Thursday, June 6, 2013

Sikap pengasingan orang Cina


PILIHAN Raya Umum Ke 13 (PRU-13) yang lalu memperlihatkan polarisasi kaum Melayu dan Cina yang begitu jelas. Ini adalah hakikat yang mesti diterima dengan hati terbuka selepas sekian lama dimomokkan bahawa hubungan kaum berada pada tahap yang terbaik.

Daripada PRU-13, jelaslah Melayu dan Cina bergerak pada dua landasan selari, yang mungkin tidak akan bertemu di hujungnya. Dari sudut politik PRU-13 memperlihatkan majoriti pengundi Cina menolak untuk bersama-sama Melayu dalam Barisan Nasional (BN) yang dalamnya ada MCA yang mewakili Cina.

Statistik menunjukkan parti berteraskan kaum Cina, DAP mendapat 38 kerusi Parlimen tetapi MCA hanya tujuh kerusi Parlimen berbanding PRU-12 MCA mendapat 15 kerusi Parlimen. Statistik ini menunjukkan majoriti pengundi Cina menolak MCA kerana bergabung dengan parti Melayu, UMNO dan India menerusi MIC. Jadi, pengundi Cina bukan menolak MCA tetapi BN yang ada kaum lain dalamnya. Ini dari sudut politik.

Keputusan PRU-13 juga boleh digunakan sebagai penanda aras untuk melihat kesediaan Cina menyerapi semangat perpaduan dengan kaum yang menjadi teras iaitu Melayu. Hakikatnya perpaduan tidak berlaku dan orang Cina sebahagian besarnya tidak mahu menyerapkan pemikiran sosio-etnik mereka dengan kaum teras ini.

Sebahagian besar Cina memilih pengasingan atau mengasingkan diri dari menerima sosio-budaya dan sosio-etnik Melayu. Pengasingan ini berlaku secara besar-besaran apabila melihat pengaruh DAP dalam politik Malaysia. Persoalannya bukanlah mempertikaikan jumlah kerusi Parlimen DAP tetapi kenapa orang Cina memilih mengasingkan diri dengan kaum teras?

Mereka adalah warganegara, sama seperti orang Melayu, India dan pribumi di Sabah dan Sarawak. Cuma bezanya mereka mempunyai nenek moyang dan akar keturunan di China. Sementara orang Melayu pula nenek moyang dan akar budaya mereka di Nusantara termasuk negara ini.

Kita tidak dapat menafikan sejarah silam abad ke 19 dan awal abad ke 20 dulu nenek moyang kaum Cina yang ada di negara ini sekarang datangnya dari China. Pada awal abad ke 19, berlaku pergolakan politik yang hebat di China dan etnik Han yang menjadi majoriti di negara itu mencari tempat lain yang lebih aman serta dapat menambah kekayaan.

Etnik Han di utara China mencari penempatan baharu dan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan kaya dan bangsawan. Mereka tidak boleh lagi meneruskan hidup dengan mewah akibat ditekan oleh Manchuria serta peperangan dengan Jepun atau Sino-Japanese War. Etnik dari utara ini memilih untuk berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah.

Sementara etnik Han di selatan pula memilih Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu. Tetapi hasrat mereka berhijrah dengan etnik di utara berbeza. Mereka berhijrah untuk mencari kekayaan dan bukan untuk menetap di Tanah Melayu pada mulanya. Mereka berhasrat untuk pulang ke China suatu masa nanti dengan membawa kekayaan yang diraih di Tanah Melayu.

Seorang anak muda Cina, Tai Zee Kin menerusi laman sosial Facebooknya berhujah mengenai perkara yang sama; kenapa nenek moyangnya yang berhijrah ke Tanah Melayu tidak mahu menyerapi sosio-budaya kaum teras seperti mereka menerima sosio-budaya Barat di AS dan Eropah.

Tai Zee Kin berasal dari Sungai Petani, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani. Kemudian melanjutkan pengajian di Kolej Taylor di Subang Jaya dan seterusnya di King College di London.

Anak muda ini sangat rasional melihat konflik yang berlaku dalam masyarakat Cina negara ini dalam konteks pengasingan dan penolakan daripada menerima sosio-budaya tempatan. Penolakan inilah yang diperjelaskan menerusi PRU13 yang baru lalu.

Tulisnya, nenek moyang mereka yang berhijrah dari Tanah Besar ke negara lain berpegang kepada falsafah Ru Xiang Sui Su yang bermaksud apabila berada di sesuatu tempat sesuaikan diri dengan budaya dan sosial di tempat baharu itu. Inilah yang dilakukan oleh nenek moyangnya yang berhijrah ke AS dan Eropah.

Tai Zee Kin mendedahkan, orang Cina di AS sanggup menukar nama menggunakan nama Kristian, belajar di sekolah Inggeris dan tidak ada sekolah vernakular. Begitu juga Cina di negara-negara Eropah yang menyerapi budaya Eropah. Orang Cina di sana menyesuaikan diri dengan cepat serta menerima nilai-nilai tempatan dalam kehidupan di sana.

Tetapi falsafah Ru Xiang Sui Su tidak diamalkan oleh nenek moyang yang berhijrah ke Tanah Melayu. Menurutnya, ini disebabkan tujuan datang ke Tanah Melayu bukanlah untuk tinggal selama-lamanya. Mereka hanya singgah dan akan pulang setelah mendapat kekayaan untuk diberikan kepada sanak saudara di China. Kerana tidak berhasrat untuk menetap dan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara mereka, nenek moyangnya tidak mahu menyerap dalam budaya setempat. Mereka memperjuangkan bahasa etnik Cina, mempertahankan nilai-nilai kecinaan untuk membuktikan kepada sanak saudara di China bahawa akar budaya mereka tetap utuh walaupun di mana berada.

Sebab itulah tidak ada di mana-mana negara yang mewujudkan sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini. Malah di Singapura yang dianggap negara yang majoritinya Cina dan dipimpin oleh Cina tidak ada sekolah vernakular. Soalnya apakah sebahagian besar generasi Cina sekarang ini masih menganggap mereka hanya singgah di negara ini dan mempunyai negara lain untuk menetap?

Sekolah Tinggi Foon Yew di Johor menjadi perintis sekolah vernakular di negara ini yang kemudiannya menerbitkan surat khabar Cina pertama, Kwong Wah Jit Poh pada 1910 yang diasaskan oleh Sun Yat Sen.

Orang muda seperti Tai Zee Kin melihat dengan pandangan terbuka, antara akar budaya dan kenyataan semasa Cina di negara ini. Pandangan ini tentunya jauh berbeza daripada majoriti pengundi Cina yang memperlihatkan pengasingan dan menolak penyerapan budaya tempatan apabila memilih DAP.

Tulis Tai Zee Kin, “Saya belajar di sekolah Melayu tetapi lebih tahu tentang budaya Cina, sejarah dan ilmu berbanding mereka yang belajar di sekolah Cina."

Mengenai kewujudan Pekan Cina atau China Town di bandar-bandar besar di AS atau Eropah, menurut Tai Zee Kin bertujuan mengekalkan akar budaya dan sosio-etnik Cina dalam kalangan mereka yang berhijrah ke negara berkenaan.

Tetapi beliau mempersoalkan keperluan mewujudkan China Town di Jalan Petaling Kuala Lumpur. Hujahnya, hampir semua bandar di negara ini, tidak kira besar atau kecil adalah “China Town."

“Kenapa perlu ada China Town lagi? Di Banyak jalan di Pulau Pinang atau jalan-jalan di Kuala Lumpur seperti Serdang atau Puchong mengatasi China Town di London," soal anak muda Cina ini lagi.

Hujah-hujah yang dilontarkan oleh Tai Zee Kin mewakili orang Cina yang berfikiran terbuka dan realistik terhadap keadaan sebenar di negara ini. Maka sokongan majoriti pengundi Cina kepada DAP boleh dilihat sebagai melangsungkan impian nenek moyang yang tidak mahu menyerapi sosio-budaya setempat dan negara ini hanya persinggahan. Ini bukan lagi soal politik tetapi dilema orang Cina sendiri antara pesanan nenek moyang dan realiti sosial di negara yang menadah kelahiran mereka.

No comments:

Post a Comment