Tuesday, February 5, 2013

Mengenang Tunku Abdul Rahman


Tiga minggu lalu saya menghabiskan cuti mingguan  selama empat jam di Memorial  Tunku Abdul Rahman. Meneliti segala dokumen sejarah,  barang peribadi peninggalan Tunku dan menjengah ruang-ruang di memorial yang  di mana Tunku membuat keputusan penting  negara semasa menjadi Perdana Menteri pertama dulu.

Sebagai orang kerdil yang tidak ada rupa dalam politik, sudah tentu  saya tidak boleh menjelajah segenap ruang rumah seorang Perdana Menteri sebelum dijadikan memorial.  Ini  adalah kunjungan saya kali ketiga dan rasanya masih ada yang perlu dihayati untuk mengenal  Tunku daripada pelbagai sisi.

Kalau Tunku masih ada, Jumaat ini adalah ulang tahun ke 110.  Tetapi Tunku telah kembali ke rahmatullah pada 6 Disember 1990.  Saya masih dapat rasakan suramnya  petang itu tatkala melintasi  Hospital  Kuala Lumpur (Hospital Besar)  dengan hujan gerimis yang memilukan.  Tunku  kembali kepada Pencipta  ketika beliau turun dari tampuk kuasa. Tetapi  penghormatan warga negara ini  sangat tinggi kepada beliau.

Saya menjadi salah seorang warna yang tidak pernah bersua muka dengan Tunku berdiri  di tepi jalan  Pahang depan hospital  dan melihat sendiri  warga daripada pelbagai keturunan seolah-olah memberikan penghormatan terakhir kepada  anak raja yang meneruskan perjuangan   UMNO selepas  Dato’ Onn meninggalkan UMNO.
.
Tunku cukup dominan malah sentiasa relevan dengan sejarah politik negara selain menjadi tokoh penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Kerana itu Tunku adalah besar daripada sejarah yang ditinggalkan. Tetapi bagaimana seharusnya kita meletakkan Tunku  supaya beliau  tidak sekadar  membaca  sejarah yang tertera dalam buku teks di sekolah- sekolah?
.
 Sejarah sebenarnya tidak sekadar dikenang tetapi yang lebih penting sejarah menjadi petunjuk supaya kesilapan tidak berulang dan kejayaan dirisik formula-formulanya. Tunku adalah sejarah. Belajar sejarah bermakna merenung ke depan dengan menoleh ke belakang. Kita pasti akan menemui banyak perkara baru yang membawa kepada taksiran dan persepsi baru.
.
Kecenderungan memadam sejarah dan menyembunyikan tokoh sejarah (yang berhaluan kiri) dalam  kalangan kita dikhuatiri akan mengemukakan Tunku kecil daripada sejarah yang diciptanya. Kehilangan Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob dari sejarah negara misalnya diharapkan tidak menghilangkan pula Tunku.
.
Tunku sebenarnya mempunyai signifikan dengan banyak tragedi dan peristiwa yang bersejarah di negara ini. Pada era Tunku, waktu pramerdeka dan pascamerdeka sememangnya sangat mencabar. Tekanan dari luar, ancaman komunis dari dalam dan sensitiviti kaum yang bagai api dalam sekam menuntut kebijaksanaan Tunku.
.
Rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan memisahkan Singapura daripada  Malaysia antara yang diingati mengenai Tunku. Dalam soal hubungan Malaysia- Singapura yang bergolak ketika ini, tentu ada suara-suara yang kesal apabila Tunku mengeluarkan Singapura dari Malaysia.
.
Satu lagi yang terus relevan mengenai Tunku ialah komponen parti politik multiracial di negara ini. Tunku bukanlah pencetus kepada idea ini tetapi sebaliknya Tunku berjaya melangsungkan gagasan komponen parti politik multiracial oleh Datuk Onn yang tergendala kerana sabotaj politik pada zamannya.
.
Tunku yang berjaya mempraktikkan komponen parti-parti berasas etnik untuk mencapai kejayaan dalam politik negara ini. Gabungan UMNO yang mewakili etnik Melayu, MCA (Cina) dan MIC (India) dalam Perikatan adalah bukti bagaimana parti politik satu etnik tidak berpengaruh di negara ini. Formula ini dilangsungkan dalam Barisan Nasional yang menambahkan lagi jumlah parti komponennya.
.
Malah pembangkang juga mengakui dengan parti komponen yang multiracial saja yang dapat menawan hati rakyat. Maka kita dapat melihat wujud komponen pembangkang yang terdiri daripada tiga kaum utama negara ini. 
.
Sejarah bukan suatu yang statik sebaliknya menuntut interpretasi demi interpretasi dari semasa ke semasa supaya sejarah itu terus relevan kepada khalayak. Selain fakta, interpretasi perlu untuk melihat sesuatu yang baru. Pendekatan sejarah terbahagi kepada tiga iaitu sejarah rasmi, sejarah peribadi dan kisah sebenar seseorang tokoh. Untuk mendapatkan gambaran sebenar, ketiga-tiga cabang ini perlu dilihat secara jujur terutama sejarah peribadi dan kisah benar.
.
Kalau dilihat kembali bagaimana pejuang dan pencinta bahasa Melayu melancarkan protes di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 3 Mac 1967 semasa Parlimen mewartakan Akta Bahasa Kebangsaan adalah bertolak daripada ketidakpekaan Tunku terhadap bahasa. Ini satu isyarat kepada mana-mana  pemimpin Melayu  supaya jangan memijak bahasa Melayu kerana mahu mengaut undi.  Tetapi perkara ini banyak dilakukan  dengan tanpa segan silu atau malu.
.
Bagi pencinta bahasa, Fasal 152 dalam Perlembagaan Persekutuan telah mencatatkan taraf dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dilihat sebagai mencabul Fasal 152. Maka lahirlah puisi protes oleh Allahyarham Usman Awang, Keranda 152. Harap  jangan ada lagi Keranda 152  diusung ke Parlimen kerana  Perdana Menteri  tidak peka terhadap Fasal 152 dalam Perlembagaan  Malaysia..

1 comment:

  1. Jika dilihat pada situasi hari ini, apakah tindakan Tunku memberi taraf kerakyatan kepada sejuta pendatang dari China dan India lebih 55 tahun dahulu satu tindakan yang tepat?

    ReplyDelete