisisme agama tidak semudah menangkap atau mengurung orang idealis seperti Kassim Ahmad.

Apabila Kassim Ahmad dikatakan menyeleweng daripada ajaran Islam, ini adalah satu tindak balas. Perkara inilah yang sepatutnya diuruskan, sebab musabab tindak balas yang berlaku dan ditujukan kepada siapa? Saya tidak pasti adakah birokrat agama sedar atau tidak kewujudan skeptisisme agama. Sebab secara umumnya mereka kelihatan selesa, cuma sesekali diganggu oleh orang seperti Kassim Ahmad.

Kita memang ada undang-undang, apa lagi Islam termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan. Tetapi kalau birokrat agama kita selalu melihat ke luar tingkap, mereka akan bersetuju bahawa ada yang lain lebih menuntut tumpuan.

Skeptis melihat sesetengah ulama kita sangat pasif, tidak berfikir di luar kotak, angkuh dengan kuasa dan menolak mentah-mentah apabila ada gagasan yang menongkah arus tanpa diberi ruang bicara. Inilah yang selalu disuarakan terutama oleh generasi muda.

Sebab itulah kita tidak boleh menyalahkan sepenuhnya golongan yang sinis terhadap kebesaran Islam. Mereka mempunyai sebab misalnya dalam Islam ada tertulis bahawa agama ini memuliakan dan memberikan keadilan kepada wanita.

Tetapi realitinya terdapat sesetengah institusi kehakiman Islam dan birokrat agama malah ulama telah memberikan persepsi serong terhadap Islam. Buktinya ketidakadilan terus berlaku kepada wanita, misalnya bertahun-tahun malah ada yang berbelas tahun digantung tidak bertali apabila menuntut cerai.

Menuntut nafkah daripada bekas suami pula kerap kali menjadi suatu yang traumatik kepada wanita. Ini kerana kerenah birokrasi dan juga birokrat agama. Kalau tangga mahkamah syariah boleh bercakap, tanyalah berapa banyak masa dan wang dihabiskan untuk mendapatkan hak yang terbantut kerana penyakit ‘ada undang-undang tetapi tidak dikuatkuasakan.’

Apakah hujah untuk menangkis tanggapan bahawa Islam menganiaya wanita dan meletakkannya di kelas tiga? Kalau benar Islam memuliakan dan memberi keadilan kepada wanita kenapa masih ada yang terus dianiaya? Apakah yang dilakukan birokrat agama dalam perkara ini? Jadi, salahkah kalau ada yang skeptikal terhadap Islam?

Birokrat agama mesti bertanggungjawab apabila wujud pemikiran begini dalam kalangan masyarakat. Dalam banyak perkara, saya tidak setuju dengan pergerakan seperti Sisters In Islam (SIS). Tetapi kita tidak dapat menafikan suara-suara ketidakpuasan hati yang disampaikan melalui SIS untuk menuntut keadilan bagi pihak wanita yang teraniaya tidak boleh dipandang dengan persepsi negatif secara total. Ia seharusnya menjadi cabaran kepada birokrat agama untuk terus mempertingkatkan keupayaan dan memperlihatkan ketinggian Islam sebagai cara hidup yang sesuai untuk semua manusia. Banyak cara yang lebih matang dalam menghadapi golongan berfikiran seperti ini.

Tetapi apabila birokrat agama mendiamkan mereka yang skeptikal terhadap agama dengan pelbagai hukuman yang ada kalanya makin menjauhkan mereka kepada kebenaran Islam, momentum kebencian mereka kepada agama semakin besar. Maka kita tidak boleh menyalahkan mereka yang bergantung harap kepada SIS yang pada fahaman mereka sentiasa berjuang membela wanita teraniaya.

Malah tidak ada gunanya menyalahkan sepenuhnya Kassim Ahmad yang skeptikal terhadap sesetengah ulama dan birokrat agama. Marilah kita sama-sama menggali akar permasalahan, ini lebih baik daripada hanya memotong pucuknya yang akan tumbuh apabila tiba waktu.

No comments:

Post a Comment