Saturday, October 26, 2013

Mana ulasan kritis tentang Belanjawan 2014?

Semalam Perdana Menteri, Najib Razak telah membentangkan Belanjawan 2014. Saya percaya sebahagian besar daripada kalangan rakyat termasuk saya bukanlah mahir dalam bidang kewangan dan ekonomi. Bagi saya tanpa ulasan yang jujur, bagi kami Belanjawan 2014 macam tikus tengok besi. Cuma tahu ada bonus setengah bulan bagi kakitangan kerajaan dan sagu hati kerajaan kepada rakyat dinaikkan.

Selama hampir 30 tahun saya mengikuti pembentangan Belanjawan, selama itulah orang politik yang berada di keliling pinggang Perdana Menteri memuji belanjawan yang dibentangkan. Kata mereka  belanjawan terbaik berbanding sebelumnya. Bayangkan sudah 30 kali peningkatan yang saya baca daripada kenyataan orang politik begini.

Saya pun tertanya tanya adakah mereka ini bercakap dengan jujur atau kelentong semata mata untuk mengambil hati Perdana Menteri? Mustahil setiap kali pembentangan belanjawan tidak ada sedikit pun kekurangan. Tetapi yang saya saksikan seolah olah tidak ada kekurangan dan semua ini disumbat ke kepala otak rakyat seperti saya yang tidak tahu apa apa tentang ekonomi.

Duit yang dibelanjakan itu bukan duit kerajaan. Itu duit rakyat yang dikutop daripada pelbagai jenis cukai terutama cukai pendapatan. Kerana ia melibatkan duit saya juga maka saya berkah untuk tahu dengan jelas tentang Belanjawan 2014. Malangnya tidak ada pihak yang mahu menjelaskan termasuklah pakar pakar ekonomi kita.

Adakah pakar pakar ekonomi kita juga telah dimandulkan supaya tidak bercakap dengan jujur mengenai belanjawan? Saya masih tertanya tanya adakah kaedah memberi sagu hati suatu yang baik untuk membantu rakyat yang kurang kemanpuan? Kenapa mereka yang layak menerima s agu hati itu tidak diberi potongan apabila berbelanja, misalnya di Kedai Dua Malaysia? Adakah kaedah memberi potongan dengan menggunakan kad semasa berbelanja kurang kesan politiknya berbanding menghulurkan secara tunai?

Saya harap pakar pakar ekonomi kita bangkit dari kemandulan mereka dan bercakap dengan jujur kepada rakyat. Bab yang wajar dipuji, pujilah tetapi jangan pula yang tak patut dipuji pun kena puji kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat. Saya dengan penuh sabar menunggu analisis yang kritis tentang Belanjawan 2014.

1 comment:

  1. mungkin dapat jawapan yg dicari andai saudara jenguk ke media 'sebelah sana'.

    ReplyDelete