Thursday, May 30, 2013

Kenapa Satu Malaysia gagal dalam PRU13?


Keputusan PRU13 pada 5 Mei lalu memperlihatkan perpaduan yang dikatakan utuh sebenarnya sangat rapuh. Perpaduan yang dimomokkan menerusi gagasan Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak hanya artificial atau pun sengaja dibuat-buat supaya kelihatan perpaduan antara kaum benar-benar wujud.

Hakikatnya PRU13 boleh dijadikan penanda aras untuk melihat sejauh manakah Satu Malaysia mampu memadam batas antara kaum utama di negara ini. Apabila pengundi Cina majoritinya menyokong parti berteraskan Cina  iaitu DAP, ini menunjukkan tidak ada  semangat yang merentasi batas kaum antara Melayu dan Cina.  Pengundi Cina menolak Barisan Nasional (BN) yang membawa imej Malaysia kerana   BN dipimpin oleh  UMNO sebuah parti Melayu.

Walaupun dalam BN ada parti Cina iaitu MCA tetapi pengundi Cina menolak MCA kerana parti itu bersekutu dengan orang Melayu menerusi  UMNO. Sebaliknya mereka memilih DAP kerana parti itu tidak didominasi oleh kaum lain. Memanglah di atas kertas  DAP hanya sebahagian daripada Pakatan Rakyat yang dalamnya ada Pas dan PKR. Tetapi kita jangan lupa bahawa DAP yang mengemudikan Pakatan Rakyat. DAP mendapat lebih banyak kerusi Parlimen daripada PKR dan Pas.

Ini bermakna,  memilih DAP adalah memilih pemimpin Cina yang terpisah dengan semangat perpaduan bersama kaum-kaum lain terutama Melayu.  Pengundi Cina sengaja mewujudkan pengasingan kerana pada tanggapan mereka DAP boleh memimpin kerajaan Pakatan Rakyat biarpun Anwar Ibrahim  diuar-uarkan menjadi Perdana Menteri. Pengundi Cina tidak ambil kisah  tentang kewujudan Pas dalam Pakatan Rakyat kerana Pas  bukanlah suara dominan yang boleh mengatasi suara DAP.  Pas dan PKR hanya pak turut.  Tetapi kalau mereka memilih MCA,  suara MCA lebih kecil daripada suara Melayu menerusi UMNO.

Daripada keputusan PRU13, siapa lagi yang berani berkata  wujudnya Satu Malaysia dalam konteks perpaduan kaum di negara ini? Siapa lagi yang berani berpura-pura dan berbangga bahawa Malaysia negara pelbagai kaum yang berjaya?  Polarisasi kaum ternyata di peringkat yang sangat membimbangkan.  Ini dicetuskan oleh orang Cina yang ditunjukkan dalam PRU13.  Gagasan Satu Malaysia yang melanggar asas-asas dalam Perlembagaan gagal sama sekali.  Satu Malaysia hanya menonjolkan tiga kaum utama; Melayu, Cina dan India.  Padahal dalam Perlembagaan,  yang ditulis  hanya empat kaum iaitu Orang Asli di Semenanjung  Malaysia,  orang Melayu, bumiputera Sabah dan bumiputera Sarawak.

Tidak ada sepatah pun tertulis Cina dan India yang diangkat kepada kedudukan kedua dan ketiga dalam gagasan Satu Malaysia.  Bukanlah ini membelakangkan Perlembagaan?  Baiklah,  nasi sudah pun menjadi bubur yang basi dan tidakl boleh dimakan. Kalau nasi menjadi bubur,  masih boleh dimanfaatkan. Tetapi kalau bubur basi sama sekali tidak boleh dimakan.

Kita tidak boleh menerima kenyataan ini secara pasif,   tidak berbuat apa-apa sedangkan sudah tahu  bahawa pepaduan sangat rapuh dan polarisasi kaum mengambil tempat mencetuskan retak mencari belah.  Perdana Menteri,  tolonglah mendengar suara pemikir-pemikir Melayu yang masih tidak berputus asa untuk menzahirkan perpaduan di negara ini. Caranya dengan menunaskan  bibit kebersamaan  antara kaum  bermula peringkat kanak-kanak hingga remaja menerusi sistem pendidikan sekolah satu aliran di sekolah kebangsaan.

Najib kena berani bertindak untuk membina perpaduan selepas diruntuhkan oleh  Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan India.  Tidak ada negara di dunia ini yang mengizinkan  sekolah vernakular seperti ini waima di negara majoriti Cina seperti Singapura.  Pemikir Melayu sudah lama bersuara bahawa kunci perpaduan adalah memartabatkan sekolah kebangsaan.  Sekolah kebangsaan bukan sekolah Melayu tetapi sekolah untuk semua kaum.

Sikap pengasingan diri yang berlaku  dalam masyarakat Cina negara ini disebabkan sistem pendidikan yang  membenarkan pengasingan itu.  Sistem pendidikan telah menjadi alat politik dan mahu menjaga hati  orang Cina dan India lalu diwujudkan sekolah vernakular yang hakikatnya menghancurkan perpaduan.  Tetapi menerusi  gagasan Satu Malaysia,  Najib telah melambakkan begitu banyak peruntukkan kepada sekolah vernakular ini.

Kerana itu apabila keputusan PRU13 menunjukkan suatu yang tidak menggembirakan disebabkan pengundi Cina lari kepada DAP,  Najib kena menerima hakikat bahawa semua ini disebabkan oleh  sikapnya yang menjadi pemangkin polarisasi  kaum apabila sekolah vernakular diperkasakan secara berlebihan.




No comments:

Post a Comment