Wednesday, January 23, 2013

Musuh Pas bukan UMNO tetapi DAP dan PKR


Setelah  berlaku pertentangan antara Majlis Syura dengan beberapa pemimpin tertinggi Pas,  akhirnya  Pas kini menolak kalimah Allah digunakan  oleh bukan Islam khususnya untuk merujuk kepada Tuhan dalam Bible bahasa Melayu.   Isu kalimah Allah ini telah membuatkan Pas berpecah dua;  satu  mengambil pendirian tegas menolak digunakan oleh bukan Islam dan satu lagi menyokong dan  pendirian ini sama dengan DAP dan PKR.

Tetapi apalah ertinya pendirian Pas menolak kalimah Allah digunakan  oleh bukan Islam kalau parti  ini gagal mempengaruhi pendirian DAP dan PKR?   Pas, DAP dan PKR bersatu dalam pakatan pembangkang tetapi dalam isu kalimah mereka tidak bersatu.  Kalau Pas gagal  mempengaruhi  DAP dan PKR  dalam isu yang melihatkan kepentingan Islam,  bermakna Pas  bukanlah dominan dalam pakatan pembangkang.

Maka timbul pertanyaan  parti manakah yang menentukan hala tuju  pakatan pembangkang kononnya untuk menjadi kerajaan?  Kalau Pas tidak dominan apabila gagal memperjuangkan isu yang asas dalam Islam,  apakah  Pas boleh memperjuangkan isu yang lebih besar dengan menundukkan DAP dan PKR?

Orang nombor dua PKR, Azmin Ali  awal-awal lagi  berkata,  pendirian Pas bukan pendirian  pakatan pembangkang.  Maknanya Azmin bercakap bagi pihak PKR yang menyokong kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam. DAP pula menerusi  Karpal Singh  mendesak  Pas mengkaji semula pendirian  tersebut.  Ini bermakna dua parti lawan satu parti.  Lalu yang dominan dalam pakatan pembangkang sekarang adalah  PKR dan DAP.

Kalau dalam pakatan yang  tidak rasmi ini pun Pas  sudah  dipijak oleh dua parti  lain yang lebih dominan,  mungkinkah Pas  mampu menyuarakan  isu-isu kepentingan Islam  apabila  pembangkang  berjaya menawan Putrajaya nanti?  Kepada penyokong Pas,  cuba renung keadaan ini secara waras dan jangan libatkan dengan UMNO atau BN sedikit pun.

Mufti Perak,  Harussani Zakaria menggesa Pas kukuhkan pendirian  biarpun  terpaksa keluar dari pakatan pembangkang sekiranya dua parti lagi  tidak mahu mengikut  pendirian Pas. Sebenarnya  kalangan  penyokong Pas sudah lama  mahu Pas  berdiri  sendiri tanpa menyekutukan diri dengan DAP yang  anti Islam dan PKR yang  liberal semua perkara asalkan memberi keuntungan politik kepada mereka.

Kerana itulah isu kalimah Allah  akan memberi kesan yang buruk kepada Pas sekiranya  masih  bersekongkol dengan pakatan pembangkang.  Apa yang mesti dilakukan oleh Pas  tidak sampai tiga bulan lagi sebelum PRU 13  ialah menundukkan DAP dan PKR.  Kalau ini tidak mampu dilakukan,  Pas  mesti menjadi pembangkang  di luar pakatan pembangkang.

Sekiranya Pas terus berada dalam pakatan pembangkang,  dengan ketegasan  DAP dan PKR dan sikap mengalah Pas,  sudah tentulah Pas akan tertolak ke belakang sekiranya pembangkang berjaya menubuh kerajaan.  Akhirnya  Pas akan sekali lagi menjadi pembangkang kepada  pakatan DAP dan PKR tetapi ketika itu  Pas sudah  tidak kuat lagi seperti hari ini.  Maka yang terbaik dilakukan oleh Pas ialah  menjadi dominan atau keluar dari pakatan pembangkang.  Pas jangan terlalu memikirkan  matlamat untuk menumbangkan  UMNO dan BN. Ini kerana kalau  UMNO dan BN  tumbang sekali pun  Pas  dengan sikap yang ditunjukkan sekarang hanya akan menjadi “kucing kurap”  kepada  DAP dan PKR.

Dalam isu yang menyentuk kepentingan Islam misalnya isu kalimah, Pas sudah sependapat dengan UMNO.  Apakah Pas akan terus  mahu berseteru dengan  UMNO padahal  penentang Pas sebenarnya  adalah  DAP dan PKR?  Kenapa Pas melihat  musuh yang jauh sedangkan musuh dalam selimut sangat bahaya kepada Pas?   Masalah yang dihadapi Pas sekarang tidak ada kena mengena dengan UMNO  sebaliknya masa depan Pas yang telah menunjukkan isyarat akan ditentang oleh  rakan pembangkangnya.

Orang Melayu – Islam dalam Pas tidak semuanya  totok seperti sesetengah pemimpin Pas.  Kini mereka berbelah bahagi kerana  mereka  menolak  PKR dan DAP  sedangkan  undi Pas menyumbang kepada kedua-dua parti itu.  Biarpun mereka mengundi calon Pas tetapi akhirnya ini memberi  saham kepada  PKR dan DAP  sekiranya  mereka  berjaya membentuk kerajaan.  Sebenarnya  pakatan pembangkang  akan tempang kalau Pas menarik diri dan menjadi pembangkang di luar pakatan.

Sekiranya  Pas keluar pakatan pembangkang,  penyokong Pas akan memberikan sokongan penuh kepada parti itu.  Begitu juga banyak pengundi atas pagar yang  berbelah bagi kerana BN yang banyak isu  yang tidak berjawab tentu memilih Pas  yang memisahkan diri dari  sekularisme  DAP dan PKR.  Pengundi ini mungkin tidak memilih  UMNO kerana bersekongkol dengan  MCA dan MIC yang telah beberapa kali menyentuh mengenai kedudukan Islam dan Melayu.

UMNO  dalam BN sama dengan kedudukan Pas dalam pakatan rakyat.  Walaupun UMNO kelihatan dominan tetapi banyak  desakan  MIC dan MCA dituruti hingga  mengambil  hak kepentingan Melayu.  Buktinya  UMNO  tidak berani memperjuangkan  “satu sekolah”   iaitu  sekolah kebangsaan  kerana  tentangan daripada MCA dan MIC.

Kalau Pas masih dalam pakatan pembangkang,  tidak ada bezalah antara Pas dengan UMNO.  Malah  banyak penyokong Pas  mungkin mengambil tindakan  tidak keluar mengundi kerana mereka tidak  mahu memberi  kemenangan kepada  PKR dan DAP.  Mereka memprotes  kebiadapan  DAP dan PKR yang  mempertikaikan  hak-hak Islam misalnya isu kalimah Allah. Seperti  di perhimpunan haram (yang dihalalkan oleh polis) di Stadium Merdeka,  berduyun-duyun  penyokong Pas keluar stadium ketika pemimpin DAP dan PKR naik ke atas pentas dan berucap. Maknanya penolakan penyokong Pas terhadap kedua-dua parti itu bukan rahsia lagi. Sekarang ini hanya pemimpin-pemimpin Pas,  PKR dan DAP sahaja yang boleh duduk semeja. Penyokong  Pas  banyak yang menolak idealisme  PKR dan DAP. Pemimpin Pas mesti peka kepada penolakan ini. Kedua-dua parti itu hanya memerlukan Pas untuk menarik pengundi  Melayu – Islam  dan menyekat   undi kepada UMNO. Apabila agenda ini berjaya,  Pas sudah tidak  bernilai lagi kepada pakatan pembangkang.  Pas kena akui bahawa musuh Pas sekarang bukanlah  UMNO.  Musuh Pas adalah PKR dan DAP.



Tuesday, January 15, 2013

Pembangkang kecewa, agenda tersasar


Perhimpunan haram  (walaupun polis terpaksa memberi permit)  yang diadakan pada 12  Januari lalu telah mengecewakan  puak pembangkang.  Ini kerana perhimpunan haram itu berlangsung  dalam suasana  aman tanpa sebarang  kejadian  kontroversi seperti polis memukul  para perusuh seperti  perhimpunan sebelum ini.

Perhimpunan yang dikatakan ibu segala perhimpunan itu  tidak mencapai matlamat  pembangkang untuk menghasut rakyat membenci kerajaan yang dilabelkan sebagai ganas. Padahal polis hanya ganas kepada perusuh yang sewajarnya dilayan dengan keganasan juga.

Walaupun  salah seorang penggeraknya Hishamuddin Rais berkata perhimpunan itu dihadiri oleh 500 ribu orang  (polis anggar tidak sampai 50 ribu)  tidak perlulah dijadikan  bahan perbahasan.  Mereka yang berada di  Stadium Merdeka atau yang  melihat gambar-gambar yang dirakamkan  tahu  anggaran munasabahnya.

Biarlah sejuta orang sekalipun kerana  semua itu   hanya  sebahagian kecil sahaja daripada  pengundi yang menentukan siapa yang menjadi kerajaan.  Tetapi yang penting agenda  puak perosak negara ini  tidak berlaku seperti yang dirancangkan.  Sekiranya  pada 12 Januari  itu  ada perusuh yang dipukul oleh polis,  itu sudah cukup  untuk dijadikan modal.

Nampaknya  sambutan  terhadap perhimpunan haram semakin mengecil kalau dibandingkan  yang pertama dan kedua sebelum ini.  Sebenarnya ini adalah mesej kepada  penganjur bahawa  populariti  perhimpunan ini  semakin menurun.  Ini sama seperti  perhimpunan haram semasa  Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan  tahun 1998 dulu.

Mula-mula memang banyak,  kemudian kurang dan akhirnya  tidak ada orang.  Di negara ini  orang ada kerja lain yang lebih diutamakan  kerana  dengan menyertai perhimpunan haram,  perut yang lapar tidak akan menjadi kenyang.  Lainlah dengan Indonesia kerana mereka  ada satu profesion iaitu  demonstran yang diupah atau paling tidak sebungkus nasi.


Boleh dikritik rupanya


 TERKINI;

Pakar ekonomi Bank Islam,  Azrul Azwar Ahmad Tajuddin telah diberi surat gantung tugas hari ini  berikutan pembentangan kertaskerjanya mengenai ekonomi dan politik Malaysia di satu forum di Singapura. Dalam pembentangan itu  Azrul  memberikan analisisnya  mengenai politik Malaysia khususnya dalam PRU 13 di mana Barisan Nasional (BN)  akan menang tipis.  Difahamkan pihak Bank Islam menerima tekanan daripada pihak tertentu yang memaksa tindakan menggantungan tugas pakar ekonomi berkenaan.

 ************************

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, media memainkan peranan penting sebagai platform untuk menyampaikan aspirasi dan kritikan rakyat kepada kerajaan. Media juga, kata Perdana Menteri, diharap dapat terus menjadi medium mengetengahkan isi hati rakyat kepada kerajaan dan UMNO.
.
''Kita tidak tolak pihak yang kritik kita asalkan ia bertujuan untuk mencari kebaikan dan berdasarkan fakta yang benar," katanya ketika berucap dalam majlis Makan Malam Penghargaan Media Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
.
Yang hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta barisan kepemimpinan tertinggi UMNO lain. Turut hadir ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Penolong Ketua Pengarang 1, Datuk Zaini Hassan.
.
Najib berkata, media banyak membantu kejayaan UMNO memimpin negara serta melaksanakan dasar-dasar untuk kepentingan rakyat.
.
''Komunikasi yakni perhubungan paparan berita terutama mengenai perjuangan dan dasar UMNO serta persepsi terhadap apa kita lakukan akan membentuk sikap rakyat kepada kita," katanya.
Sementara itu, Zaini ketika berucap mewakili pihak media berkata, sudah tiba masanya semua pihak harus ditegur dan mengamalkan budaya berpesan-pesan.
''Pembaca bertanggungjawab menegur wartawan dan wartawan boleh menegur pemimpin. Teguran bukan tohmahan. Malaysia memerlukan ruang pendapat yang sihat dan surat khabar perlu menyediakan ruang komentar yang bernas, tidak perlu hentam-menghentam," katanya.
.
(Petikan Mingguan Maaysia 13 Januari 2013)
.
Komen saya:
Saya tertarik dengan reaksi  Datuk Zaini Hassan  iaitu  pembaca  wajar menegur wartawan dan wartawan pula wajar menegur pemimpin.  Ini  sebenarnya harapan Zaini yang juga harapan berjuta-juta rakyat untuk melihat kerajaan yang terbuka kepada  teguran dan kritikan.  Tetapi tidak banyak yang memahami maksud “teguran” dan “kritikan”.

Sebahagian besar pemimpin memahami  bahawa teguran, kritikan atau berbeza pendapat itu sebagai menentang.  Ini salah sama sekali.  Seharusnya demi kebaikan bersama, pemimpin mesti terbuka kepada kritikan dan bukannya pujian yang membawa kepada keruntuhan.  Orang menegur kerana dia ikhlas untuk membetulkan keadaan  tetapi  para pengampu memuji kerana mahukan habuan sekalipun boleh membawa keruntuhan..

Saya percaya keterbukaan sebahagian besar daripada pemimpin terhadap teguran adalah negatif.  Sebab itu  sebaris ayat sahaja ditegur mereka pun mengelupur dan  mulalah  mengingatkan  kuasa yang ada di tangan mereka.  Semioga keterbukaan  Najib kepada kritikan  boleh menjadi perintis kepada banyak pemimpin lain terutama dalam kerajaan.



Thursday, January 10, 2013

Cara SKMM berkerja


CYBERJAYA -  Orangramai diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu melalui  Internet  atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana mereka boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang iaitu denda sehingga RM50,000  atau  penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),  Datuk Mohamed Shahril  Tarmizi berkata,  hukuman tersebut boleh dikenakan mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orangramai diminta untuk tidak menyebarkan  berita palsu melalui SMS atau media sosial kerana berita palsu seperti yang ditulis dalam blog boleh menganggu gugat keselamatan negara, kesejahteraan masyarakat dan merupakan pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini,”  katanya dalam satu kenyataan semalam

(Petikan Kosmo 10 Jan. 2013)

Daripada kenyataan ini saya ada beberapa soalan yang mahu ditanya.  Pertama,  adakah kes menyebar berita palsu ini pertama kali berlaku?  Kedua,  apakah perlunya  SKMM mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas sebuah blog menyiarkan berita palsu mengenai Perdana Menteri?  Ketiga,  apakah perlunya menyatakan  seksyen itu dan ini dalam Akta  Komunikasi dan Multimedia 1998  kerana bagi orang  awam itu bukan perkara penting?

Daripada kenyataan  yang dikeluarkan seolah-olah kes  penyebaran berita palsu ini baru sahaja berlaku dan ia berlaku kepada Perdana Menteri.  Benarkah sebelum ini tidak berlaku?  Kalau sudah banyak berlaku apa perlunya SKMM  memperlihatkan seolah-olah tidak pernah berlaku dengan mengingatkan orang ramai tentang  hukumannya?

Untuk pengetahuan SKMM,  berita palsu yang dikatakan itu berlambak dalam laman sosial.  Tak terkira banyaknya termasuk berita palsu tentang keselamatan negara.  Tetapi  kenapa SKMM tidak bertindak dengan akta yang ada itu?  Kalau SKMM  ada sedikit usaha ,  kerajinan   dan menggerakkan jari di atas keyboard  untuk melayari Internet (bukan nak suruh buat kerja berat pun)  SKMM pasti akan jumpa berlambak berita palsu yang boleh diambil tindakan.

Saya melihat tujuan SKMM mengeluarkan seksyen itu dan ini dengan denda  dan hukuman penjara tidak lebih pendekatan untuk menakutkan budak-budak  misalnya  jangan bermain api, kalau main juga nanti  kena pukul.

Daripada apa yang berlaku,  misalnya kalau ada si polan telah menyebarkan berita palsu tentang saya yang bukan status “orang kenamaan”  sudah tentu penyebar berita itu tidak dikenakan sebarang tindakan.  Buktinya sebelum ini SKMM tidak mengambil  apa-apa tindakan  kecuali melihatkan orang kenamaan seperti  Perdana Menteri.

SKMM kenalah proaktif.  Tidak boleh lagi  sekadar melepaskan batok di tangga  dengan menasihat atau menakutkan orang ramai supaya jangan menyebar berita palsu.  Tolonglah  layari laman sosial  terutama blog politik.  Macam-macam berita palsu ada di sana.