Saturday, February 2, 2013

Kecuaian LPF atau siapa?


 Terkini 6 Februari:  Filem Vishwaroopam dilepaskan oleh KDN selepas disunting 16 adegan yang dikatakan menghina Islam.  KDN tentu tidak berani mengharamkan  filem ini kerana undi kaum India sangat berharga.  Tetapi persoalan utamanya kenapa LPF boleh terlepas sedangkan mereka sepatutnya menyunting 16 adegan?  Kalau mereka menonton dengan penuh  tanggungjawab kenapa melepaskan 16 adegan tersebut?  Atau LPF hanya menjadi kambing hitam KDN  untuk jaga sensitiviti orang Islam sekaligus orang Hindu?

*********************

KLUANG 2 Feb. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perjumpaan dengan pengedar filem Vishwaroopam bagi membincangkan isu penayangan filem kontroversi itu di negara ini kerana didakwa menghina Islam.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perjumpaan dengan Lotus Five Star Sdn. Bhd. yang dijangka diadakan minggu depan itu akan mengkaji dan mencari penyelesaian yang wajar ke atas filem itu.

“Saya kenal dengan pemilik syarikat pengedaran itu dan kita akan cari penyelesaian menerusi sumbernya,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Sembrong, di Felda Ulu Belitong, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hishammuddin turut mengingatkan semua pihak terutama komponen Barisan Nasional dan rakyat supaya memahami isu sebenar mengenai filem berkenaan dan tidak terikut-ikut dengan kenyataan yang dibawa pihak luar bagi mengelakkan sebarang polemik.

Vishwaroopam, merupakan sebuah filem Tamil lakonan Kamal Hassan mencetuskan kontroversi kerana didakwa menghina komuniti Islam.

Filem itu ditayangkan pada 24 Januari lepas di negara ini tetapi ditarik balik pada hari berikutnya ekoran satu arahan pihak KDN.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO sekali lagi mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai isu yang sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi memburuk-burukkan kerajaan menjelang pilihan raya umum.

Beliau berkata, tindakan itu dilihat boleh menyebabkan perpecahan antara kaum sehingga menjejaskan keharmonian negara.

“Antara yang ditimbulkan termasuk menggembar gembur isu keselamatan di negara ini dan membuat ‘serangan’ terhadap polis,” katanya.  – BERNAMA

Komen saya:

Menteri KDN  tidak boleh campur tangan dalam hal urusan Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPF).  Yang melepaskan filem ini adalah LPF. Sepatutnya  apabila  sesebuah filem dilepaskan  oleh  LPF,  tidak ada siapa yang boleh  mempertikaikan.  Itu adalah andaian kita  sekiranya  LPF  berkerja dengan penuh tanggungjawab dan teliti.

Kalau benar filem itu menghina Islam dan dilepaskan untuk tayangan oleh LPF,  ini menunjukkan kecuaian  sebuah badan penapis  yang memikul tanggungjawab  terhadap agama, bangsa dan negara.  Nampaknya LPF pun sudah tidak diharapkan.  Bayangkan  filem yang  dikatakan boleh mencetuskan ketegangan agama itu sudah ditayangkan sejak 24 Januari lalu.  Menteri  KDN sepatutnya  tidak campur tangan  sekalipun LPF berada di bawah KDN.  Lagi pun Menteri KDN  bukanlah kerjanya berbincang dengan penerbit filem,  banyak lagi tugas besar yang patut dilakukan.

Menteri KDN  perlu membuat rombakan besar-besaran  terhadap LPF.  Badan penapis ini mesti  ditampil dengan  amanah  yang lebih besar. Buktinya  LPF  tidak berupaya  memastikan bahan siaran di televisyen misalnya  menepati kehendak tanda aras susila,  moral dan agama. Lalu tidak hairanlah  kalau stesen TV AlHijrah  menapis sendiri  rancangan siaran AlHijrah kerana tapisan LPF  tidak memberi penekanan kepada aspek susila, moral dan agama.


No comments:

Post a Comment