Saturday, August 18, 2012

Tak payahlah sertai Olimpik 2016


Kepada satu komen saya dalam blognya, Tokoh Wartawan Negara Datuk A. Kadir Jasin secara sinikal menjawab, “Bagi mereka kerakyatan, satu dunia dah buat. Dalam jel kita ada lanun Somalia. Daripada dok makan free, kerah yang muda-muda tu lari jauh. Kita kena fikir luar daripada kebiasaan. Orang kita kurang dari segi kekuatan tubuh badan dan mental.”  Isu yang dibahaskan  dalam blog itu ialah prestasi negara di Sukan Olimpik London 2012 yang sangat teruk.  Daripada apa yang saya faham Kadir secara sinis mencadangkan kita menggunakan atlet yang “dibeli” dari negara mundur tetapi  mempunyai kehebatan dalam sukan.

Sejak 56 tahun menyertai Sukan Olimpik, hakikat yang terpaksa diterima ialah kegagalan. Tahun ini kalau tanpa Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong, delegasi negara sama seperti tahun-tahun sebelumnya yang  pulang dengan tangan kosong. Ironiknya riuh rendah penyertaan kita ke Sukan Olimpik macam mengalahkan negara yang membawa pulang “berkarung-karung” pingat emas. Tetapi masih juga hendak hujah bahawa penyertaan itu mengharumkan nama negara. Apa yang harumnya kalau tercorot?

Barangkali sudah sampai masanya untuk birokrat sukan kita berfikir apakah wajar  kita terus menyertai Sukan Olimpik yang menelan belanja besar tetapi hasilnya kosong. Tanpa menafikan kehebatan Lee Chong Wei memperlihatkan persembahan  tetapi persoalannya  bagaimana dengan yang lain? Kalau begini hasilnya dari London, apa lagi  janji delegasi kita untuk  ditepati di Sukan Olimpik di  Rio de Janiero 2016 nanti?

Apakah matlamat sebenarnya penyertaan kita di acara-acara sukan bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik ini? Sekadar mendapat pengalaman menyertai  dan bukan untuk menang? Kegagalan meraih pingat di Sukan Olimpik bukanlah “nasib tidak menyebelahi” kecuali kes Lee Chong Wei. Tetapi yang lain adalah  kegagalan perancangan pembangunan sukan. Kalau perancangan betul sudah tentulah ada peningkatan  setidak-tidaknya sama hebat Kenya atau Ethiopia.

Sebenarnya tidak menyertai Sukan Olimpik  bukanlah menunjukkan negara kita tidak maju. Sukan dan kemajuan negara tidak ada kena mengena. Malah sukan tidak pernah dan tidak boleh dijadikan penanda aras kemajuan ekonomi,  tamadun dan politik sesebuah negara dan juga bangsa. Buktinya negara di Afrika yang lebih mundur tetapi lebih berjaya di Sukan Olimpik. Maka   lebih baik tidak menyertai daripada kita membazirkan kutipan cukai yang dibayar oleh rakyat untuk satu sasaran  yang  sentiasa tersasar.

Kalau masih berhasrat juga untuk menyertai Sukan Olimpik 2016, birokrat sukan kita kenalah ada rasa malu yang amat sangat kepada pembangunan sukan di negara mundur seperti Kenya, Jamaica atau Ethiopia. Di London, Jamaica dapat 10 pingat (3 emas), Kenya lapan pingat (2 emas) dan Ethiopia dapat enam pingat (3 emas). Apa agaknya  hujah birokrat sukan untuk menafikan negara-negara mundur ini lebih hebat berbanding kita?

Kalau dilihat  sejarah penyertaan negara-negara mundur ini pula, Jamaica misalnya menyertai Sukan Olimpik sejak 1948 dan setakat ini telah mengumpul 65 pingat termasuk 16 pingat emas. Sementara Kenya pula mula menyertai Sukan Olimpik pada 1956 telah mengumpul 75 pingat termasuk 23 pingat emas. Birokrat sukan kita perlu belajar dari negara-negara ini bagaimana mereka membangunkan sukan  hingga jauh meninggalkan negara ini yang memperuntukkan RM365 juta untuk sukan dalam Belanjawan 2011. Mungkin  belanja pembangunan  sukan di negara berkenaan tidak sebesar kita. Tetapi mereka  berjaya kerana tidak melibatkan orang politik sebagai pemimpin badan sukan seperti kita.

Birokrat dan pengurusan sukan kita  tentu  ada alasan  kenapa sukan negara ini tidak sepadan dengan wang yang dilaburkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap sekian banyak pembaziran terutama penyertaan di Sukan Olimpik tanpa ada hasil yang setimpal. Kalau pengurusan sukan kita masih mahu mempertahankan penyertaan ke Sukan Olimpik, mereka kenalah bentangkan kepada rakyat apa hasilnya.

Saya fikir adalah lebih wajar kalau birokrat sukan kita melupakan sahaja Sukan Olimpik. Lagi pun atlet yang berjaya tidak pernah menjulang nama negaranya, cuma  kita sahaja yang selalu menganggap begitu. Kalau benarlah Sukan Olimpik menjulang nama negara, dari negara manakah Asbel Kipruto Kiprop (pingat emas 1,500 meter lelaki), Wifred Bungei (pingat emas 800 meter lelaki) atau Nancy Lagat (pingat emas 1,500 meter wanita) di Sukan Olimpik Beijing 2008? Jangan terpinga-pinga. Kalau benar atlet menjulang nama negara tentu kita tahu negara yang mereka wakili.

Maka janganlah kita terlalu mengharapkan nama negara harum selepas Lee Chong Wei mendapat pingat perak atau Rinong mendapat pingat gangsa. Itu tidak benar. Kita berbangga dengan kejayaan mereka tetapi  hakikatnya tidak mengharumkan nama negara. Sebabnya yang mendapat pingat emas pun orang tidak tahu dari  mana, inikan pula bukan emas. Tetapi kita terpaksalah berbangga dengan dua pingat ini kerana Malaysia bukan Kenya atau Jamaica yang “memborong”   pingat dari London.


1 comment:

  1. Sukan adalah satu alat untuk menyatukan bangsa selain meningkatkan rasa patriotik kepada negara.

    Lihat sahajalah sokongan rakyat Malaysia kepada LCW & Pandalela sewaktu sukan berlansung. Hampir semua rakyat Malaysia mengenepikan isu politik, bangsa dan taraf hidup ketika menyaksikan dua belia Malaysia itu beraksi.

    Jadi sukan peringkat antarabangsa, bagi saya mampu meningkatkan tahap patriotik rakyat Malaysia yang semakin luntur.

    Rakyat yang patriotik, mampu menyumbang 'sesuatu' kepada negara.

    ReplyDelete