Wednesday, April 10, 2013

PRU 13 bukan ABP


Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) akan berlangsung pada 5 Mei depan dan penamaan calon pada 20 April  ini.   Walaupun  belum sampai tarikh penamaan calon tetapi di peringkat  kampung dan daerah yang melibatkan Parlimen dan DUN,  sebahagian besar sudah tahu siapa calon yang bertanding  untuk  membawa  suara rakyat kepada kerajaan.

Sudah pasti di banyak kawasan tidak kira Parlimen atau DUN akan berlaku  pertarungan satu lawan satu. Ini kerana  pembangkang berpayung bawah pakatan rakyat  yang memilih satu calon sahaja untuk berdepan dengan  Barisan Nasional  kecuali  ada calon bebas.  Jadi di kebanyakkan kawasan hanya ada dua persimpangan,  untuk pergi kepada Barisan Nasional atau  pakatan rakyat yang sebenarnya tidak ada pakatan apa pun kecuali untuk menumbangkan Barisan Nasional.

Memberi undi kepada seseorang calon bukan sekadar memberi kemenangan dan kita yang memilih calon berkenaan gembira kerana pilihan kita menang.  Tetapi jauh lebih penting  apakah kemenangan yang disumbangkan oleh kita itu memberi keuntungan  dalam ruang litup yang  lebih luas  kepada  agama, bangsa dan  negara.   Kalau  pemikiran pengundi sekadar memberi kemenangan kepada seseorang calon,  matlamat untuk mencari parti yang  terpimpin   tidak akan tercapai.

Mengundi  dalam PRU 13  bukanlah sama dengan mengundi untuk memilih pemenang  dalam Anugerah Bintang Popular  (ABP)  yang berlangsung baru-baru ini.  Saya tidak berkesempatan menonton siaran langsung  ABP  di TV3   kerana menonton  rancangan bual bicara di TV1.   Tetapi daripada keputusan yang saya ketahui dua hari selepas itu,  saya percaya sebahagian besar pengundi  hanya memilih artis kesukaan mereka untuk menang tanpa  mengambilkira  kualiti yang diperlihatkan, sama ada menerusi lakonan, nyanyian atau pengacaraan.

Kita boleh terima keadaan ini kerana itulah pemikiran pengundi  ABP.  Majoriti  yang mengundi  tidak mempunyai citarasa seni atau keseriusan terhadap kualiti.  Tetapi pemikiran begini tidak boleh berlaku kepada pengundi dalam PRU 13.  Tidak ada alasan selain memilih  calon yang boleh membawa  keuntungan jangka panjang menerusi perjuangan  parti –parti politik  tertentu.

Keuntungan hanya akan boleh dicapai kalau calon mewakili  parti yang mempunyai laras perjuangan.  Setidak-tidaknya  perjuangan yang telah ditunjukkan  sebelum ini untuk dijadikan asas semasa  mengundi.  Pengundi   mesti mewaraskan  pemikiran mereka,  bebaskan daripada kemarahan kerana segelintir peminpin  yang membawa selut dalam parti.

Sejak akhir-akhir ini tercetus banyak isu yang  mencabar  kedudukan  Islam  dan orang Melayu sekaligus  mencabar Perlembagaan.  Ini boleh dijadikan asas untuk memilih parti yang kelihatan bersungguh-sungguh  meletakkan Melayu  di tempat yang sewajarnya  dalam Perlembagaan, begitu juga kedudukan agama Islam yang juga termaktub dalam Perlembagaan.

Saya sangat kecewa dengan  pembangkang apabila  lebih  mengutamakan  kejayaan menumbangkan  Barisan Nasional daripada menawarkan  kelebihan-kelebihan yang tidak diberikan oleh  Barisan Nasional.  Menumbangkan Barisan Nasional dan  memberi keuntungan  kepada rakyat adalah dua perkara berbeza.

Pengundi mesti  berfikir secara matang apakah  misi  menumbangkan  Barisan Nasional itu memberi keuntungan kepada mereka?  Misalnya  pelbagai puak  di Libya  bersatu  untuk menumbangkan  Muammar Gaddafi.  Soalnya  apakah menumbangkan  Gaddafi memberi keuntungan kepada rakyat  apabila pemberontak tidak menawarkan  sesuatu yang lebih baik daripada  yang dibuat oleh Gaddafi?

Sekali lagi  PRU 13 bukan ABP  yang hasil  undian yang dibuat tidak  menjejaskan  masa depan negara kecuali  hanya menunjukkan selera  pengagum hiburan kita yang terlalu rendah.  Tetapi PRU 13  berbeza.  Pengundi mesti  akui  bahawa pakatan rakyat boleh  berpecah bila-bila masa sahaja.  Cuba bayangkan  pepecahan itu berlaku  seandainya selepas pakatan rakyat memenangi  pilihan raya kali ini.

Fikirkan juga  apakah  Pas  boleh menjadi parti yang dominan  selepas kemenangan pakatan rakyat.  Sebelum menang pun Pas sudah tidak ada  suara dalam menentukan hala tuju  malah  terpaksa menggugurkan  gagasan negara Islam  kerana dibantah oleh DAP.  Kalau Pas  tidak mampu dominasi  dan berlaku pepecahan  dalam pakatan pembangkang,  parti manakah yang mendominasi?  Apakah kita mahu melihat DAP mendominasi  kemenangan padahal  kitalah  yang memberi  kemenangan kepada parti itu yang kemudiannya menendang Pas?

Kita tidak punya masa untuk menyedarkan sebahagian pemimpin Pas  yang dirasuk gila mahu menumbangkan Barisan Nasional.  Masanya terlalu suntuk.  Tetapi kita masih punya  kesempatan  untuk menyelamatkan  Pas  daripada ditendang  selepas menang pilihan raya.  Apakah yang lebih baik  antara  kita menendang Pas awal-awal lagi  daripada menangisi nasib  selepas Pas ditendang oleh DAP dan PKR  selepas menang pilihan raya?

Apalah ertinya  kita mahu menumbangkan  Barisan Nasional yang ada UMNO, MCA dan MIC  dalamnya kalau selepas  Barisan Nasional tewas  kita juga tidak ada apa-apa  selepas Pas  ditendang?  Beruntungkah kita  kalau  undi  Pas tetapi keuntungannya pergi kepada DAP  atau  mengundi   Barisan Nasional  tetapi  untungnya pergi kepada UMNO?  Kalau  kita menghayati  bagaimana  DAP melayan pemimpin-pemimpin Melayu  dalam  pemilihan parti itu,  apakah  DAP  terlalu baik untuk memberi keadilan  kepada orang Melayu seandainya menguasai negara ini?


No comments:

Post a Comment