Monday, July 23, 2012

Retrospektif Dialog Cerdik 27 tahun lalu


Siri Dialog Cerdik pada 1985 antara yang banyak mempengaruhi saya mengenal filem ketika baru setahun berkelana di ibu kota dan menjadi wartawan Utusan Melayu. Dialog ini dianjurkan setiap bulan di Sudut Penulis DBP dan membincangkan isu-isu seni khususnya filem. Walaupun  berskala kecil dan disertai oleh peminat filem generasi muda tetapi tetap ada kesannya.
.
Dialog ini sebenarnya tidak formal, siapa yang mempunyai idea, mereka tidak teragak-agak melontarkan sekalipun yang sangat provokatif. Ini untuk mencambahkan minda generasi muda pembikin filem dan peminatnya sekaligus. Sebabnya ketika itu adalah zaman peralihan dari filem-filem melodrama Jins Shamsuddin dan Rahim Razali kepada generasi baru seperti Nasir Jani, Mansor Puteh dan Zarul Albakri.
.
Digerakkan oleh orang muda yang sedikit radikal terhadap filem, antaranya Johan Jaaffar Pengkritik Filem Terbaik 1981 tetapi khabarnya beliau memulangkan trofi yang dimenangi itu. Selain Johan ialah Dr. Anuar Nor Arai pensyarah filem di Universiti Malaya dan Mansor Puteh yang kedua-duanya baru pulang dari Amerika Syarikat dan Nasir Jani.
.
Siri Dialog Cerdik ini adalah alternatif kepada sekian banyak seminar dan forum filem yang dianjurkan oleh pelbagai pihak yang lebih mementingkan acara perasmian oleh menteri daripada isi kandungannya. Acaranya terlalu formal, penuh berbasa basi tetapi diakhiri dengan kesimpulan yang semua orang sudah menjangkanya. Kelompok generasi muda mencari alternatif untuk mencambahkan minda, setidak-tidaknya kepada kelompok kecil yang datang ke Sudut Penulis.
.
Mereka adalah generasi yang terpisah daripada kesan nostalgia kepada Jalan Ampas dan P. Ramlee. Dr. Anuar misalnya pernah mengusulkan supaya P. Ramlee dilihat kehebatannya dari sudut akademik melampaui nostalgia rakan semata-mata. Tetapi Dr. Anuar dikecam kerana dianggap memperkecilkan P. Ramlee.
.
Maka generasi muda yang mencintai filem terpinggir dalam forum-forum arus perdana. Merekalah yang menghidupkan siri Dialog Cerdik yang penuh kontroversi apabila memperlihatkan sudut pandangan yang kritis terhadap filem-filem P. Ramlee. Nasir Jani pula yang baru mengarah filem pertama Kembara Seniman Jalanan berkisar mengenai cetak rompak mengamuk bila filemnya dicetak rompak dan dia sendiri yang menangkap lanun cetak rompak itu di Kompleks Pertama.
.
Jumaat lalu Johan menganjurkan Dialog Sri Pentas pertama. Dialog ini akan diadakan pada Jumaat ketiga setiap bulan. Saya antara tiga ahli panel untuk siri pertama ini. Dua panel lagi ialah Rektor Aswara, Prof. Dr Hatta Azad Khan dan pengarah filem Puteri Gunung Ledang, Saw Teong Hin. Tajuknya Filem Malaysia: Antara Kualiti dan Kuantiti.
.
Berada di depan khalayak dan turut disaksikan oleh Johan serta pegawai-pegawai kanan Media Prima Berhad kerana dialog ini adalah inisiatif Johan yang juga Pengerusi Media Prima Berhad, saya seperti terimbau 27 tahun lalu ketika menyertai siri Dialog Cerdik di Sudut Penulis DBP.  
.
Diharapkan semangat Dialog Cerdik dapat diserapkan dalam Dialog Sri Pentas supaya bebas mengkritik dan bercakap mengenai semua cabang seni tanpa ragu-ragu. Ini adalah pentas yang diyakini boleh memberi dan mencambah minda dalam mendepani sebahagian filem kita yang luar biasa buruknya.

No comments:

Post a Comment