Monday, January 13, 2014

Hassan Malek, janganlah letak jawatan

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Isu peletakan jawatan yang timbul di internet sejak beberapa hari lalu tidak sekali-kali mematahkan semangat Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Korperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek.

Sebaliknya beliau berkata, khabar angin yang tidak benar yang disebarkan beberapa blog itu telah memberikan semangat kepada beliau untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan lebih gigih.

"Saya ingat soal itu tidak timbullah. Bagi saya ini adalah memberi semangat lagi tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Selagi amanah diberikan kita akan laksanakan dengan baik, bertanggungjawab, jujur dan ikhlas. InsyaAllah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan sesi walk about di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur di Pudu Sentral di sini hari ini.

Hasan berkata, beliau serta para pegawai kementeriannya serta rakan-rakan menteri Kabinet lain akan sentiasa mencari jalan untuk mensejahterakan rakyat.

"Ada ruang dan cadangan yang baik kemukakan kepada kita supaya kita boleh timbang dan laksanakan. Saya di sini untuk melakukan itu," tambah beliau.

Beberapa blog sejak beberapa hari lalu membuat spekulasi kononnya Hasan akan mengumumkan perletakan jawatannya minggu ini ekoran tekanan rakyat berikutan kenaikan harga barang. -UTUSAN ONLINE

Komen saya:

Selepas membaca kenyataan Hassan Malek, saya adalah orang yang akan menentang sekeras kerasnya kalau dia berhasrat meletakkan jawatan. Saya ada beberapa sebab untuk menghalang dia berbuat demikian antaranya dia berjanji akan berkerja dengan jujur dan ikhlas untuk rakyat.

Apa yang saya faham daripada kenyataan itu adalah Hassan Malek sanggup berkorban demi kesejahteraan rakyat. Ini bermakna kalau dia mahu berada lama lagi dalam kabinet, itu kerana tuntutan untuk berkerja demi kesejahteraan rakyat. Ini juga menafikan tanggapan bahawa dia berkempen habis habisan semasa pemilihan agung UMNO untuk menjadi ahli Majlis Tertinggi.

Pemimpin bagaimana lagi kita mahu cari kalau bukan begini? Apabila ditanya mengenai harga ayam yang melambung suatu ketika dulu, Hassan memberikan jawapan menarik; kalau ayam mahal jangan makan ayam.

Tetapi walau apapun saya harap Hassan jangan menggunakan jawapan yang sama apabila rakyat kata kain kafan mahal. Hassan jangan pula jawab kalau kain kafan mahal janganlah mati.

No comments:

Post a Comment