Monday, July 9, 2012

Isu Melayu dan Islam dalam politik

.
Isu Melayu dan Islam menjadi subjek utama yang terus menjadi perbincangan dan perbahasan sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR). Sebenarnya dalam pentas politik tempatan, kedua-dua isu ini tidak pernah selesai dibahaskan. Pada masa sama menjadi senjata untuk satu pihak menikam pihak yang satu lagi. Kalau dalam dunia politik antarabangsa, isu ekonomi atau pengangguran yang menjadi utama tetapi berbeza dengan negara ini. Di sebalik isu-isu lain yang muncul dari masa ke semasa, Islam dan Melayu tetap menjadi isu dominan kedua-dua parti politik di negara ini. Malah kedua-duanya saling mempergunakan isu Melayu dan Islam ini sama ada secara sedar atau sebaliknya.
.
Muzakarah antara Pas dan UMNO bukanlah isu baru. Tetapi isu ini terus dibaharukan dari masa ke semasa kerana Islam dan Melayu mempunyai harga politik yang tinggi bagi kedua-dua parti. Tarik tali antara Pas dan UMNO mengenai muzakarah bukanlah luar biasa, malah sebenarnya tidak perlu dibangkitkan pun kerana titik akhir sudah diketahui iaitu Pas dan UMNO tidak akan mencapai kata sepakat. Tetapi kerana Melayu dan Islam mempunyai harga politik bagi kedua-duanya, isu lapuk ini terus dibahaskan kemudian senyap dan muncul lagi suatu masa nanti.
.
Banyak yang bertanya kenapa UMNO harus melayan kenyataan dari Pas mengenai muzakarah? Bukankah mereka tidak tahu bahawa sudah beberapa kali usaha ini dilakukan tetapi akhirnya tidak mencapai kata sepakat dalam isu Islam dan Melayu? Tetapi itulah politik. Isu yang dicetuskan menjadi kepentingan rakyat khususnya dalam konteks negara ini yang agama rasminya Islam dan Melayu diberi taraf ketuanannya. Sama ada UMNO atau Pas, isu Melayu dan Islam tidak dibahaskan tanpa mengaitkan dengan fahaman politik. Adalah penting bagi kedua-dua parti Melayu ini mengenepikan kepentingan politik seketika untuk membincangkan kemelut yang melanda orang Melayu dan agama Islam.
 .
Melayu dan Islam bukan sahaja digunakan oleh parti Melayu / Islam seperti UMNO dan Pas malah parti majoriti Cina, DAP juga menggunakan isu Melayu dan Islam. Semua tahu bahawa dasar DAP yang tidak tertulis adalah menolak Islam dan kepimpinan tertinggi kalangan bukan Cina. Baru-baru ini Pengerusi DAP Karpal Singh memperjuangkan Perdana Menteri akan datang bukan daripada kalangan Melayu. Isu ini sebenarnya menggelisahkan Pas yang sama-sama berpayung di bawah PR. Tetapi sejak dulu lagi DAP sentiasa menolak gagasan Pas untuk menjadikan Malaysia negara Islam. Bagaimanapun demi kepentingan politik, Pas dan DAP rela duduk bawah payung yang sama.
 .
Sebenarnya Karpal Singh bukan tidak tahu sekalipun Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkan Perdana Menteri terdiri daripada Melayu tetapi untuk memilih bukan Melayu hampir tidak menjadi kenyataan. Ini kerana Malaysia sebuah negara Islam dan menganggotai Persidangan Negara-Negara Islam (OIC). Kalau Perdana Menteri bukan Melayu dan bukan Islam, bagaimanakah kedudukan Perdana Menteri Malaysia di persidangan itu. Karpal Singh menyedari hakikat ini tetapi kerana nilai isu Melayu dan Islam boleh memberi keuntungan politik, Karpal Singh melontarkan isu ini. Setidak-tidaknya boleh menarik perhatian bukan Melayu dan bukan Islam terhadap DAP dalam Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13) tidak lama lagi.
.
Beberapa pihak dalam Pas gelisah dengan lontaran isu oleh Pengerusi DAP itu. Pemimpin tertinggi Pas mengambil sikap berdiam diri daripada memberi sebarang reaksi sekalipun ini bertentangan dengan dasar Pas. Tetapi pemimpin muda di peringkat bawah menyanggah kenyataan Karpal Singh dan tetap memperjuangkan bahawa Perdana Menteri mesti seorang beragama Islam. Isu ini sedikit sebanyak mengeruhkan PR yang awal-awal lagi membayangkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Kenyataan Karpal Singh secara tidak langsung mengenepikan Anwar sebagai Perdana Menteri.
.
Pada masa sama UMNO pula menggunakan isu Perdana Menteri bukan Melayu ini untuk menyerang balas DAP, sebuah parti Cina yang lahir daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura. UMNO menolak sekeras-kerasnya Perdana Menteri bukan Melayu, ini juga sebagai keuntungan  politik kepada UMNO. Maka kelihatan UMNO memperjuangkan kepentingan Melayu apabila menolak Perdana Menteri bukan Melayu. Pas kelihatan sangat tersepit tetapi seperti biasa Pas akan mengalah demi keuntungan politik dengan DAP. Parti Keadilan Rakyat (PKR) muncul sebagai parti pelbagai kaum; Melayu, Cina, India dan sebagainya. Sebagai parti pelbagai kaum, PKR tidak boleh berkata apa-apa mengenai isu Perdana Menteri bukan Melayu sekalipun kenyataan Karpal menafikan Anwar boleh jadi Perdana Menteri.
.
Isu Melayu dan Islam akan terus subur dalam pergolakan politik negara ini. Isu ini tidak akan selesai kerana kecenderungan parti politik bukanlah untuk menyelesaikan. Keutamaan daripada isu ini ialah sejauh manakah ia boleh memberikan keuntungan politik. Pas secara terang-terang bertenggek dia atas nama Islam tetapi demi kepentingan politik Pas tidak berani bertegas dalam isu yang berkaitan Islam. Ini bukanlah suatu yang menghairankan kerana Pas adalah sebuah parti politik bukannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan Islam. Sifat parti politik adalah sama, tidak kira dasarnya kepada bangsa atau agama. Lihatlah bagaimana tolerannya Pas dalam isu serbuan di gereja di Petaling Jaya tidak lama dulu kerana acara memurtadkan Islam. Selangor adalah negeri PR di mana Pas turut mempunyai suara selain PKR dan DAP.
.
Tetapi kerana Pas lebih mementingkan keuntungan politik, Exco agama dari Pas, Hassan Ali yang membangkitkan isu memurtadkan Islam itu dilucutkan jawatan oleh Menteri Besar Khalid Ibrahim dari PKR. Tetapi Pas tidak mempertahankan Hassan Ali kerana bagi Pas mempertahankan Hassan Ali akan merugikan politik PR yang juga ada DAP. Sekali lagi PR menggunakan isu Islam dan Melayu untuk kepentingan politik kepada bukan Melayu dan bukan Islam. Dalam soal lain Pas kelihatan ke depan termasuk melabelkan UMNO dan BN tidak Islamik dalam pentadbiran negara. Tetapi pada isu yang fundalmental seperti murtad ini, Pas tidak menjadi pejuang seperti mereka membelasah UMNO. Kalau Pas tidak memperjuangkan isu yang fundalmental, apakah isu Islam yang mahu diperjuangkan oleh Pas? Bukanlah gagasan negara Islam yang cukup besar itu juga telah beralih arah kepada negara berkebajikan?
.
Dalam BN juga keadaannya tidak jauh berbeza. BN memayungi antara parti induknya UMNO, MCA dan MIC. Ketiga-tiga parti ini berteraskan kaum, sekaligus Islam. Apabila berada di bawah payung BN, UMNO sejak akhir-akhir ini tidak begitu lantang mengenai isu-isu yang ada kepentingan dengan orang Melayu. Bermula era kepimpinan Abdullah Haji Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri,  UMNO kelihatan sangat toleran. Sikap UMNO ini diambil peluang oleh MCA dan MIC memperjuangkan kaum masing-masing. Sekali lagi isu Melayu dan Islam menjadi timbang tara politik dalam BN. Untuk menjaga hati, sebenarnya menjaga undi daripada India dan Cina tidak mengalir kepada DAP dan PKR, UMNO sanggup tidak lantang seperti era kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad.
.
MCA pernah memberi amaran kepada UMNO supaya tidak menjadi “big brother” dalam BN. Ini kerana UMNO sedikit lantang memperjuangkan isu-isu Melayu. Malah bekas Presiden MCA, Ong Tee Kiat menerusi laman blognya mengadakan undi wajarkah MCA terus berada dalam BN. Hasil undian itu ialah MCA tidak perlu terus berada bawah payung perikatan BN.
.
Maka parti politik Melayu seperti UMNO dan Pas mesti melihat isu Melayu dan Islam di luar kepompong politik semata-mata. Apakah salahnya kalau UMNO bermuzakarah dengan Pas dalam isu Melayu dan Islam? Muzakarah bukan bermakna UMNO akan menjadi Pas atau Pas akan menjadi UMNO. Malah muzakarah juga bukanlah menggabungkan UMNO dan Pas. Beberapa pemimpin Pas menjadikan pengalaman lampau Pas di bawah payung Perikatan (kemudian menjadi BN pada 1973) bersama UMNO alasan menolak muzakarah. Sebaliknya Pas dan UMNO mesti fikir tentang pentingnya dalam isu tertentu terutama yang berkaitan Melayu dan Islam, kedua-duanya mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan keadaan.
.
UMNO dan Pas sewajarnya tidak bertentang pendapat mengenai isu Melayu dan Islam. Kedua-dua parti Melayu ini tidak wajar bertelagah di depan khalayak mengenai kedua-dua isu ini. Bertelagahlah mengenai isu lain misalnya memerangi budaya rasuah  dalam kerajaan BN dan isu lain di mana kepentingannya untuk rakyat. Kalau Pas berasa kedudukannya dalam PR tergugat dengan pendirian Islamnya, Pas bukan parti kecil yang harus menggadai prinsip untuk terus berada di bawah PR. Pas tidak memerlukan DAP dan PKR untuk menang banyak kerusi Parlimen dan ADUN. Sebaliknya DAP yang memerlukan Pas untuk menembusi kawasan majoriti Melayu, kononnya undi DAP adalah undi Pas. DAP melihat kepentingan Melayu dalam politiknya. Kalau tidak untuk apakah DAP mahu meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu? Ini membuktikan Melayu dan Islam ada harga yang tinggi dalam politik di negara ini. Persoalannya sejauh manakah harga itu bijak dimanfaatkan supaya kepentingan rakyat tidak dijualbeli oleh kepentingan politik?





No comments:

Post a Comment