Monday, May 14, 2012

UMNO dinamik dan tetap relevan


APABILA Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun kecundang dalam pilihan raya umum 2009, ada pihak cuba menyamakan LDP dengan UMNO. Ini kerana LDP menerajui Jepun sejak 1955 hingga 2009 walaupun pernah tewas selama 11 bulan pada tahun 1993. UMNO pula ditubuhkan tahun 1946 dan terus berkuasa hingga kini.

LDP bertanggungjawab mengubah Jepun daripada padang jarak padang tekukur akibat bom atom di Hiroshima dan Nagasaki semasa Perang Dunia Kedua. Tetapi pada 2009 LDP ditolak oleh rakyat dan memilih parti pembangkang, Parti Demokratik. Ada pihak cuba menyamakan Parti Demokrat itu dengan pembangkang di negara ini.

Sebenarnya menyamakan UMNO dengan LDP adalah sudut pandangan yang dangkal. Ini satu provokasi murahan tanpa bertolak dari hujah matang. Seolah-olah apabila sesebuah parti itu melepasi usia setengah abad ia mesti digantikan dengan parti lain. Hujah ini tidak boleh dipakai sama sekali.

LDP menerima nasib malang kerana faktor-faktor yang tidak sama dengan masalah UMNO yang terjejas dalam Pilihan Raya Umum 12 tahun 2008. Salah satunya LDP tidak mendengar suara rakyat meminta perubahan. LDP menjadi begitu elit dan angkuh apabila memegang gergasi-gergasi korporat sebagai peti wangnya.

Tetapi UMNO sentiasa berubah dan menerima kritikan. Buktinya Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri pernah secara terbuka meminta maaf kepada rakyat dan berjanji akan membuat perubahan. Mengakui kesilapan adalah satu kekuatan dan itu tidak ada pada LDP.

Jumaat lalu genaplah usia UMNO 66 tahun. Sambutan ulang tahun itu dibuat dalam suasana meriah dan bersemangat. Dianggarkan lebih 100,000 ahli UMNO telah “memerah-putihkan" Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Kemeriahan bukanlah penanda aras kekuatan UMNO. Tetapi ulang tahun UMNO kali ini mempunyai signifikan besar kerana PRU 13 dijangka diadakan tahun ini. Walaupun begitu perhimpunan lebih 100,000 orang itu sebenarnya adalah isyarat UMNO bersedia untuk menghadapi PRU 13.

PRU ini penting kerana menjadi tumpuan untuk melihat pencapaian yang dibuat UMNO selepas menerima isyarat rakyat dalam PRU 12.

Kalau diteliti, perubahan yang dibuat UMNO sangat ketara berbanding sebelum 2008. Perubahan ini bukan sahaja secara fizikal malah semangat dan iltizam untuk kembali kepada teras memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dalam konteks negara pelbagai kaum tanpa menafikan hak kaum lain.

Kerana itu UMNO mesti berjaya dalam PRU 13 untuk terus membangunkan negara. Walaupun teori politik menegaskan pilihan raya dengan membangunkan negara adalah dua perkara berbeza. Tetapi bagi UMNO, parti ini telah berjaya dalam kedua-duanya. Adalah suatu yang sangat malang sekiranya rakyat memilih parti yang hanya mahu berjaya dalam pilihan raya.

Apabila menginjak usia 66 tahun, ada pula mempersoalkan apakah UMNO masih relevan? Tetapi hakikatnya relevan atau tidak sesebuah parti kepada rakyat dan negara tidak disukat pada usia. Sebuah parti yang dinamik akan terus relevan dengan sosiopolitik semasa biar berapa puluh tahun usianya.

Dinamisme adalah faktor sangat penting untuk UMNO meneruskan kelangsungan. Ciri-ciri dinamiklah yang meletakkan perjuangan parti pada landasan betul dan tepat kepada sasaran. UMNO berada pada kedudukan ini. Buktinya selepas melepasi satu demi satu pilihan raya umum, UMNO terus relevan dengan zaman. Walaupun perpecahan UMNO dikatakan berlaku pada 1999 selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi UMNO terus diberi keyakinan untuk berkuasa.

Kita kena terima hakikat bahawa perjuangan UMNO semasa ditubuhkan pada 1946 dulu pada era Dato’ Onn jauh berbeza dengan UMNO pada era Najib. Sosiopolitik berubah dan laras perjuangan UMNO juga turut berubah, dari memperjuangkan kemerdekaan beralih kepada mempertingkatkan ekonomi orang Melayu dan kini memperkukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Sesebuah parti politik tidak menjadi kuat dan relevan hanya dengan sejarah yang panjang. Dalam konteks UMNO, sejarah tidak begitu menyumbang. Sejarah memang penting kerana ia adalah cermin menoleh masa silam dan juga obor menyuluh masa depan. Tetapi hakikat penanda aras UMNO adalah pencapaian semasanya.

UMNO yang terus mempertahankan keutuhan hingga kini bukanlah menumpang sejarahnya yang besar. Sebaliknya UMNO terus mencipta sejarah. Misalnya UMNO pada era Tun Dr. Mahathir mencipta sejarah kebangkitan dan menjadi rujukan. Ibu bukan kerana hampir separuh dari usia UMNO berada pada era kepimpinan Dr. Mahathir tetapi UMNO menonjol dalam perikatan Barisan Nasional (BN). Dr. Mahathir juga berjaya mengekalkan taraf de fecto UMNO dalam BN dan kerajaan. Tidak timbul soal UMNO mahu mengatasi MCA atau MIC.

Walaupun UMNO tidak akan menerima nasib seperti LDP, tetapi dalam beberapa perkara UMNO perlu mengambil iktibar daripadanya. LDP tersingkir kerana ia terlalu berkuasa. Apabila terlalu berkuasa, ia boleh menukarkan parti bersifat rakyat kepada elit. Kerana elit dan kuasa ekonomi yang dipegang itulah LDP tidak menghiraukan rakyat yang tertekan dengan krisis ekonomi.

Tetapi pendekatan UMNO yang realistik dengan perubahan masa mendekati generasi muda sangat menyakinkan UMNO tidak akan menjejaki nasib malang LDP. Perubahan sosiopolitik dalam masyarakat khususnya peningkatan penembusan maklumat perlu diambilkira oleh UMNO untuk terus kukuh. Pembudayaan politik kalangan generasi hari ini jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Pada era perang maklumat dengan wujudnya teknologi maklumat terkini, generasi Y sekarang ini terdedah kepada terlalu banyak maklumat, tidak kira sahih atau palsu. Pembudayaan politik generasi Y dibentuk oleh maklumat yang berada di hujung jari mereka. Mereka berada dalam komuniti maya yang sangat besar pengaruhnya. Sudah tentu keterlibatan mereka tidak boleh diketepikan atau diperkecilkan.

Inilah cara terbaik meremajakan UMNO. Maknanya UMNO mesti menawan generasi muda dan propaganda parti juga perlu menepati jiwa dan alam pemikiran mereka yang diluaskan oleh perang maklumat. Mereka berfikiran kritis dan UMNO juga mesti kreatif untuk terus berjaya.

Seperkara lagi yang mesti diberi keutamaan ialah rasuah. Ini kerana adalah barah paling bahaya kepada parti politik yang berada di tampuk kuasa. Rasuah datang bersama kuasa. Kesungguhan UMNO memerangi rasuah sangat ketara. Tindakan tegas yang dikenakan kepada perasuah politik adalah bukti jelas parti ini memerangi rasuah, sama ada dalam parti mahupun kerajaan. Ketegasan ini menuntut kelangsungan dan pesalah rasuah tidak boleh dilibatkan dengan apa sahaja yang ada kaitan dengan UMNO dan kerajaan. Sebabnya kerajaan pada persepsi rakyat adalah UMNO dan UMNO itu kerajaan.

No comments:

Post a Comment