Monday, May 7, 2012

UMNO sudah habis modal?


Cara sesetengah pihak dalam UMNO berpolitik kelihatan agak lapuk dan boleh mendatangkan bahaya kepada parti. Ini kerana mereka melakukan serangan terhadap musuh politik tanpa mengambilkira aspek psikologi. Mereka hanya mahu membelasah musuh politik macam orang politik mengangkat parang membelasah orang yang berbeza fahaman politiknya.

Salah satunya mengheret ibu Azmin Ali untuk mendedahkan keburukan Azmin. Kerja begini akan memberikan suatu yang “psikologi terbalik” kepada rakyat di mana keburukan akan dibaca sebaliknya. Tetapi orang UMNO tidak fikir semua ini kerana mereka fikir ini mudah menjatuhkan Azmin.

UMNO jangan tunjuk sudah habis modal begini. Di mana pakar strategi UMNO? Untuk menyerang musuh politik seperti Azmin tidak boleh menggunakan strategi macam orang kampung A menyerang kampung B yang fahaman politik berbeza.

Cara UMNO menggunakan ibu Azmin seolah-olah Azmin masuk Parti Komunis Malaya yang diharamkan oleh kerajaan. Kalau tidak masakan ibu Azmin merayu anaknya “kembali” ke pangkal jalan. Maka kita akan tertanya-tanya adakah PKR bukan parti yang dibenarkan oleh kerajaan?

Adakah selepas ini UMNO akan menggunakan semua ibu ahli atau pemimpin PKR untuk merayu anak-anak mereka “kembali” ke pangkal jalan?  Dalam konteks masuk PKR ini, “pangkal jalan” itu apa sebenarnya? Adakah dengan menyertai UMNO? Kerana itu untuk menyerang Azmin atau pemimpin PKR yang lain memerlukan strategi yang terancang.

Satu Malaya sudah tahu bahawa keluarga itu ada masalah. Azmin, Azwan dan Umi Hafilda bukan orang tidak tahu masalah mereka. Kini ibu Azmin pun jadi sama juga apabila menyelesaikan masalah keluarga di depan umum. Harap UMNO cari strategi yang lebih bijak untuk mendepani musuh politik dan rakyat yang kritis pemikiran mereka walaupun tidak pasti benar.

Dalam politik benar atau tidak adalah soal kedua atau ketiga. Soal yang utama bagaimana untuk menyakinkan dan membuat rakyat percaya. Sebab itu kena guna pendekatan psikologi. Kalau setakat jaja kita sahaja yang benar, orang lain pun kata mereka benar juga.

No comments:

Post a Comment