Saturday, October 19, 2013

Siapa pertualang sabotaj Mukhriz?

Menjelang pemilihan agung UMNO portal berita Malaysian Insider telah menyiarkan satu berita mengenai calon Naib Presiden, Mukriz Mahathir kononnya hilang kelayakan kerana terlibat dalam politik wang. Malaysian Insider kononnya memetik berita itu dari laman Facebook Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Mukriz telah memberi kata dua kepada Malaysian Insider sama ada meminta maaf sebelum pukul 10 pagi ini atau dikenakan tindakan undang undang. Malaysian Insider telah meminta maaf dan menarik balik berita itu dalam portal tersebut.

Ini dilihat satu sabotaj yang dilakukan oleh musuh politik Mukriz untuk menghalang kemaraan Mukriz dalam barisan pemimpin utama UMNO. Sabotaj ini dipercayai dilakukan dengan pengetahuan Malaysian Insider oleh pihak yang rapat dengan portal ini. Sehingga entri ini ditulis, Mukriz berada di tempat keempat selepas Hishamuddin Hussein.

Dipercayai sabotaj yang dilakukan secara terancang itu berjaya menyekat kemaraan Mukhriz untuk duduk dalam barisan Naib Presiden. Sekiranya Mukhriz gagal menjadi Naib Presiden dalam pemilihan kali ini,  pengaruh Dr. Mahathir dalam pentadbiran Najib Razak pasti akan berkurangan.  Mukhriz mempunyai potensi sebagai pemimpin muda untuk memberi cabaran pada masa akan datang.

Sudah tentu ada dalam kalangan UMNO tidak suka pengaruh Dr Mahathir yang selalu menegur  pentadbiran Najib. Tambahan pula sebelum ini dikatakan Mukhriz akan mengambil tempat Hishamuddin yang tersingkir dari Naib Presiden. Keadaan ini sangat menggusarkan dan  ada kemungkinan juga sabotaj itu sebagai usaha untuk menyingkir Mukhriz yang menjadi laluan Mahathir dalam UMNO.

Teori konspirasi lain ialah golongan liberal dan sekular dalam UMNO menganggap kehadiran Mukhriz dalam barisan utama itu akan menghalang kemaraan golongan sekular yang telah melupakan perjuangan UMNO untuk bangsa dan agama. Golongan ini mempunyai cita cita politik yang tinggi dan sanggup menggadai perjuangan untuk mencapai kejayaan dalam politik.

Kepada Mukhriz, inilah sepak terajang yang biasa dilakukan dalam politik. Musuh politik bukan daripada parti lain sebaliknya rakan rakan separti kerana perebutan kedudukan dalam parti lebih penting berbanding kemenangan dalam pilihan raya. Kebetulan pula Mukhriz tidak galak berkempen menggunakan kedudukan sebagai MB Kedah dengan membeli ruang iklan di media utama.

Banyak calon yang mempunyai jawatan dalam kerajaan menggunakan peluang ini untuk menonjolkan diri. Mereka tidaklah berkempen secara langsung tetapi menggunakan media untuk membuatkan pengundi di bahagian terpikat kepada mereka. Mukhriz tidak mengambil peluang itu dan beliau akan kalah untuk kerusi Naib Presiden.

1 comment:

  1. TAK PAYAH SEMBUNYI LA. SEMUA ORANG TAHU SIAPA MEREKA INI. YANG TAK TAHU CUMA NAJIB DAN MUHYIDIN SAJA AGAKNYA.

    ReplyDelete