Monday, January 20, 2014

UMNO hangat hangat tahi ayam

ADAKAH semua ini keputusan politik? Demikianlah persoalan yang timbul dan hangat diperkatakan apabila UMNO menarik balik saman terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua berhubung isu Lahad Datu. Adakah tindakan 'menyaman' Tian Chua sekadar menunjukkan UMNO prihatin isu keselamatan rakyat menjelang pilihan raya?

Tragedi perajurit kita yang dibunuh oleh pengganas Sulu di Lahad Datu mendapat simpati seluruh rakyat, tidak kira bangsa dan agama kecuali mereka yang 'memang tidak berguna' kepada negara. Maka apabila UMNO menarik balik saman selepas Tian Chua 'meminta maaf' ini adalah tindakan hangat-hangat tahi ayam. Keras-keras kerak nasi, mudah lembek bila kena air.

Isnin lalu kes saman fitnah yang difailkan oleh UMNO terhadap Tian Chua berhubung penyiaran rencana tragedi Lahad Datu kononnya sandiwara UMNO telah diselesaikan di luar mahkamah. Bagaimanapun rakyat termasuk orang UMNO sendiri tentu kecewa dengan tindakan yang dibuat oleh segelintir individu ini.

Sebenarnya UMNO tidak perlu pun menyaman Tian Chua. Beratus-ratus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta bekas perajurit telah bangkit menyanggah kenyataan Tian Chua. Malah mereka membela UMNO daripada tuduhan tersebut. Sekiranya UMNO tidak menyaman Tian Chua pun rakyat berada di pihak UMNO kerana tahu itu bukan sandiwara. Itu betul-betul. Tetapi apabila UMNO mahu menyaman, itu sudah bagus.

Rakyat telah bangkit memberi tekanan kepada Tian Chua apabila jumlah perajurit terkorban semakin meningkat. Secara moralnya apabila ada bukti mangsa terkorban disiarkan di media, moral Tian Chua telah jatuh. Rakyat melihat dia berpolitik melampaui batas dan mahu menjadikan tragedi itu modal pilihan raya. Sekarang siapakah yang bermain sandiwara? Bukankah UMNO juga hebat bermain sandiwara apabila Tian Chua berkata sandiwara UMNO berapi api menyanggah kononnya UMNO perjuangkan maruah dan keselamatan negara. Di mana semangat masa menyanggah kenyataan Tian Chua apabila terus lembek bila Tian Chua minta "maaf"?

Tetapi apabila UMNO mengambil tindakan undang-undang ke atas Tian Chua, rakyat melihat ini satu kesungguhan dan membuktikan UMNO tidak mempolitikkan serangan pengganas itu. Bagaimanapun apabila UMNO menarik balik saman tanpa alasan yang kukuh, rakyat melihat tindakan itu sebagai sengaja mengguris perasaan keluarga perajurit yang sanggup berkorban untuk negara. Sepatutnya apabila UMNO memulakan, biarlah hingga ke 'titisan darah terakhir' walaupun terpaksa menerima kekalahan. Alang-alang menyeluk tempayan budu, biarlah apa akan berlaku sekalipun.

Kalau UMNO kalah sekalipun dalam saman ini, UMNO tetap menang di mata rakyat. Tetapi bila belum pun masuk berlawan telah 'diselesaikan' di tepi gelanggang, apa ceritanya. Lekeh sangatlah.

Adakah harga nyawa perajurit, maruah negara dan keselamatan rakyat boleh ditukar dengan permohonan maaf (tambahan pula bukan secara rasmi di depan umum) oleh Tian Chua? Kalau rasa terlalu pemaaf sangat, eloklah berfikir banyak kali sebelum membuat tindakan saman. Bahkan lebih elok awal-awal lagi memaafkan Tian Chua, tidaklah rakyat melihat ada suatu yang tidak kena.

Apabila kes ini diselesaikan dengan begitu mudah, ia kelihatan seolah-olah pengorbanan perajurit dan keluarga yang menanggung sengsara tidak ada nilainya.

Apakah dalam keadaan kesengsaraan rakyat yang demikian teruk, UMNO tidak dapat menyelami apabila saman yang dimulakan diselesai di luar mahkamah?

Atau adakah selepas pilihan raya umum telah berlalu maka saman terhadap Tian Chua sudah tidak bernilai tinggi di pasaran politik untuk meraih sokongan rakyat? Saya sangat percaya UMNO tidak berfikir sedemikian, cuma segelintir pihak kononnya mewakili UMNO mungkin berfikir begitu.

No comments:

Post a Comment