Thursday, February 14, 2013

Misteri "Gangnam Style"


Belanja membawa penyanyi  tarian kuda mabuk dari Korea Selatan, PSY yang popular dengan Gangnam Style ke majlis anjuran BN Pulau Pinang baru-baru ini dikatakan hampir  RM2 juta.  Penyanyi Korea Selatan itu dikatakan hanya menyanyi selama lapan minit. Dikatakan juga pengunjung  yang datang seawal pukul 7 pagi bukan sahaja dari Pulau Pinang malah dari Kedah dan Perak.

Pada masa kerajaan berkempen supaya warga negara ini berbelanja berjimat cermat,  BN sendiri  melanggarnya dengan membayar duit yang begitu banyak untuk tengok tarian selama lapan minit. BN pula  menangkis, “Ini bukan duit kerajaan tetapi dibayar oleh satu pihak lain.”

Kalau  teliti dari sudut mana sekalipun,  membawa penyanyi Korea Selatan itu  adalah satu pembaziran.  Apabila BN berkata, “Ini bukan duit kerajaan,”  maknanya  hanya kerajaan sahaja tidak boleh membazir tetapi pihak lain boleh membazir.  Kalau begitu kenapa kerajaan selalu menyebut  supaya jangan membazir,  padahal mereka boleh sahaja mengeluarkan perkeliling  dalaman.  Kenapa kerajaan meminta warga negara ini jangan membazir.

Ini bermakna membazir itu bukanlah  kepada kerajaan sahaja (itupun kalau kerajaan tidak membazir)  malah kepada semua termasuk swasta dan orang perseorangan.  Apabila ada pihak mempersoalkan  kenapa membazir begitu banyak duit untuk lapan minit,  maknanya tidak kiralah duit kerajaan atau duit siapa.

Sepatutnya BN menasihatkan pihak yang bermurah hati untuk “bersedekah”  begitu banyak dengan cara yang membazir supaya jangan meneruskan sedekahnya.  BN mesti tunjukkan  contoh yang baik kerana  kepimpinan itu menerusi teladan.  Dalam kes ini apakah yang diteladankan oleh BN kepada rakyat?

Membawa penyanyi Korea Selatan itu dikatakan membazir kerana ini tidak sedikit pun  memberi manfaat kepada orang ramai.  Kalau hendak dikatakan dengan membawa penyanyi itu akan meningkatkan tahap apresiasi  warga negara kepada seni muzik, ini sama sekali tidak berlaku.  Sebabnya penyanyi itu bukan seniman hebat yang boleh dimanfaatkan  karya seninya.  Walaupun penyanyi ini popular tetapi dia popular  dalam kalangan yang berselera  seni yang rendah.

Perkara kedua yang mesti kita fikirkan ialah kenapa sampai hari ini nama orang yang bagi sedekah kepada BN Pulau Pinang itu tidak didedahkan?  Apa salahnya mendedahkan supaya warga negara benar-benar percaya bahawa duit itu tidak melibatkan kerajaan.  Seperkara lagi supaya dapat menghindari  pihak yang nenanam budi kepada BN itu tidak diberi keistimewaan khususnya  dalam hal-hal perniagaan selepas ini.

Apabila tidak didedahkan dan  menjadi misteri,  jangan salahkan pihak yang beranggapan orang yang mengeluarkan begitu banyak “modal”    sebenarnya mempunyai  kepentingan  atau mengharapkan diberi keistimewaan. Apa yang  perlu dilakukan  sekarang ialah menamatkan misteri. Caranya dengan mendedahkan  pihak yang menaja kedatangan PSY ke Pulau Pinang.


1 comment:

  1. Udah setahun saya tidak berminat melayari blog tuan..tetapi kali ini saya menjenguknya kerana isinya menarik, isunya membangkitkan kesedaran.

    ReplyDelete