Wednesday, December 4, 2013

Bebaskan "media arus perdana"

Realiti cabaran akhbar global

(Mingguan Malaysia 1 Disember 2013)

PENEMBUSAN Internet negara ini sebanyak 67 peratus pada September lalu berbanding 22 peratus pada 2008 telah memberi ruang wujud dan bertambah dengan pantas jumlah wartawan rakyat (citizen journalist). Wartawan rakyat menulis di media sosial seperti blog, Facebook, Twitter dan beberapa lagi. Istilah citizen journalist dulunya sangat asing tetapi kini suatu yang biasa selari dengan penembusan Internet di seluruh dunia. Sebelum itu kalau ada pun wartawan rakyat hanya menerusi halaman forum pembaca di akhbar-akhbar.

Wartawan rakyat menyumbang kepada percambahan media sosial bukan sahaja dari segi jumlah malah pengaruhnya terhadap sosiopolitik dan budaya. Hari ini apabila seseorang itu mendaftar akaun media sosial, kemudian menulis dan tulisan itu boleh diakses oleh umum, mereka adalah wartawan rakyat. Kerana itu wibawa mereka dipersoalkan tetapi banyak juga pemilik akaun blog dan facebook yang diyakini wibawa mereka.

Mereka ini termasuklah blog Tokoh Wartawan Negara, A. Kadir Jassin, bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, Akhiruddin Atan (Rocky Bru) dan banyak lagi. Pada masa yang sama tidak terkecuali wujud blogger politik upahan tetapi hayat mereka tidak lama selepas “warna" sebenar terbongkar. Kita boleh melihat sendiri mereka yang kecundang sekalipun berselindung di sebalik nama samaran.

Walaupun begitu media sosial telah menjadi cabaran utama media yang dikatakan “arus perdana" terutama akhbar. Bukan sahaja dari segi kepantasan menyampaikan maklumat malah dianggap lebih “terbuka" terutama dalam isu yang membela kepentingan rakyat.

Penurunan jualan bukan sahaja berlaku kepada akhbar yang dilabelkan sebagai “suara kerajaan". Malah akhbar suara pembangkang seperti Harakah juga menghadapi penurunan.

Sebabnya generasi Y adalah generasi Internet. Inilah generasi teman setia perkakas elektronik dan dari telapak tangan mereka boleh memantau perkembangan dunia. Generasi inilah yang menjadi pemangkin perubahan landskap media dari akhbar bercetak kepada dalam talian dan akhbar elektronik (e-paper) dan media sosial.

Realitinya akhbar bukan lagi platform mendapatkan maklumat kerana media sosial dan akhbar dalam talian sudah mengambilalih peranannya. Akhbar bercetak mesti berperanan sebagai pencetus pemikiran dan pembudayaan kepada rakyat.

Penurunan jualan akhbar adalah realiti dunia persuratkhabaran global. Apa yang dihadapi oleh organisasi akhbar di negara ini, perkara yang sama lebih dahulu dihadapi oleh Barat khususnya AS dan Britain. Jualan akhbar di seluruh dunia menguncup dari tahun demi tahun.

Menurut statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Alliance for Audited Media (AAM), semua akhbar utama di AS mencatatkan penurunan kecuali The Wall Street Journal dan New York Times. Bayangkan hanya dua akhbar, selebihnya tidak mampu mengekalkan kedudukan. The Wall Street Journal kekal sebagai akhbar paling laris di AS dengan edaran mencecah 2.4 juta naskhah sehari iaitu meningkat 12 peratus berbanding tahun lalu.

Sementara New York Times pula mencatatkan edaran 1.9 juta naskhah sehari meningkat 18 peratus dan edisi mingguan meningkat 16 peratus menjadikan edaran 2.3 juta naskhah.

Statistik MAA menunjukkan beratus-ratus akhbar di AS tidak mampu mengekang penurunan edaran. Ini termasuklah The Washington Post, sebuah akhbar berpengaruh dan mempunyai sejarah yang panjang.

Menurut MAA lagi, kadar langganan akhbar digital di AS adalah 19 peratus daripada jualan versi cetak, meningkat daripada 14.2 peratus pada awal tahun ini. Maknanya telah berlaku “perpindahan" dari cetak kepada digital secara konsisten. Faktor ini menyumbang kepada penurunan akhbar bercetak.

Semua peneraju organisasi akhbar dan pengarang di seluruh dunia memperkatakan isu yang sama; kejatuhan jualan akhbar. Media sosial berjaya menempatkan diri dalam masyarakat. Ia dianggap telus, bebas dan demokratik walaupun masih boleh dibahaskan tanda aras wibawa pemilik akaun media sosial yang menjadi wartawan rakyat.

Dalam konteks negara ini pengaruh media sosial telah dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU-12) pada 2008 kemudian pada PRU-13 yang lalu. Dalam konteks global pula tercetusnya Musim Bunga Arab (Arab Spring) yang menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi kepada pemimpin pilihan media sosial.

Di luar negara, walaupun akhbar bercetak berhadapan penurunan tetapi kaedah mengatasinya dengan “meminjam" formula media sosial. Antara memberi ruang supaya akhbar boleh berperanan sebagai suara rakyat dalam pendemokrasian maklumat.

Pemimpin politik perlu realistik bahawa pada era kebangkitan media sosial, tidak ada yang boleh dilindungkan daripada pengetahuan rakyat. Mereka tidak mampu “mengawal" media sosial kecuali menyekat jaringan Internet seperti yang dilakukan oleh pemimpin komunis Korea Utara.

Sekiranya ruang kebebasan akhbar hampir sama dengan media sosial, jangka hayat akhbar mungkin boleh dilanjutkan. Keberanian beradab untuk menegur pemimpin mampu memulihkan keyakinan rakyat kepada akhbar.

Seperkara lagi, definisi “media arus perdana" perlu dilihat semula setelah media sosial mencatatkan pengikut yang jauh lebih besar. Mereka yang mendapatkan maklumat (tidak semestinya benar) di media sosial jauh lebih besar dan inilah “media arus perdana" pada era ini.

Ruang kebebasan akhbar sebagai mata dan telinga rakyat perlu diperluaskan untuk menempatkan kedudukan sebagai media arus perdana. Tidak ada gunanya akhbar dilabelkan “media arus perdana" tetapi kepercayaan rakyat bahawa maklumat (termasuk yang palsu) hanya ada di media sosial.

No comments:

Post a Comment