Tuesday, January 7, 2014

Wartawan jadi kambing hitam

Pada Ahad lalu Mingguan Malaysia dan Berita Harian Ahad menyiarkan berita pertemuan Presiden Perbadanan Putrajaya, Aseh Che Mat dengan pemilik rangkaian Hard Rock Cafe Malaysia, Syed Yusof Syed Nasir di Putrajaya.

Antara isi kandungan berita kedua dua akhbar itu adalah kenyataan Aseh bahawa Syed Yusof bersetuju membuka kafe hiburan itu di Putrajaya atau lebih tepat di Menara Ikhlas, Persint 3. Aseh juga memberitahu wartawan bahawa kafe itu akan mula beroperasi dalam masa tiga atau empat bulan lagi.

Kedua dua akhbar ini menyiarkan laporan yang sama mengenai Hard Rock Cafe di Putrajaya. Tetapi pada masa itu kedua dua wartawan akhbar berkenaan tidak pula melaporkan Aseh dengan tegas menolak kewujudan pusat hiburan itu di Putrajaya.

Tetapi selepas mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, kessokannya kenyataan Aseh sangat berbeza dengan laporan oleh kedua dua dua akhbar itu pada hari Ahad. Malah dengan tegas mengatakan beliau tidak pernah meluluskan permohonan dan tidak ada permohonan daripada Syed Yusof. Hah, nampak sucinya.

Daripada kenyataan Aseh pada hari Isnin kita boleh membuat kesimpulan bahawa wartawan kedua dua akhbar itu salah lapor kerana ia bertentangan sama sekali dengan laporan pada Ahad. Tetapi kalau satu akhbar tersalah lapor kita boleh terima, bagaimana kalau kedua dua akhbar "salah lapor" tentang satu perkara?

Apabila dua akhbar melaporkan subjek dan kenyataan yang sama tentulah sukar untuk kita membuat andaian bahawa wartawan tersalah lapor. Takkan pula kedua dua wartawan membuat salah lapor yang sama antara satu dengan lain. Wartawan tentulah tidak pandai pandai untuk menulis tiga hingga empat bulan cafe itu akan beroperasi kalau Aseh tidak memberitahu perkara itu.

Kalau membaca kenyataan Aseh pada Isnin, dia tidak pernah memberikan kelulusan tetapi pada akhbar hari Ahad dia spesifik tiga atau empat bulan sebagai jangkaan siapnya kafe itu. Kalau bukan Aseh yang bercakap kepada wartawan pada hari Sabtu untuk keluaran akhbar hari Ahad, siapakah yang memberikan kenyataan itu?

Melihat kepada ketegasan Aseh "menolak" kehadiran Hard Rock Cafe di Putrajaya, pembaca tentu menjadi keliru dengan kenyataan Aseh yang menjangka tiga atau empat bulan lagi pusat hiburan itu akan beroperasi.

Nampaknya begitu mudah untuk wartawan dikambinghitamkanmengkambinghitamkan. Begitu mudah juga pihak pihak tertentu mencuci tangan apabila terlajak bercakap melontarkan apa sebenarnya yang bermain di fikiran. Lalu Aseh menganggap pihak yang membuat bantahan sebagai "salah faham" kerana dia tidak pernah meluluskan.

Maknanya wartawanlah yang salah memberikan laporan hingga orang yang menentang Hard Rock Cafe salah faham. Sebenarnya saya tidak terlalu terkejut kalau pusat hiburan diwujudkan di Putrajaya. Sebabnya beberapa tahun lalu seorang menteri pernah mengesyorkan supaya diadakan satu kawasan "red light" yang menempatkan pusat hiburan barangkali termasuk pusat pelacuran untuk menarik pelancong.

Maka apabila melihat Putrajaya begitu sunyi pada malam hari maka ada pihak yang terfikir untuk memeriahkan dengan membawa hiburan malam kepada warga Putrajaya dan kawasan sekitarnya seperti Dengkil, Cyberjaya, Bangi dan sebagainya. Kita jangan terlalu selesa apabila Aseh memberi jaminan Putrajaya akan bersih kerana kita tidak tahu selepas ini siapa pula yang menjadi kepala Putrajaya dan orang politik yang dipertanggungjawab ke atas kota firdaus ini.

No comments:

Post a Comment