Sunday, April 15, 2012

Terengganu dan pelestarian budaya

TANPA riuh seperti umpama ayam yang telor sebiji riuh sekampung, Terengganu mempunyai cara tersendiri untuk menyerlahkan seni dan budaya Melayu serta melestarikan keunggulan Islam di negeri itu. Ketika desakan supaya papan tanda dan nama bangunan dalam bahasa Melayu, Terengganu melangkah setapak ke depan. Bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu di papan tanda malah memberi kedudukan istimewa tulisan jawi termasuk di papan iklan di seluruh Terengganu.

Kepada mereka yang pernah bertandang ke negeri ini, tentunya dapat merasai kelainan apabila tulisan jawi begitu dominan di papan iklan. Bukan sahaja bertulisan jawi malah gambar model wanita di papan iklan juga bertudung. Misalnya pelakon Rozita Che Wan selalu "diseksikan", di papan iklan di Terengganu dia sopan dan bertudung litup.

Semua ini menunjukkan Terengganu bukanlah sekadar keropok lekor atau kain sutera di Pasar Payang sahaja. Terengganu jauh ke depan dari aspek pelestarian budaya dan agama. Tanpa riuh dengan slogan "Membangun Bersama Islam" atau "Kota Bahru Bandar Raya Islam" seperti dilaungkan di Kelantan, Terengganu melakukan pelestarian sejak dulu lagi sudah tentu tidak ada kena mengena dengan politik semasa.

Di Kuala Lumpur atau bandar-bandar lain di Selangor misalnya, perlaksanaan undang-undang kecil menjurus kepada memartabatkan bahasa Melayu sangat rendah. Undang-undang memang ada tetapi kalau tidak ikut pun tidak mengapa. Nama-nama bangunan atau nama premis perniagaan berselang seli dengan bahasa Inggeris atau Perancis. Alasannya nama Melayu tidak ada nilai dagang di Kuala Lumpur. Dalam undang-undang kecil, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh diambil tindakan tetapi dibiarkan begitu sahaja.

Kenapa di Terengganu tulisan jawi boleh digunakan di papan iklan tetapi di tempat lain seolah-olah tidak boleh? Kenapa Terengganu boleh menguatkuasakan peraturan menghalang apa sahaja yang bertentangan dengan Islam tetapi di tempat lain tidak boleh? Walaupun bukan diterajui Pas, Terengganu melarang pertunjukkan konsert artis lelaki dan perempuan. Ini membuktikan bukan negeri Pas saja yang Islamik.

Larangan ini sebenarnya sesuai dengan tamadun Islam yang dimiliki Terengganu. Semua pihak menghormati larangan ini kerana ia bukan membawa maksud kolot atau anti kemodenan. Buktinya konsert Jom Heboh yang selalunya sendat dengan hiburan hedonisme tetapi di Kuala Terengganu kelihatan tertib dan tidak segan untuk disaksikan "oleh seisi keluarga."

Ini bukan faktor Pas. Sebabnya Pas hanya menerajui negeri ini hanya satu penggal sahaja dan selebihnya oleh Barisan Nasional (BN) dan sebelum itu Perikatan. Ini faktor asas yang dibina oleh pemimpin terdahulu terlalu kuat untuk digoyah atas alasan kepentingan politik mana-mana pihak sekalipun.

Kerana itu Terengganu boleh dirujuk hal-hal yang berkaitan dengan citra seni dan budaya Melayu serta keunggulan Islam. Perlaksanaan dilakukan tanpa riuh rendah penuh retorik. Sebabnya ia keperluan rakyat bukan kepentingan politik.

Di pusat bandar Kuala Terengganu, majoriti premis perniagaan adalah milik orang Melayu. Dengan menggunakan tulisan jawi dan bahasa Melayu, terasa semacam satu keanehan apabila banyak bandar-bandar besar di tempat lain dimonopoli oleh bukan Melayu. Tanpa mengenepikan kaum lain, di Kuala Terengganu ada sebuah penempatan Cina yang dipanggil Kampung Cina.

Penempatan ini lebih kurang seperti Jalan Petaling di Kuala Lumpur tetapi jauh lebih terjaga citra budayanya oleh PBT. Hasilnya Kampung Cina adalah salah satu tempat tumpuan pelancong terutama dari China untuk melihat ciri-ciri seni dan budaya Cina yang terpelihara di negeri tersebut. Ia berbeza dengan Pekan Cina Jalan Petaling yang lebih cauvinis Cina sifatnya.

Kuala Terengganu bebas sama sekali dari rumah urut, pusat hiburan atau pusat judi. Semua ini tidak "dihalalkan" dalam erti kata dilesenkan seperti di negeri-negeri lain terutama Kuala Lumpur dan Selangor. Kenapa Terengganu boleh tetapi negeri lain kelihatan sangat liat untuk membanteras segala rumah urut dan pusat judi? Sebenarnya semua ini terletak kepada iltizam pemimpin sama ada mahu atau tidak mahu atau buat ala kadar sahaja seperti berseleraknya rumah urut di Selangor.

No comments:

Post a Comment