Thursday, January 10, 2013

Cara SKMM berkerja


CYBERJAYA -  Orangramai diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu melalui  Internet  atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana mereka boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang iaitu denda sehingga RM50,000  atau  penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),  Datuk Mohamed Shahril  Tarmizi berkata,  hukuman tersebut boleh dikenakan mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orangramai diminta untuk tidak menyebarkan  berita palsu melalui SMS atau media sosial kerana berita palsu seperti yang ditulis dalam blog boleh menganggu gugat keselamatan negara, kesejahteraan masyarakat dan merupakan pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini,”  katanya dalam satu kenyataan semalam

(Petikan Kosmo 10 Jan. 2013)

Daripada kenyataan ini saya ada beberapa soalan yang mahu ditanya.  Pertama,  adakah kes menyebar berita palsu ini pertama kali berlaku?  Kedua,  apakah perlunya  SKMM mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas sebuah blog menyiarkan berita palsu mengenai Perdana Menteri?  Ketiga,  apakah perlunya menyatakan  seksyen itu dan ini dalam Akta  Komunikasi dan Multimedia 1998  kerana bagi orang  awam itu bukan perkara penting?

Daripada kenyataan  yang dikeluarkan seolah-olah kes  penyebaran berita palsu ini baru sahaja berlaku dan ia berlaku kepada Perdana Menteri.  Benarkah sebelum ini tidak berlaku?  Kalau sudah banyak berlaku apa perlunya SKMM  memperlihatkan seolah-olah tidak pernah berlaku dengan mengingatkan orang ramai tentang  hukumannya?

Untuk pengetahuan SKMM,  berita palsu yang dikatakan itu berlambak dalam laman sosial.  Tak terkira banyaknya termasuk berita palsu tentang keselamatan negara.  Tetapi  kenapa SKMM tidak bertindak dengan akta yang ada itu?  Kalau SKMM  ada sedikit usaha ,  kerajinan   dan menggerakkan jari di atas keyboard  untuk melayari Internet (bukan nak suruh buat kerja berat pun)  SKMM pasti akan jumpa berlambak berita palsu yang boleh diambil tindakan.

Saya melihat tujuan SKMM mengeluarkan seksyen itu dan ini dengan denda  dan hukuman penjara tidak lebih pendekatan untuk menakutkan budak-budak  misalnya  jangan bermain api, kalau main juga nanti  kena pukul.

Daripada apa yang berlaku,  misalnya kalau ada si polan telah menyebarkan berita palsu tentang saya yang bukan status “orang kenamaan”  sudah tentu penyebar berita itu tidak dikenakan sebarang tindakan.  Buktinya sebelum ini SKMM tidak mengambil  apa-apa tindakan  kecuali melihatkan orang kenamaan seperti  Perdana Menteri.

SKMM kenalah proaktif.  Tidak boleh lagi  sekadar melepaskan batok di tangga  dengan menasihat atau menakutkan orang ramai supaya jangan menyebar berita palsu.  Tolonglah  layari laman sosial  terutama blog politik.  Macam-macam berita palsu ada di sana. 

No comments:

Post a Comment