Tuesday, November 26, 2013

UMNO kekalkan status quo

(Disiarkan dalam Dewan Masyarakat November 2013)

Oleh: Ku Seman Ku Hussain


Kembali kepada status quo. Demikianlah kesimpulan ringkas yang boleh diberikan kepada pemilihan UMNO baru-baru ini. Ahli UMNO yang mempunyai kelayakan membuat pilihan telah memilih untuk meletakkan UMNO seperti yang ada sebelum ini. Tidak ada perubahan atau penjenamaan baharu terhadap parti Melayu yang berusia 67 tahun ini.
.
UMNO barangkali lebih selesa seperti yang telah sedia ada. Maka tidak perlu diubah walaupun itulah yang dijanjikan oleh pemimpin tertinggi UMNO kepada rakyat khususnya orang Melayu untuk menghadapi cabaran politik Melayu yang paling hebat pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14) lima tahun lagi. Barangkali UMNO bimbang sekiranya tidak mengekalkan status quo, keadaan yang lebih buruk akan menimpa.
.
Kerana itu keputusan yang dibuat oleh perwakilan tidak mencerminkan slogan yang dilaung-laungkan kepada rakyat bahawa UMNO akan membuat perubahan. Apa yang difahami perubahan yang dimaksudkan adalah membariskan kepimpinan baharu sekalipun Presiden dan Timbalan Presiden tidak dicabar. Inilah keputusan yang dibuat oleh perwakilan yang berjumlah 146,500 dari 191 bahagian. Keputusan yang tidak mengejutkan pada pemilihan kali ini memberikan isyarat UMNO mengekalkan status quo, selesa dengan apa yang dimiliki. Orang Melayu telah mendapat isyarat yang diberikan oleh UMNO bahawa keadaan sebelum ini perlu diteruskan. Belum masanya untuk membuat perubahan.
.
Perkataan yang terlalu kerap disuapkan kepada rakyat khususnya orang Melayu sebelum ini adalah “transformasi” dan “meremajakan” dalam UMNO. Orang Melayu menerima baik slogan ini dan sangat mengharapkan akan berlaku usaha bersungguh-sungguh untuk meremajakan UMNO. UMNO menjadi tunggak kepada Barisan Nasional (BN) tetapi selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) pada 2008, pada persepsi sesetengah pihak pengaruh UMNO mulai berkurangan. Ini disebabkan berlaku tsunami politik yang teruk dan menumbangkan lima negeri yang sebelum ini dikuasai oleh BN.
.
Pada PRU13 yang baru lalu, banyak menjangkakan satu perubahan besar berlaku dalam UMNO seterusnya dalam BN untuk menebus kembali kekalahan di beberapa negeri. Walaupun UMNO memperlihatkan sedikit peningkatan, BN tidak bertambah malah semakin menyusut apabila MCA dan MIC tidak memperlihatkan kesungguhan untuk mengubah kedudukan genting BN dalam PRU 12.
.
Bagaimanapun belum tiba masa yang sesuai untuk UMNO melakukan perubahan yang besar. Ini ditunjukan dalam keputusan pemilihan kali ini menunjukkan tidak berlaku perubahan besar dalam UMNO dan tidak ada keputusan yang mengejutkan. Daripada pengalaman sebelum ini, keputusannya adalah seperti yang dijangka. Inilah tebalnya status quo yang berakar tunjang dalam UMNO.
.
Sebenarnya ini adalah suatu yang kurang sihat kepada sebuah parti yang berhadapan dengan cabaran politik yang bukan kecil pada era ini. Ini membayangkan UMNO tidak mempunyai pelapis yang benar-benar diyakini boleh melangsungkan perjuangan politik yang telah digariskan pada masa depan. Tidak mungkin UMNO sengaja tidak menonjolkan barisan kepimpinan dalam keadaan segenting ini. Tidak ada calon yang hebat maknanya itu sahajalah yang ada. Maka tidak adalah perubahan yang boleh dilakukan.
.
Tahun ini merupakan kali pertama pemilihan UMNO menggunakan sistem electoral college sama seperti yang digunakan untuk memilih Presiden Amerika Syarikat. Ini satu penambahbaikan UMNO yang wajar dipuji untuk mengekang gejala politik wang yang sejak sekian lama mencemarkan maruah UMNO parti orang Melayu beragama Islam di negara ini.
.
Menerusi sistem baharu ini, sebanyak 146,500 perwakilan dari 191 bahagian UMNO diberi peluang memilih bagi jawatan di Majlis Tertinggi; Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi, sayap parti seperti Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat kebangsaan. Berbanding sebelum ini pemilihan hanya dilakukan oleh lebih kurang 2,000 perwakilan yang berkampung di PWTC. Secara teorinya mereka membawa suara daripada bahagian masing-masing tetapi bukan semua perwakilan membawa amanah tersebut. Banyak yang berubah apabila sampai ke PWTC.
.
​Tetapi menerusi sistem baharu, potensi untuk menyogok perwakilan terlalu kecil kerana terdapat 146,500 perwakilan di seluruh negara. Politik wang bukan satu persepsi tetapi benar-benar berlaku sebelum ini kerana Jawatankuasa Disiplin telah mengenakan tindakan terhadap beberapa calon kerana kesalahan tersebut. Tetapi sistem yang bertambah baik bukanlah penentu membawa perubahan dalam sesebuah organisasi, apatah lagi parti politik. Kalau manusia dalam organisasi tidak mahu berubah, perubahan tetap tidak berlaku.
.
Ahli UMNO kelihatan tidak berani untuk melompat ke luar kotak dengan membuat keputusan yang benar-benar meremajakan UMNO dan sekaligus membuktikan “transformasi” telah dilakukan. Kita masih boleh menerima dua jawatan utama, Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan kerana faktor mengekang wujudnya perpecahan dalam UMNO. Tidak mahu wujud team A dan team B seperti yang berlaku semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden.
.
Dr. Mahathir boleh sahaja mengarahkan sama ada secara terus langsung atau tidak langsung supaya jawatan nombor satu tidak dicabar. Tetapi beliau tidak berbuat demikian sekalipun tahu pengaruh Tengku Razaleigh besar dalam kalangan ahli UMNO. Akhirnya berlaku pertarungan dan Dr. Mahathir membuktikan beliau lebih hebat sekalipun menang tipis.
.
Sebenarnya UMNO sudah matang berpolitik dan perpecahan semasa perebutan jawatan akan bertaup semula selepas suasana menjadi tenang. Sekarang ini apabila dua jawatan utama tidak dipertandingkan dengan harapan kesatuan dalam UMNO akan bertambah untuk survival politik yang semakin mencabar.
.
Kemaraan Mukhriz dihalang
Untuk jawatan Naib Presiden, sekalipun percubaan Mukhriz Mahathir dilihat sebagai isyarat perwakilan mahukan perubahan, status quo sangat tebal dalam UMNO. Penyandang Naib Presiden Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishamuddin Hussein mengekalkan kedudukan dengan selesa kecuali Hishamuddin yang terpaksa bertarung dengan Mukhriz. Sejak awal lagi banyak pihak menjangka Zahid dengan mudah mempertahankan jawatan, begitu juga dengan Shafie.
.
Saya sangat tertarik dengan jawapan Dr. Mahathir ketika ditanya mengenai peluang Mukhriz dalam percubaan pertama merebut kerusi Naib Presiden. Kata Dr. Mahathir, daripada pengalaman beliau, calon yang disukai Perdana Menteri mempunyai peluang yang lebih cerah. Walaupun Dr. Mahathir tidak mengatakan Presiden iaitu Najib Tun Razak tidak suka kepada Mukhriz tetapi spekulasi yang dibuat oleh majalah The Economist baru-baru ini telah “dibaca” oleh sesetengah perwakilan sebagai suatu yang benar. The Economist membuat spekulasi kononnya Mukhriz menjadi saingan kepada Najib.
.
Ada kebenarannya calon yang “tidak disukai” Perdana Menteri pada persepsi perwakilan susah untuk mencapai kemenangan. Mukhriz bukan dijadikan satu kajian kes apabila tidak ada satu bahagian pun di Pahang memilih Mukhriz berbanding ketiga-tiga penyandang lain dipilih oleh semua bahagian.
.
Barangkali perwakilan di Pahang “membaca” spekulasi yang dicetuskan oleh The Economist sebagai suatu yang benar dan mereka bertindak demikian untuk menyelamatkan Perdana Menteri. Daripada keputusan semua bahagian di Pahang ini, tidak salah kalau kita membuat kesimpulan bahawa Mukhriz bukan disukai Perdana Menteri, meminjam kata-kata Dr. Mahathir. Dalam pemilihan yang lalu Zahid mendapat 188 undi, Shafie (177 undi), Hishamuddin (101 undi), Mukhriz (93 undi), Isa Samad (7 undi) dan Mohamed Ali Rustam (7 undi). Walaupun dari segi undi Hishamuddin mengatasi Mukhriz tetapi Mukhriz mengatasi dari segi undi popular. Sebanyak 57,189 perwakilan memilih Mukhriz dan 56,504 memilih Hishamuddin.
.
Pada masa yang sama Mukhriz juga menjadi mangsa sabotaj sebuah akaun laman sosial Facebook yang menyamar sebagai Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan Mukhriz hilang kelayakan bertanding kerana politik wang. Petikan laman Facebook itu disiarkan dalam portal pro pembangkang Malaysian Insider. Walaupun portal berita itu menarik balik berita itu dan meminta maaf kepada Mukhriz, kesannya membuatkan Mukhriz hilang banyak undi. Dipercayai sabotaj ini dilakukan oleh pihak tertentu untuk menyekat kemaraan Mukhriz dalam politik.
​Ada pemerhati politik melihat apa yang dilalui oleh Mukhriz dalam pemilihan ini adalah antara usaha untuk menyingkirkan pengaruh Dr. Mahathir dalam UMNO dan kerajaan. Mukhriz dilihat melangsungkan pengaruh Dr. Mahathir serta mempunyai potensi yang tinggi menjadi pemimpin utama pada masa depan.
.
Laluan mudah Khairy, Shahrizat
Bagi jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita, kedua-duanya tidak memperlihatkan saingan sengit malah awal-awal lagi sudah dapat dijangkakan keputusannya. Pencabar kepada penyandang untuk kedua-dua jawatan ini hanya ala kadar sahaja. Penyandang Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin tidak ditentang dalam erti kata sebenarnya kerana semua pencabar bukanlah dalam kalangan yang berpengaruh dan berwibawa malah tidak popular.
.
Khairy dicabar oleh Akhramsyah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman Jamallulail, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak Khalid Izhar. Khairy belum teruji sepenuhnya keupayaan untuk “berdikari” selepas tidak lagi menantu kepada Perdana Menteri. Semasa Abdullah Haji Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, Khairy bertarung sengit dengan Mukhriz untuk jawatan Ketua Pemuda. Khairy menang tetapi perbezaannya kecil selepas diulang kira.
.
Tetapi pada pemilihan kali ini Khairy tidak berhadapan dengan calon sekuat Mukhriz. Khairy mencatat kemenangan tetapi tidak semanis dengan Mukhriz. Ini kerana dalam sesuatu pertandingan, orang akan bertanya dengan siapa kita menang. Timbul persoalan, adakah laluan mudah Khairy mengekalkan jawatan Ketua Pemuda kerana sememangnya tidak ada calon yang berwibawa dalam kalangan Pemuda? Kalau pencabar-pencabar Khairy boleh dijadikan sebagai satu tanda aras, alangkah malangnya Pemuda pada masa depan. Pemuda tidak ada pelapis dan ini dibuktikan apabila tidak ada pencabar yang benar-benar mencabar Khairy.
.
Atau adakah semua ini berlaku kerana perwakilan Pemuda mahu mengekalkan status quo dan selesa seperti yang sedia ada? Pemuda tidak berani berubah kerana Ketua Pemuda yang sedia ada adalah cukup baik dan tidak mahu memeningkan kepala memilih ketua baharu kerana tidak sampai tahapnya.
.
Perebutan untuk jawatan Ketua Wanita juga menghadapi situasi yang sama. Penyandang Shahrizat Jalil tidak berhadapan dengan laluan sukar untuk mengekalkan jawatan. Kemenangan Shahrizat tidak mengejutkan sebaliknya sekiranya Shahrizat tewas pula suatu yang sangat mengejutkan. Shahrizat dicabar oleh Raihan Sulaiman Palestin dan Maznah Mazlan. Bagi jawatan Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsudin mendapat laluan mudah memenangi jawatan tersebut sekalipun terdapat pencabar. Bekas Ketua Puteri, Rosnah Abdul Rashid Shirlin tidak mempertahankan jawatan kerana melebihi had umur. Beliau berjaya memenangi jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi.
.
Hanya dua Wanita dalam MT
.
Sementara itu hanya lima dari wakil sayap UMNO berjaya menduduki Ahli Majlis Tertinggi. Ini bermakna daripada 25 Ahli Majlis Tertinggi, suara dari sayap; Pemuda dan Wanita hanya lima sahaja. Dalam kata lain suara sayap parti dalam Majlis Tertinggi hanya 20 peratus iaitu lapan peratus Wanita dan 12 peratus Pemuda. Kekalahan tujuh calon Wanita dalam perebutan kerusi Ahli Majlis Tertinggi juga memberikan satu isyarat yang tidak begitu menggembirakan kepada UMNO.
.
Kali ini hanya dua calon Wanita yang berjaya menduduki kerusi Majlis Tertinggi iaitu Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Azalina Othman Said. Calon Wanita yang tewas ialah Noraesah Mohamad, Halimah Mohamed Sadique, Dr Siti Zaharah Sulaiman, Maznah Abdul Hamid, Raja Ropiah Raja Abdullah, Rosni Zahari dan Hamidah Osman.
.
Daripada 62 orang yang menawarkan diri untuk bertanding dalam Majlis Tertinggi hanya sembilan sahaja dari Wanita. Kemenangan dua calon Wanita menunjukkan hanya lapan peratus suara Wanita dalam Majlis Tertinggi. Kedudukan ini terlalu jauh daripada sasaran sekurang-kurang 30 peratus suara wanita sebagai pembuat dasar. Bayangkan hanya seorang wanita menjadi Ketua Bahagian dari 191 bahagian UMNO. Keadaan ini tidak seharusnya berlaku. Daripada prestasi yang ditunjukkan ini maka tidak hairanlah Shahrizat dengan mudah mengekalkan jawatan sekalipun dilingkari pelbagai kontroversi yang mencipta persepsi demi persepsi.
.
UMNO perlu memberikan peluang yang lebih besar kepada golongan wanita dan inilah kalau mahu dikatakan satu transformasi. Malangnya ini tidak berlaku dalam sebuah parti yang menjadi dominan dalam kerajaan. Apakah akan berlaku dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar pada 2016, hanya dua tahun sahaja lagi?
.
Isa dan Ali ditolak
.
Pemilihan UMNO kali ini memperlihatkan para perwakilan menolak calon yang pernah disabitkan dengan politik wang pada masa lalu. Ini menunjukkan perwakilan masih mempunyai tanggungjawab untuk memastikan UMNO tidak disekutukan oleh gejala politik wang walaupun sukar untuk membersihkan sepenuhnya. UMNO harus melihat perkembangan ini sebagai suatu yang sihat dan kesedaran daripada perwakilan memberi isyarat bahawa usaha membersihkan UMNO akan berhasil.
.
Dua calon Naib Presiden yang bertanding, Isa Samad dan Ali Rustam pernah disabitkan dengan politik wang suatu ketika dulu. Walaupun tidak diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kedua-dua tokoh UMNO ini dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin.
.
Kini Isa Samad yang dulunya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan adalah Pengerusi Felda. Banyak yang menjangka hayat politik Isa hidup semula selepas memegang jawatan Pengerusi Felda, agensi kerajaan yang berdamping rapat dengan masyarakat Felda. Sementara Ali Rustam pula bekas Ketua Menteri Melaka yang kecundang dalam PRU13 yang lalu akibat tsunami pengundi Cina. Ali seorang tokoh veteran UMNO dan antara Ketua Menteri Melaka yang bertanggungjawab membangunkan negeri bersejarah itu.
.
Dalam pemilihan kali ini Isa dan Ali, kedua-duanya hanya mendapat tujuh undi dari 191 bahagian. Isa mendapat 12, 783 undi popular sementara Mohamad Ali mendapat 15,294 undi popular. Ada sesetengah pihak melihat pemilihan kali ini sebagai penamat hayat politik kedua-dua tokoh UMNO itu. Tetapi dalam politik semuanya boleh berubah. Cuma kali ini hanya UMNO yang kelihatan tidak banyak berubah.

No comments:

Post a Comment