Monday, December 16, 2013

Contohi Ahmad Shabery Cheek

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek memberikan contoh yang baik kepada banyak wakil rakyat lain supaya mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi rakyat. Tindakan Shabery meninggalkan Perhimpunan Agung UMNO baru baru ini kerana kembali ke kawasannya di Parlimen Kemaman, Terengganu untuk membantu mangsa banjir wajar dipuji.

Walaupun ada yang menganggap tindakan itu bersifat popular tetapi Shabery tidak perlu melakukannya kalau untuk mendapat pengaruh atau undi. PRU 14 masih jauh dan sifat orang Melayu sebahagian besarnya mudah lupa. Jadi, kalau Shabery berbuat demikian untuk kelangsungan kerjaya politik, tentulah tidak munasabah.

Satu lagi Shabery tidak mengarahkan RTM membuat liputan beliau meranduk air dan berbasah kuyup bersama orangramai. Padahal beliau boleh berbuat demikian kerana RTM berada di bawah kementeriannya. Kerana itu saya melihat ada keikhlasan Shabery apabila dia bersama sama rakyat menangani banjir baru baru ini.

Bayangkan ketika pemimpin UMNO di PWTC menikmati makanan dalam suasana mewah dan bertaraf lima bintang, Shabery berhimpit himpit di pusat pemindahan dalam keadaan yang sangat tidak selesa. UMNO sejak dulu lagi sinonim dengan kemewahan tetapi Shabery memperlihatkan sebaliknya apabila sanggup turun padang tanpa bunga mangar seperti sesetengah pemimpin yang "turun padang" sebelum ini.

Maka kita dapat melihat dan merasakan bahawa program "turun padang" sebelum ini dibuat buat. Orang ramai pula dikerah untuk menyambut kedatangan pemimpin yang kononnya "turun padang" secara spontan. Tetapi spontan apa ke benda kalau seluruh cawangan dan bahagian UMNO dikerah menghimpunkan orangramai untuk program itu.

Sebenarnya bukan kerja Shabery untuk tolong mengedarkan makanan kepada orangramai di pusat pemindahan. Kita mempunyai agensi yang diberi tanggungjawab untuk berbuat demikian. Tetapi kehadiran Shabery secara tersirat membuktikan pemimpin mesti berjiwa rakyat. Caranya mengambil berat masalah rakyat dan tidak bersenang lenang di Kuala Lumpur sedangkan rakyat yang memilih mereka untuk duduk di Parlimen bertarung nyawa.

Memang banyak pemimpin mengaku berjiwa rakyat, tetapi pada masa yang sama mereka hidup mewah dengan elaun itu dan ini hasil cukai yang dibayar oleh rakyat. Pemimpin yang dilahirkan di atas dulang emas ditambah pula dengan sikap tidak menjiwai rakyat akan kelihatan warnanya apabila berpura pura berjiwa rakyat.

1 comment:

  1. salam ku seman. saya adalah pembaca blog saudara dan sering mengikuti pandangan dan lontaran idea saudara berkenaan sesuatu isu.

    disni saya ada satu permohonan, bolehkan saudara kongsikan dengan saya tentang bahan bacaan saudara, seperti blog dan juga laman web yang sering saudara rujuk? Ini kerana saya juga mahu tahu ten

    ReplyDelete