Thursday, November 8, 2012

Apa makna kemenangan Obama?


Barack Obama dipilih sekali lagi menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS)  untuk penggal kedua.  Obama  menewaskan pencabarnya Romney  dari parti Republikan.  Kepada dunia, khususnya dunia  Islam  apakah maknanya kemenangan  Obama?   Apakah  dasar luar Obama untuk penggal ini akan berubah?

Pilihan raya Presiden AS  mempunyai kaitan  terutama  kepada negara-negara yang mempunyai pertalian dengan AS atau yang memusuhi AS. Maka dasar luar menjadi faktor penting untuk melihat kestabilan politik dunia setidak-tidaknya untuk satu penggal akan datang. Dasar luar AS terhadap negara-negara yang mempunyai kuasa  ekonomi dan pertahanan seperti China dan Rusia boleh dijadikan petunjuk geopolitik dunia selepas ini.

Pada masa yang sama dasar luar AS terhadap Timur Tengah terutama dalam konflik Palestin - Israel, hubungan AS dengan dunia Islam serta kesan Arab Spring yang meruntuhkan beberapa negara Arab, yang terkini Syria  menanti  tindakan seterusnya daripada Obama. Ketika berkempen pada 2008, Obama menjaja dasar luarnya yang menjurus kepada keamanan sejagat. Antaranya mengeluarkan tentera AS di Afghanistan Dan Iraq, menyelesaikan konflik Palestin - Israel dan menjalin hubungan baik dengan dunia Islam.

Tidak sampai setahun menjadi Presiden, Obama dalam ucapan di Universiti Kaherah pada 4 Jun 2009 menyakinkan dunia Islam dengan janji-janji untuk menjalinkan hubungan baik. Dasar ini bertentangan dengan George W. Bush yang menyerang Afghanistan dan Iraq. Maka banyaklah penganalisis politik melihat kenyataan Obama sebagai satu permulaan yang baik bagi dunia Islam.

Tetapi tidak lama selepas itu Obama mengugut menyerang Iran kerana mendakwa membangunkan senjata nuklear. Hujah ini sama dengan yang digunakan Bush semasa menyerang Iraq. Janji Obama di Kaherah tidak membawa makna apabila Obama juga menindas Palestin dan tidak mengambil tindakan ke atas Israel. Mesir pada era Hosni Mubarak adalah sekutu AS dan turut menindas Palestin.

AS menyumbangkan sebanyak AS$2 bilion (RM6.4 bilion) setahun kepada Mesir sebagai imbuhan memeterai perjanjian damai dengan Israel. Tetapi daripada sumbangan itu, AS$1.3 bilion (RM4.16 bilion) digunakan untuk ketenteraan bagi memastikan tentera terus memerintah Mesir. Kepada Israel pula AS memberikan AS$2.5 bilion (RM9 bilion) pada era Obama telah merenggangkan hubungan dengan Rusia yang menjadi antara kuasa besar yang sering tidak sehaluan dengan AS. Tambahan pula Rusia bertegas membekalkan uranium kepada Iran untuk loji nuklear untuk tujuan tenaga bukannya senjata.

Romney awal-awal lagi menjadikan Israel sebagai faktor menarik pengundi pro Yahudi di AS memilihnya. Romney secara terang-terangan menyokong Israel dalam lawatannya ke Tel Avis tidak lama dulu. Kenyataan Romney memang jelas bersifat rasis apabila menganggap Baitulmaqdis adalah milik Israel. Kenyataan ini dengan sendirinya menafikan hak Palestin. Malah dia juga membandingkan ekonomi Israel yang lebih tinggi kononnya kerana budaya kerja Israel.

Kemudian mempersendakan ekonomi Palestin yang jauh lebih rendah dan mendakwa ini disebabkan kegagalan budaya Palestin memajukan diri. Bagaimanapun dunia tahu bahawa kekayaan Israel adalah hasil menindas Palestin dan bantuan besar daripada AS sebagai proksi AS di dunia Arab.

Romney mungkin terlupa bahawa antara faktor kemenangan Obama  pada 2008   kerana Obama menawarkan pelan keamanan sejagat termasuk berjanji menyelesaikan konflik di Timur Tengah. Ketika Bush melancarkan serangan ke atas Afghanistan dan Iraq selepas tragedi 11 September 2011, pungutan suara memperlihatkan rakyat menentang dasar luar Bush ketika itu. Rakyat tidak mahu AS campur tangan dalam konflik dalaman Iraq untuk menumbangkan Presiden Saddam Hussein.

Hakikatnya dasar luar AS yang berkaitan dengan dunia Islam tidak akan berubah, sekalipun Presidennya bertukar ganti. Konflik di Timur Tengah tidak akan selesai kerana dasar luar AS yang telah menetapkan sedemikian. Walaupun sebelum ini Bill Clinton memperlihatkan usaha bersungguh-sungguh menyelesaikan konflik Israel - Palestin tetapi tidak dapat dilaksanakan.

Faktor penentu dasar luar AS adalah pemodal-pemodal pro Yahudi di AS. Semua calon Presiden AS bergantung kepada dana yang diberikan oleh pemodal pro Yahudi. Mereka boleh gegak gempita bercakap di atas pentas tetapi penentunya di tangan pemodal pro Yahudi. Walaupun Obama bersemangat membantu dunia Islam tetapi siapa yang membiaya dana kempen pilihan rayanya kalau bukan pemodal pro Yahudi yang menguasai ekonomi AS?

Maka  kemenangan Obama  tidak akan mengubah apa-apa yang ditetapkan oleh dasar luar AS. Dunia akan terus menjadi tidak aman kerana AS banyak memainkan peranan di negara-negara lain. Misalnya Obama sendiri banyak memainkan peranan menghancurkan Libya, Mesir dan Syria. Dasar luar AS antaranya ialah menstrukturkan semula politik di dunia Islam mengikut acuannya. Dasar ini akan diteruskan oleh siapa sahaja yang dipilih sebagai Presiden AS. 


1 comment:

  1. Dunia Islam memerlukan pemimpin yang pintar, tegas, berani dan berpengaruh untuk menghadapi kerenah AS dan sekutunya. Tapi siapa, dan bilakah dia akan menjelma?

    --Shamsudin Puteh

    ReplyDelete