Tuesday, February 18, 2014

Apa lagi Hindraf mahu?


(Terkini petikan Malaysiakini)

Seminggu selepas meletakkan jawatannya sebagai senator dan timbalan menteri, pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) P Waythamoorthy muncul kali pertama dengan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pembohong dan khianat kepada komuniti India.

Dalam sidang medianya selama 20 minit hari ini, Waythamoorthy turut menggesa Najib (kanan) supaya meletakkan jawatan yang dipegangnya kerana tindakan itu.

"Tindakan itu tidak akan dilupakan oleh generasi akan datang. Kisah ini akan diulang cerita berkali-kali," bidas Waythamoorthy.

Muncul dalam keadaan lesu dan letih, beliau enggan mengambil soalan daripada pemberita yang sesak dalam satu bilik dalam majlis di Brickfields.

Beliau juga meninggalkan sidang media dengan tergesa-gesa selepas membuat kenyataannya.

Pada Isnin lalu Waythamoorthy menyerahkan surat peletakan jawatan, lapan bulan selepas dia menandatangani memorandum kontroversi persefahaman (MoU) dengan BN beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke-13.


POSTING ASAL


Apabila Perdana. Menteri, Najib Razak menghulurkan tangan kepada komuniti India Hindu yang menggerakkan Barisan Bertindak Hak Hak Hindu (Hindraf) menjelang PRU13, banyak melihat langkah itu sebagai "tidak berapa kena". Sebab utamanya Hindraf bukan sahaja sebuah pertubuhan haram malah telah melakukan rusuhan yang mengancam keselamatan umum.

Saya tidak pasti apakah yang mendorong Najib mengambil langkah tersebut selain untuk menarik undi India kepada BN. Tindakan tersebut dengan sendirinya mempelekehkan undang undang kerana Najib seolah olah mengiktirafkan pertubuhan haram sebagai jurucakap mewakili kaum India.

Bagaimanapun pengorbanan besar yang dilakukan oleh Najib dengan mengiktirafkan Hindraf tidak mendapat hasil yang diharapkan. Undi India kepada BN tidak menunjukkan peningkatan yang selayaknya. Kita tidak tahu apakah yang dijanjikan oleh Najib kepada Hindraf tetapi tentulah berkaitan dengan kepentingan orang India.

Hasil daripada perjanjian persefahaman (MoU) dengan Hindraf, Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy telah dilantik sebagai senator kemudian Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri.

Lebih awal dari itu pada November 2007, Perhimpunan yang didakwa berlangsung dengan aman bertukar ganas kerana Hindraf merusuh dan menyerang polis di Kuala Lumpur. Ini suatu yang tidak mudah untuk dilupakan. Ketika itu beberapa lokasi antaranya Batu Caves dan Jalan Ampang berdekatan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain seolah-olah "ditawan."

Saya menyertai orang lain yang menjunjung kesopanan, kesusilaan dan undang-undang tidak dapat menerima cara ganas yang dibawa oleh Hindraf. Ini tidak sesuai di negara yang mempunyai undang-undang dan permaufakatan antara pelbagai kaum.

Tetapi Hindraf tidak wujud tanpa sebab. Hindraf adalah petanda penolakan terhadap parti yang kononnya memperjuangkan nasib kaum India. Pemimpin politik India juga mesti mencermin diri walaupun yang dilakukan Hindraf tidak wajar sama sekali terutama MIC. Pemimpin kaya raya, orang. India sebahagian besar hidup dalam kemiskinan.

Bagaimanapun kerajaan memperlihatkan dasar terbuka dan menjalinkan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Hindraf demi masa depan kaum India. Sebagai bukti, pemimpin Hindraf, P. Waythamoorthy dilantik sebagai Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri. Apa lagi Hindraf mahu?

Tetapi kita kecewa kerana suara Waythamoorthy begitu provokatif dan senada dengan Hindraf. Dia tidak boleh membezakan kedudukannya sebagai anggota kabinet, bukan pertubuhan haram. Ternyata keterbukaan kerajaan tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Baru-baru ini dia meletakkan jawatan. Alasannya dia kecewa kerana kerajaan gagal menunaikan komitmen memajukan kaum India. Tetapi dia tidak beritahu bahawa kerajaan menyalurkan dana hampir RM500 juta untuk membantu orang India. Malah antara 2008 hingga 2011 sahaja menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) kerajaan salurkan bantuan RM34.5 juta.

Sepatutnya dia telah lama meletakkan apabila memilih menjadi suara provokatif Hindraf. Ini lebih baik daripada menjadi duri dalam daging kepada kerajaan. Waythamoorthy harus ingat ketika dia dibawa masuk dalam kerajaan, bukan tidak ada pihak yang tersinggung.

Mereka pun hendak jawatan, bukan semuanya berjuang demi agama, bangsa dan negara. Tetapi kerana patuh kepada pemimpin, mereka diam dengan perasaan yang bungkam, penat berkerja jawatan tidak ada.

Hakikatnya kerajaan sudah terlebih buat membantu untuk membangunkan orang India. Kerajaan membuat semua ini bukan kerana Waythamoorthy. Dasar membantu tanpa memilih kaum telah lama dilakukan.

Suatu yang perlu diketahui adalah Waythamoorthy satu-satunya Timbalan Menteri yang secara terbuka menyalahkan polis kerana menembak mati gangster India. Saya ulang, gangster. Bukan orang India tetapi gangster. Ini tercatat dalam sejarah seorang Timbalan Menteri mempersoalkan polis sekali gus menghantar mesej yang tidak tepat kepada rakyat.

Kita tahulah dia seorang India, sudah tentu dia mahu memperjuangkan nasib orang India. Itu tidak ada salahnya. Tetapi yang sangat tidak betul apabila dia mempertahankan gangster yang sudah dikenalpasti polis sebagai penjenayah. Ini sangat bahaya.

Orang India mesti diberitahu bahawa tuduhan Waythamoorthy tidak benar. Polis bukan sahaja menembak gangster India. Gangster Melayu, Cina dan lain-lain pun kena ditembak apabila keselamatan terancam. Tidak ada pula Menteri Melayu mempertikaikan kenapa polis menembak gangster Melayu. Dasar polis tanpa memilih kaum perlu diperjelaskan dan jumlah bantuan kerajaan kepada orang India mesti dihebahkan.

Waythamoorthy sepatutnya menghargai sikap sangka baik kerajaan walaupun dia mempunyai sejarah silam yang sukar dimaafkan. Kerajaan sentiasa bersangka baik dengan harapan baiklah juga akhirnya.

Orang India kena sedar bahawa tolak ansur kerajaan sangat luar biasa kepada mereka. Patung besar di tepi bukit di Batu Caves misalnya sudah mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Tetapi tidak ada apa-apa tindakan. Jangan buat-buat tidak nampak pula patung Hindu gergasi yang memberikan gambaran yang salah mengenai negara ini.

Di pusat pentadbiran Putrajaya tidak lama lagi akan berdiri megah kuil Hindu, Sri Lalithambikai Alayam yang boleh menampung 10,000 orang dipercayai terbesar di rantau ini. Kuil Hindu di Putrajaya memang kelakar bunyinya. Ia kelakar kerana 99 peratus warga Putrajaya adalah Islam. Tetapi inilah hakikatnya. Saiz kuil yang dibayangkan itu mengatasi Masjid Putra mercu tanda Putrajaya, pusat pentadbiran bercitra Islam. Itu pun tidak dibantah. Saya fikir dalam soal ini kerajaan pun kena mengambil kira perasaan warga Islam di Putrajaya.

Waythamoorthy patut tahu perkara ini dan alasan kerajaan tidak memberi perhatian kepada kaum India tidak benar sama sekali. Dia mesti bertanggungjawab di atas kenyataan-kenyataannya yang boleh menyebabkan salah faham antara kaum. Malah dia patut faham pendekatan radikal Hindraf tidak sesuai di negara ini. Walaupun dia kecewa dengan kegagalan parti-parti politik India, itu bukan mencerminkan kegagalan kerajaan membantu kaum India.

No comments:

Post a Comment