Wednesday, May 15, 2013

Selamat Hari Jururawat


PASTI tidak banyak kalangan kita yang sedar atau perasan bahawa pada 12 Mei setiap tahun adalah hari memperingati sumbangan 11 juta orang yang bergelumang dalam kerjaya jururawat. Hari Jururawat Sedunia pada 12 Mei itu selalunya berlalu tanpa banyak yang memberikan sedikit ingatan terhadap kerjaya yang mulia ini. Hari Jururawat Sedunia selalu ditenggelamkan oleh sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei, Hari Ibu pada Ahad minggu kedua setiap Mei dan Hari Guru pada 16 Mei.
.
Hari Jururawat Sedunia terselit di tengah-tengahnya. Kerjaya jururawat bagi sebahagian daripada kita adalah sama dengan kerjaya lain. Kita selalu menganggap mereka bekerja makan gaji atau bekerja kemudian mendapatkan upahnya. Kita jarang melihat kerjaya ini melampaui garis biasa daripada sudut pandangan umum. Sebenarnya jururawat bukan satu kerjaya biasa.
.
Dalam lain perkataan masyarakat kita jarang atau sangat sedikit diasuh untuk melihat kerjaya-kerjaya yang melampaui sekadar makan gaji seperti ini. Kita perlu mengakui kalau sekadar untuk makan gaji, seseorang itu tidak mungkin memilih kerjaya jururawat. Kecuali mereka mempunyai satu sudut pandangan lain misalnya untuk berbakti atau membantu manusia lain.
.
Bukan semua orang boleh menjaga dan merawat orang sakit yang pelbagai ragam penyakit dan ragam sikap. Hanya mereka yang mempunyai minat dan bersedia bekerja dalam tekanan keadaan saja yang mampu melakukan kerja-kerja ini. Kerana itu kerja-kerja yang dilakukan oleh jururawat tidak boleh diambil alih oleh robot. Ini membuktikan antara jururawat dengan pesakit harus wujud sentuhan kemanusiaan yang menjadi sebahagian daripada penawar penyakit.
.
Sama ada kita sedari atau tidak, kita semua sebenarnya telah terhutang budi kepada mereka yang bergelar jururawat. Kalau bukan kita sendiri yang menjadi penghuni katil hospital, adik-beradik atau saudara-mara tentu pernah menjadi tetamu jururawat di hospital.
.
Tidak semua orang yang mempunyai tahap kesabaran yang luar biasa yang perlu dimiliki oleh seorang jururawat. Malah tidak semua orang juga yang mampu mempamerkan wajah dan kata-kata yang sentiasa menjanjikan masa depan kepada pesakit biar seteruk mana sekalipun penyakit mereka. Ubat yang dibekalkan setiap pagi dan petang serta kaedah rawatan hanya sebahagian daripada proses merawat orang sakit. Selebihnya penawar itu ada kepada setiap jururawat yang sentiasa memberikan harapan bahawa esok masih ada kepada semua orang.
.
Hari Jururawat Sedunia adalah sebagai memperingati pengasas kerjaya kejururawatan, Lady Florence Nightingale (Lady of the Lamp) sejak awal abad ke-19 lalu. Suatu yang perlu kita mengakui ialah pendekatan penjagaan kesihatan dan perubatan yang menyeluruh tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa penglibatan jururawat.
.
Menurut statistik daripada Majlis Jururawat Antarabangsa 80 peratus perkhidmatan kesihatan peringkat asas dilakukan oleh jururawat. Pada tahun lalu, Kementerian Kesihatan telah mengisi 90,961 daripada 111,812 jawatan. Sebanyak 42,090 daripada jawatan yang diisi itu adalah menerusi kerjaya jururawat. Statistik juga menunjukkan negara ini mempunyai sebanyak 43,969 jururawat termasuk 8,700 yang berkhidmat di sektor swasta. Ini menunjukkan 43,969 jururawat memberi khidmat kepada 27 juta rakyat negara ini. Dalam kata lain nisbahnya ialah seorang jururawat untuk 500 orang. Nisbah ini sebenarnya satu perkembangan menarik kalau dibandingkan dengan statistik tahun 1999 iaitu seorang jururawat untuk 1,055 orang.
.
Ini menunjukkan pertambahan jumlah jururawat antara faktor penting untuk memastikan pendekatan dan peningkatan kesedaran tentang kesihatan digerakkan oleh penglibatan jururawat. Bayangkan daripada 1,055 orang menjadi 500 orang bagi seorang jururawat.
Nisbah ini juga menunjukkan kerjaya jururawat adalah satu yang penting kepada negara untuk memastikan tahap kesihatan rakyat berada pada tahap yang sewajarnya. Malah kerjaya ini bukan tersisih atau jururawat adalah pilihan terakhir setelah gagal memasuki kerjaya lain.
.
Ini kerana mereka yang memilih untuk menjadi jururawat bukan kerana tidak berjaya dalam kerjaya lain. Dengan tahap pendidikan akademik, mereka boleh memilih kerjaya lain yang tidak begitu mencabar dan tidak perlu bersusah payah menjaga orang sakit. Sebaliknya pilihan sebagai jururawat dilihat sebagai satu kesedaran terhadap keperluan kepada manusia lain.
.
Kerana itu kita harus bersyukur kerana ada yang memilih kerjaya yang unik ini dan menjadi perantara yang cukup humanis antara peralatan perubatan yang canggih, kepakaran para doktor dan pesakit terutama yang kronik. Cabaran jururawat adalah masa. Mereka tidak boleh memberi alasan untuk berlengah sesaat pun demi nyawa pesakit. Ini berbeza dengan kerjaya lain dalam sektor awam yang boleh menangguhkan kerja untuk beberapa jam, hari atau minggu berikutnya.
.
Tetapi jururawat harus bertindak pantas, teratur dan tidak panik mendepani keadaan pesakit yang genting. Kita juga wajar berbangga kerana mempunyai jururawat yang terlatih dalam bidang kejururawatan. Kini kursus Diploma Kejururawatan disediakan oleh 19 kolej kejururawatan di seluruh negara. Ketika ini, kolej milik kerajaan telah mengeluarkan lebih 3,000 jururawat dan kolej swasta mengeluarkan sebanyak 1,000 jururawat.
.
Perkhidmatan jururawat juga merupakan salah satu perkhidmatan kritikal yang dipandang penting oleh masyarakat. Hal ini jauh berbeza beberapa dekad lalu di mana kefahaman masyarakat terutama di kampung terhadap kaedah perubatan moden begitu rendah.

No comments:

Post a Comment