Friday, July 26, 2013

Pulangnya seorang teman






                     ALLAHYARHAM DR. MARZUKI IBRAHIM


Baru sebentar tadi saya menerima berita kepulangan seorang teman, Dr. Marzuki Ibrahim ke rahmatullah dua hari lalu oleh  Zulkifli Ismail (Gerak Khas).  Dr. Marzuki  yang berusia 48 tahun adalah Bendahari Perkasa  selain terlibat dalam politik  serta perniagaan. 

Dr. Marzuki adalah rakan serumah ketika saya  baru berkerja di Utusan Melayu tahun 1984.  Saya bersama Zulkifli Ismail, Idris Hamid  (kini di Jabatan Perdana Menteri) dan Wan Zulkifli Wan Yaacob (kini Ketua Biro Utusan Terengganu)  menyewa sebuah flat di Taman Cheras, Kuala Lumpur.  Flat Desa Aman setinggi lima tingkat itu dihuni oleh 99 peratus kaum Cina. Tetapi kerana tidak ada pilihan, kami berempat yang menjadi wartawan kadet  bergaji RM350  terpaksa menyewa flat dua bilik dengan harga RM200 sebulan.

Suatu hari Zulkifli Ismail membawa balik seorang rakannya, kelihatan masih budak lagi. Dia juga baru datang ke Kuala Lumpur dan berkerja sebagai wartawan di majalah Era yang diterbitkanb oleh Sasterawan Negara Datuk Baha Zain. Era adalah majalah berita mingguan pertama di negara ini yang memuatkan rencana dan ulasan yang berkualiti.

Zulkifli beritahu  kawan dia ini berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan pekat dengan loghat Pulau Pinang. Dia hendak tumpang di rumah sewa kami sebagai ahli baru. Walaupun pada mulanya kami hadkan kepada empat orang sahaja  tetapi melihat perwatakannya yang menyakinkan, kami terima dia sebagai  ahli baru di rumah itu.

Walaupun dalam rumah itu menghimpunkan pelbagai negeri, saya (Perlis), Zulkifli (Kedah), Wan Zulkifli (Kelantan) dan  Idris (Johor), tetapi semuanya telah didoktrinkan dengan bahasa utara.  Bahasa utara jadi bahasa rasmi dalam rumah. Selepas bertambah seorang lagi, orang utara jadi majoriti. Tetapi beberapa istilah bahasa Kedah dan Perlis tidak difahami oleh teman baru ini. Misalnya istilah "selului" (kerap) membuatkan dia ternganga kerana tidak faham walaupun dia orang utara. Yang menariknya teman baru ini seorang ulat buku dan banyak juga buku yang dipinjamkan kepada saya.

Itulah Allahyarham Dr. Marzuki Ibrahim yang telah terputus hubungan  hampir sepuluh tahun kerana selepas penutupan majalah Era,  Allahyarham berkerja sendiri hingga berjaya menjadi penerbit beberapa majalah mingguan. Tetapi majalah sehebat Era pun  gulung tikar, apatah lagi majalah lain dan Allahyarham beberapa kali buka dan tutup syarikat penerbitannya. Allahyarham seorang yang berjiwa kental, pernah jatuh hampir bangkrap tetapi boleh bangun kembali dengan penuh semangat. Semoga rohnya dicucuri rahmat.


No comments:

Post a Comment