Sunday, October 14, 2012

Penjelasan isu cerpen Politik Baru YBJ



CERPEN Politik Baru YBJ  tulisan  Chamil Wariya  yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia 12 Oktober 2008  telah mencetuskan kontroversi apabila  beliau menafikan cerpen itu karyanya  selepas  Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengambil  tindakan undang-undang.  Teresa mendakwa Politik Baru YBJ adalah mengenai dirinya.  Chamil telah memohon maaf kepada Teresa dan mendakwa cerpen yang disiarkan itu telah disunting  oleh Pengarang  Mingguan Malaysia ketika itu,  Hassan Mohd. Noor.
.
Chamil dalam kenyataannya kepada media 8 Oktober lalu berkata,  beliau kesal kerana  Mingguan Malaysia menyunting cerpen itu  dengan cara yang tidak profesional  dan tidak beretika di luar pengetahuannya.  Tegas Chamil, "Kerja-kerja penyuntingan yang dilakukan oleh Pengarang Mingguan Malaysia adalah tidak profesional, tidak beretika, tidak bertanggungjawab, tidak beradab malah biadab. Ia mencerminkan ketidakmatangan dan kedangkalan pengarang itu sendiri."

Akibat kenyataan  media yang dikeluarkan itu,  banyak pihak berasa sangat kesal kerana Chamil  mengambil sikap "cuci tangan"  apabila karya yang dihasilkannya  terjerumus dalam kontroversi dan diambil tindakan undang-undang.  Chamil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)  dan bekas Ketua Bahagian Majalah Kumpulan Utusan ialah wartawan berpengalaman dan sangat dihormati  dalam dunia kewartawanan.

Sebenarnya  Utusan Melayu tidak pernah menyalahkan Chamil apabila  cerpen yang dihasilkan itu menimbulkan masalah dan dikenakan tindakan undang-undang.  Malah ini bukanlah kali pertama  Utusan Melayu mendepani  tindakan undang-undang .  Kerana itu isu cerpen Politik Baru YBJ   dihadapi dengan profesional oleh Utusan Melayu.

Sebagai Penolong Pengarang  dan salah seorang daripada pasukan editorial  Mingguan Malaysia, saya berasa bertanggungjawab untuk  menjelaskan  perihal  suntingan yang  "tidak  beradab malah biadab"  seperti yang didakwa Chamil dalam kenyataannya.  Saya mengetahui   semua proses semasa cerpen itu diterima dalam kotak e-mel  Pengarang Mingguan Malaysia,  suntingan hingga  disiarkan.  Saya fikir  adalah tidak adil  kepada  Pengarang Mingguan Malaysia  (Hassan) serta  Utusan Melayu  sekiranya   tuduhan     yang dilemparkan oleh Chamil itu tidak diberi penjelasan.

Terlebih dahulu perlu dinyatakan  penjelasan ini bukanlah bertujuan menyerang balas Chamil  walaupun  Chamil telah mencalarkan  reputasi Utusan Melayu,  akhbar Mingguan Malaysia dan pasukan editorialnya.  Sebaliknya  untuk memberitahu khalayak bahawa  suntingan  yang dibuat  tidak pernah mengubah maksud keseluruhan  cerpen tersebut  dan dilakukan dengan penuh tanggungjawab.  Buktinya  versi awal  terlalu panjang dan melebihi ruangan  yang disediakan.  Hassan  boleh sahaja memendekkan  cerpen itu tetapi kerana beliau  meminta  Chamil sendiri  menyunting dan  Chamil menghantar versi kedua yang panjangnya 2,119 perkataan.  Kualiti  cerpen ini menepati piawaian Mingguan Malaysia.
.
Saya  sangat terkejut  dengan kenyataan media Chamil kerana selepas  cerpen itu disiarkan  beliau  berterima kasih  kepada saya dan Hassan.   Malah disebabkan keghairahan karya pertamanya itu disiarkan  selang seminggu kemudian  Chamil menghantar sebuah cerpen lagi.  Ini membuktikan  Chamil menerima dengan positif suntingan  yang dibuat terhadap cerpen  Politik Baru YBJ.
 .
Dalam sebuah portal berita bahasa Inggeris 21 Oktober 2008,   Chamil tidak menafikan  cerpen itu karyanya malah mempertahankan bahawa cerpen adalah karya rekaan  dan bukan mengenai ahli politik  sama ada yang hidup atau mati.
.
Portal itu bertanya kepada Chamil, "Was your story based on the event involving Teresa Kok? Why the cerpen so similar to her case?"
.
Chamil menjawab, "No, cerpen is being cerpen is not about real life;  and specifically, is not about any particular politician, alive or dead. Cerpen are fictitious in nature, in which the author is allowed the freedom to explore all possibilities unimagined in the real world."
.
Hassan hanya menukarkan  nama sebenar watak dalam Politik Baru YBJ  dengan nama rekaan. Ini kerana   naratif dan persoalan  dalam cerpen itu boleh berdiri sendiri  tanpa merujuk kepada nama sebenar  malah kalau dihasilkan dalam pendekatan futuristik sekalipun,  maksudnya  tetap sama.  Sebagai sebuah karya kreatif, cerpen berdiri dengan kekuatan isu  yang dihujah dengan galur naratif yang  berkesan.
.
Maka suntingan terhadap  Politik Baru YBJ  bukanlah  mengubah  plot tetapi   nama individu yang ada signifikannya dengan  realiti  di luar cerpen.  Saya percaya Chamil lebih faham dasar editorial Mingguan Malaysia. Kerana itu kalau ada permintaan, Saya  akan mempertimbangkan untuk menyiarkan  sekali lagi Politik Baru YBJ  dan versi asal yang disunting oleh Chamil untuk perbandingan.
.
Ketidakpuasan hati Chamil masih boleh diterima sekiranya  beliau mempersoalkan sebaik sahaja cerpen itu disiarkan.  Walaupun  di luar kebiasaan dalam  penyiaran cerpen,  pengarang  memaklumkan  kepada penulis  hanya  untuk mengubah nama watak,  kita boleh lagi terima  "ketulenan"  tidak puas hati penulis sekiranya Chamil mempertikaikannya awal-awal lagi.  Persoalannya  kenapa  mempertikaikan  selepas cerpen itu  disaman?  Adakah ini bermakna  Chamil  mengaku  Politik YBJ yang  disiarkan itu  karya beliau sekiranya  tidak ada pihak yang mengambil  tindakan saman?
.
Sebenarnya kehadiran  Chamil dalam dunia sastera adalah sangat dialu-alukan. Beliau memperlihatkan potensi yang baik untuk tergolong dalam sasterawan wartawan  yang dipelopori oleh Utusan Melayu sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.  Nama-nama seperti  Tokoh Wartawan Negara A. Samad Ismail, Sasterawan Negara  Usman Awang,  Sasterawan Negara Keris Mas,  Sasterawan Negara A. Samad Said,  Dr. Ishak Haji Mohamad (Pak Sako)   tergolong sebagai  sasterawan wartawan.  Mereka mampu menggaulkan  fakta dalam dunia kewartawanan dengan  imaginatif serta kreatif dalam kesusasteraan.
.
Harap  Chamil tidak  kecewa dengan kontroversi  karya pertama beliau ini.  Biarlah  Chamil tidak mengaku  Politik Baru YBJ sebagai karyanya tetapi itu telah memperlihatkan potensi  Chamil  meneroka dunia baharu  yang  memanfaatkan  pengalaman  dunia kewartawanan untuk melahirkan karya yang bukan sahaja kreatif tetapi sarat pemikiran dan prinsip perjuangan.

10 comments:

  1. Kesanggupan untuk menyiarkan semula cerpen 'Politik Baru YBJ' yang telah disunting oleh penulisnya,CW cuma akan mendedahkan siapa n sasaran penulis sebenarnya.

    Sy berpendapat hasrat untuk mencari kebenaran ini boleh dipertimbangkan jika keadaan atau perkembangan nature kes memerlukan berbuat demikian.

    Buat sementara ini, salinan cerpen yg telah disunting oleh penulisnya sendiri itu boleh disimpan sebagai fakta/bukti jika keadaan memerlukan dari kenyataan/perkembangan baru yang timbul berikutan kes saman ini...

    ReplyDelete
  2. Pada asalnya saya amat menyanjungi n mengagumi Chamil sejak saya mengenali penulisannya. Entah kenapa saya terlepas pandang beberapa tahun kemudian sekitar tahun 2000 sehinggalah saya berkesempatan menbaca cerpen kontravesi tersebut. Cerpen tersebut amat menarik dan memang mempunyai maksudnya sendiri.Hasil penulisan beliau memang ada kelas tersendiri dan saya amat berpuashati dengan penampilan tersebut sehinggakan saya mengikuti setiap tintanya.Senario terkini amat mengejutkan saya sebagai pengikut tegarnya sehinggakan saya seakan tidak percaya akan pendirian beliau kini. Apakah tindakan beliau ini berasaskan perhitungan politik sehingga sanggup mengorbankan sebuah Syarikat penerbitan Melayu terunggul dan ulung ini. Saya amat bersetuju sekali jika karya tersebut disiarkan semula dalam kedua dua versi agar kita semua dapat menghayati semula sentuhan emas beliau samaada di akhbar ataupun alam maya ini. Saya tetap menanti dengan penuh sabar, insyaallah.

    ReplyDelete
  3. nk bunuh diri secara subjektif sastera bukan hanya dengan terjun bangunan, minum racun atau minta treler langgar, tp dengan tidak mengaku hasil karya sendiri. soalnya, kenapa hasil sastera yg diakui berkualiti sanggup tidak mengaku hasil ciptaan sendiri? hanya kerana rm50000? mana nilai harga dirimu chamil wariya?

    ReplyDelete
  4. Akhirnya apabila byk berfikir ttp lebih cenderung ke arah emosi jadilah saudara Chamil spt A,Samad Said dan Shahnon Ahmad. Di hujung2 usia mereka akhirnya rebah terpaku dgn helah2 pembangkang!

    ReplyDelete
  5. Mungkin ada ketidakpuasan hati oleh Chamil dengan pihak Utusan. Mungkin juga, dalam menangani kes saman tersebut beliau berseorangan tanpa mendapat pembelaan dan kerjasama dari Utusan. Atau, mungkin juga Chamil seorang pengecut yang hanya berani berjuang separuh jalan. Malang bagi Chamil, kreadibilitinya sudah menjadi debu di kalangan pembaca Utusan.

    ReplyDelete
  6. Engku Aziz jauh lebih bermaruah daripada Chamil.

    ReplyDelete
  7. TAHUN 1998 TAHUN SAYA MULA HILANG RESPEK KEPADA CHAMIL WARIYA. SEBABNYA??? HANYA SAYA, DIA DAN ALLAH YANG TAHU...

    TV BUROK

    ReplyDelete
  8. Di dunia kewartawanan mungkinlah, tapi Chamil Wariya bukannya merupakan satu nama besar di dunia kesusasteraan.

    Pada pendapat saya samada cerpen Politik Baru YBJ yang kontroversi itu adalah merupakan teks asal ataupun telah disunting secara ‘tidak beradab malah biadab’oleh pihak akhbar tuan sebagaimana yang didakwanya, itu semuanya bukanlah merupakan soal pokok.

    Persoalannya mengapakah cerpen seumpama itu dihasilkan dan mengapakah kemudiannya pula disiarkan?

    Bagi saya mengecam Chamil seorang bukanlah sesuatu yang matang kerana mungkin terdapat agenda terancang di sebalik segalanya itu.

    ReplyDelete