Saturday, August 18, 2012

Pas wajar keluar Pakatan Rakyat


Sejak lama dulu saya tidak setuju Pas  bersekongkol dengan Pakatan Rakyat yang  dalamnya ada  PKR dan DAP.  Sebabnya  Pas mempunyai kekuatan untuk menarik pengundi Melayu  dan mempunyai peluang cerah untuk menambah negeri takluk Pas selain Kelantan.  Saya yakin UMNO pasti mendepani terancam sekiranya Pas  berdiri secara solo sebagai pembangkang dan tidak bersekongkol dengan Pakatan Rakyat.

Idealisme perjuangan Pas yang dibawa oleh generasi terdahulu sangat besar dan yang paling penting penekanan kepada perjuangan Islam serta orang Melayu.  Idealisme ini hanya akan bangkit kalau Pas berada di luar Pakatan Rakyat.  Ini kerana  DAP adalah anasir penting  yang memangkas idealisme  Pas  era Datuk Asri  dan Yusof Rawa.  Idealisme Pas ini bertentangan sama sekali dengan idealisme DAP yang menjadi parti orang Cina.

Apakah Pas percaya kalau keluar dari Pakatan Rakyat,   Pakatan Rakyat  akan  berjaya menawan Putrajaya?  Sebenarnya tanpa Pas,  Pakatan Rakyat tidak  akan sama sekali berjaya menawan Putrajaya.  Biar pun agak tipis untuk Pas secara solo menawan Putrajaya tetapi  tidak usahlah terlalu tamak untuk menjadi kerajaan kerana menjadi pembangkang yang kuat dan  pragmatik juga  sebuah kerajaan.

Sekarang ini kewujudan Pas dalam Pakatan Rakyat hanya alat untuk menarik orang Melayu – Islam menyokong  pembangkang.  Strategi ini telah berjaya dan  kawasan yang diwakili oleh DAP akan mendapat undi  dari  orang Melayu – Islam  yang menyokong Pas.  Tidak terfikirkah oleh Pas  tanpa wujudnya Pas dalam Pakatan Rakyat  orang Melayu – Islam akan memilih DAP dan bukan Pas  kepada yang  tidak menyokong UMNO?

Apakah misalnya wakil  India atau Cina  dari PKR akan mendapat undi  Melayu – Islam  kalau Pas tidak ada dalam Pakatan Rakyat.  Kalau Pas menjadi solo,  Melayu – Islam  hanya mempunyai dua pilihan sama ada Pas atau UMNO.  Mereka tentunya tidak akan memberi undi kepada  bukan Melayu dalam PKR atau DAP.  Sekarang ini yang banyak mengundi  PKR dan DAP adalah  Melayu Islam penyokong Pas  sebab kononnya Pas ada saham dalam Pakatan Rakyat.

Banyak juga orang Melayu kecewa dengan UMNO.  Tanpa menafikan sumbangan UMNO terdahulu tetapi hakikatnya UMNO masa kini  seolah-olah hilang  pengaruh apabila  duduk semeja dengan MCA dan MIC.  Kalau era Dr. Mahathir  UMNO  parti  dominan dalam BN tetapi kini tidak lagi.  Suara MCA dan MIC sama kuat  malah lebih kuat  daripada UMNO.

Orang Melayu yang kecewa dengan UMNO mencari parti alternatif   dan  Pas adalah  jawapan paling tepat.  Bagaimanapun dalam keadaan  Pas yang sama dengan UMNO dalam BN,  mereka  yang kecewa  mungkin  terpaksa mengundi  UMNO kerana  MCA dan MIC lebih baik sikit berbanding DAP.  Tetapi kalau Pas tidak bersekongkol dengan  Pakatan Rakyat,  orang Melayu yang kecewa dengan UMNO akan pergi kepada Pas.

Pas kini sama kedudukannya dengan UMNO dalam BN yang tidak boleh menyuarakan kepentingan Melayu.  Bukti terkini  apabila Pas  memberi tekanan yang kuat untuk menyingkirkan bekas Timbalan Presiden  Pas,  Nasharuddin Mat  Isa  yang mengkritik  DAP.  Kerana berada dalam Pakatan Rakyat  Pas terpaksa “membunuh”  Nasharuddin  walaupun perjuangan Nasharuddin  selari dengan idealisme Pas  sebelum ini.  Tetapi kerana  mengkritik sekutu Pas iaitu DAP,  Pas memilih untuk kehilangan tokoh besar seperti Nasharuddin untuk menjaga hati DAP.

Kalau Pas bersendirian,  orang macam Nasharuddin tidak akan ditendang keluar kerana memperjuangkan Islam.  Malah  tokoh macam Nasharuddin  yang akan menarik  orang Melayu – Islam  menyertai perjuangan Pas  dalam keadaan UMNO yang ikut menjadi liberal sama seperti MCA dan MIC.  Kewujudan Pas dalam Pakatan Rakyat  hanya lebih banyak kerugian berbanding keuntungan.  


No comments:

Post a Comment