Setelah berlaku
pertentangan antara Majlis Syura dengan beberapa pemimpin tertinggi Pas, akhirnya
Pas kini menolak kalimah Allah digunakan
oleh bukan Islam khususnya untuk merujuk kepada Tuhan dalam Bible bahasa
Melayu. Isu kalimah Allah ini telah membuatkan
Pas berpecah dua; satu mengambil pendirian tegas menolak digunakan
oleh bukan Islam dan satu lagi menyokong dan
pendirian ini sama dengan DAP dan PKR.
Tetapi apalah ertinya pendirian Pas menolak kalimah Allah
digunakan oleh bukan Islam kalau parti ini gagal mempengaruhi pendirian DAP dan
PKR? Pas, DAP dan PKR bersatu dalam
pakatan pembangkang tetapi dalam isu kalimah mereka tidak bersatu. Kalau Pas gagal mempengaruhi
DAP dan PKR dalam isu yang
melihatkan kepentingan Islam, bermakna
Pas bukanlah dominan dalam pakatan
pembangkang.
Maka timbul pertanyaan
parti manakah yang menentukan hala tuju
pakatan pembangkang kononnya untuk menjadi kerajaan? Kalau Pas tidak dominan apabila gagal
memperjuangkan isu yang asas dalam Islam,
apakah Pas boleh memperjuangkan
isu yang lebih besar dengan menundukkan DAP dan PKR?
Orang nombor dua PKR, Azmin Ali awal-awal lagi berkata,
pendirian Pas bukan pendirian
pakatan pembangkang. Maknanya
Azmin bercakap bagi pihak PKR yang menyokong kalimah Allah digunakan oleh bukan
Islam. DAP pula menerusi Karpal
Singh mendesak Pas mengkaji semula pendirian tersebut.
Ini bermakna dua parti lawan satu parti.
Lalu yang dominan dalam pakatan pembangkang sekarang adalah PKR dan DAP.
Kalau dalam pakatan yang
tidak rasmi ini pun Pas
sudah dipijak oleh dua parti lain yang lebih dominan, mungkinkah Pas mampu menyuarakan isu-isu kepentingan Islam apabila
pembangkang berjaya menawan
Putrajaya nanti? Kepada penyokong
Pas, cuba renung keadaan ini secara waras
dan jangan libatkan dengan UMNO atau BN sedikit pun.
Mufti Perak,
Harussani Zakaria menggesa Pas kukuhkan pendirian biarpun
terpaksa keluar dari pakatan pembangkang sekiranya dua parti lagi tidak mahu mengikut pendirian Pas. Sebenarnya kalangan
penyokong Pas sudah lama mahu
Pas berdiri sendiri tanpa menyekutukan diri dengan DAP
yang anti Islam dan PKR yang liberal semua perkara asalkan memberi
keuntungan politik kepada mereka.
Kerana itulah isu kalimah Allah akan memberi kesan yang buruk kepada Pas
sekiranya masih bersekongkol dengan pakatan pembangkang. Apa yang mesti dilakukan oleh Pas tidak sampai tiga bulan lagi sebelum PRU
13 ialah menundukkan DAP dan PKR. Kalau ini tidak mampu dilakukan, Pas
mesti menjadi pembangkang di luar
pakatan pembangkang.
Sekiranya Pas terus berada dalam pakatan pembangkang, dengan ketegasan DAP dan PKR dan sikap mengalah Pas, sudah tentulah Pas akan tertolak ke belakang
sekiranya pembangkang berjaya menubuh kerajaan.
Akhirnya Pas akan sekali lagi
menjadi pembangkang kepada pakatan DAP
dan PKR tetapi ketika itu Pas sudah tidak kuat lagi seperti hari ini. Maka yang terbaik dilakukan oleh Pas
ialah menjadi dominan atau keluar dari
pakatan pembangkang. Pas jangan terlalu
memikirkan matlamat untuk
menumbangkan UMNO dan BN. Ini kerana
kalau UMNO dan BN tumbang sekali pun Pas
dengan sikap yang ditunjukkan sekarang hanya akan menjadi “kucing
kurap” kepada DAP dan PKR.
Dalam isu yang menyentuk kepentingan Islam misalnya isu
kalimah, Pas sudah sependapat dengan UMNO.
Apakah Pas akan terus mahu
berseteru dengan UMNO padahal penentang Pas sebenarnya adalah
DAP dan PKR? Kenapa Pas
melihat musuh yang jauh sedangkan musuh
dalam selimut sangat bahaya kepada Pas?
Masalah yang dihadapi Pas sekarang tidak ada kena mengena dengan
UMNO sebaliknya masa depan Pas yang
telah menunjukkan isyarat akan ditentang oleh
rakan pembangkangnya.
Orang Melayu – Islam dalam Pas tidak semuanya totok seperti sesetengah pemimpin Pas. Kini mereka berbelah bahagi kerana mereka
menolak PKR dan DAP sedangkan
undi Pas menyumbang kepada kedua-dua parti itu. Biarpun mereka mengundi calon Pas tetapi
akhirnya ini memberi saham kepada PKR dan DAP
sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan. Sebenarnya
pakatan pembangkang akan tempang
kalau Pas menarik diri dan menjadi pembangkang di luar pakatan.
Sekiranya Pas keluar
pakatan pembangkang, penyokong Pas akan
memberikan sokongan penuh kepada parti itu.
Begitu juga banyak pengundi atas pagar yang berbelah bagi kerana BN yang banyak isu yang tidak berjawab tentu memilih Pas yang memisahkan diri dari sekularisme
DAP dan PKR. Pengundi ini mungkin
tidak memilih UMNO kerana bersekongkol
dengan MCA dan MIC yang telah beberapa
kali menyentuh mengenai kedudukan Islam dan Melayu.
UMNO dalam BN sama
dengan kedudukan Pas dalam pakatan rakyat.
Walaupun UMNO kelihatan dominan tetapi banyak desakan
MIC dan MCA dituruti hingga
mengambil hak kepentingan
Melayu. Buktinya UMNO
tidak berani memperjuangkan “satu
sekolah” iaitu sekolah kebangsaan kerana
tentangan daripada MCA dan MIC.
Kalau Pas masih dalam pakatan pembangkang, tidak ada bezalah antara Pas dengan
UMNO. Malah banyak penyokong Pas mungkin mengambil tindakan tidak keluar mengundi kerana mereka
tidak mahu memberi kemenangan kepada PKR dan DAP.
Mereka memprotes kebiadapan DAP dan PKR yang mempertikaikan hak-hak Islam misalnya isu kalimah Allah.
Seperti di perhimpunan haram (yang dihalalkan oleh polis) di Stadium Merdeka, berduyun-duyun penyokong Pas keluar stadium ketika pemimpin DAP dan PKR naik ke atas pentas dan berucap. Maknanya penolakan penyokong Pas terhadap kedua-dua parti itu bukan rahsia lagi. Sekarang ini hanya pemimpin-pemimpin Pas, PKR dan DAP sahaja yang boleh duduk semeja. Penyokong Pas banyak yang menolak idealisme PKR dan DAP. Pemimpin Pas mesti peka kepada penolakan ini. Kedua-dua parti itu hanya memerlukan Pas untuk menarik pengundi Melayu – Islam dan menyekat
undi kepada UMNO. Apabila agenda ini berjaya, Pas sudah tidak bernilai lagi kepada pakatan pembangkang. Pas kena akui bahawa musuh Pas sekarang bukanlah UMNO. Musuh Pas adalah PKR dan DAP.

No comments:
Post a Comment