Monday, April 9, 2012

Seorang Tua Di Kaki Gunung

Petang ini selepas 30 tahun saya membaca kembali novel Seorang Tua Di Kaki Gunung karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Novel ini saya beli daripada rakan saya wartawan Berita Harian, Nazmy Yaakob semasa acara baca puisi di Rumah Pena Jumaat lalu (6 April 2012). Sudah lama saya mencari kembali novel-novel lama terutama terbitan DBP tetapi sukar ditemui.

Pertama kali membaca pada 1982 ketika saya masih remaja dan tidak mampu lagi membaca subtext kecuali cerita di lapisan permukaannya sahaja. Tetapi petang ini saya habis membaca dan nikmatnya ternyata jauh lebih tinggi kerana melihat dari sudut pandangan yang berbeza berbanding masa remaja dulu.

Sangat terasa alam yang diperhalusi menerusi tulisan oleh Azizi. Kehidupan di kaki gunung menjadi watak penting kepada novel ini selain Tokya dan Mak Besah. Terasa kedinginan angin dari gunung dan pagi berkabus yang menyelubungi teratak Tokya.

Novel ini pernah diadaptasi menjadi drama televisyen kira-kira lebih sepuluh tahun lalu. Watak Tokya dilakon oleh Tamam Idris tetapi yang lain saya tak berapa ingat. Malangnya drama itu tidak mengangkat perwatakan alam semulajadi yang digambarkan Azizi. Sebaliknya lebih kepada jurang generasi antara Tokya dengan anaknya Fikri.

Saya membayangkan alangkah menariknya kalau ada penerbit filem yang mahu melabur dan pengarah filem yang boleh membaca subtext novel ini mengadaptasi menjadi filem. Daripada mengadaptasi novel-novel murahan sekalipun ada potensi menjadi filem popular, Seorang Tua Di Kaki Gunung adalah cabaran kepada siapa yang mahu mengarahnya.

Tetapi saya tidak fikir ada penerbit yang berminat dengan novel ini kerana banyak sebab, antaranya tidak sensasi, tidak ada lokasi kolam renang untuk mereka “membogelkan” pelakon wanita, tidak ada babak cinta macam Ombak Rindu dan akhir sekali tidak ada watak untuk menonjolkan pelakon wanita cantik jelita.

Kalau diadaptasi sekalipun novel ini tidak memberi peluang kepada pengarah untuk “melacurkan” pelakon wanita dengan babak ranjang. Tidak tahulah kalau watak Tokya dan Mak Besah berusia lebih 70 tahun itu diberi babak ranjang. Semuanya boleh berlaku kerana banyak otak pengarah dan penerbit filem kita telah dimasuki selut.

9 comments:

  1. semasa mencari untuk jual kembali, sayan jumpa banyak novel ini, tetapi tak membelinya kerana novel ini masih baru dan sudah ramai membacanya. Demikian kumpulan cerpen Latifah rabaniah, masih banyak.

    ReplyDelete
  2. baru tau yg sebenarnye crite seorang tua di kaki gunung ni cerita kisah benar bapa bos sy. td baru dia borak2 bgtau sume. sy sbg generasi baru xpenah lagi bace buku ni..

    ReplyDelete
  3. Pertama kali bace novel ni .. terus jatuh hati dengan novel ini ...ia dapat membangkitkan suasana yang realistik terhadap pembace nye ...

    ReplyDelete
  4. Pertama kali bace novel ni .. terus jatuh hati dengan novel ini ...ia dapat membangkitkan suasana yang realistik terhadap pembace nye ...

    ReplyDelete
  5. Novel ni meningalkan kesan yang dalam kepada pembace ... sangat realistik .. saye bace tiga kali..masih tidak puas..

    ReplyDelete
  6. Novel ni meningalkan kesan yang dalam kepada pembace ... sangat realistik .. saye bace tiga kali..masih tidak puas..

    ReplyDelete