Wednesday, April 25, 2012

Saya, rakan-rakan dan Pak Samad

Tulisan saya dalam buku Pak Samad Di Mata Kami terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengenai Sasterawan Negara A. Samad Said mengundang rasa kurang senang kalangan rakan-rakan penyokong tegar UMNO dan pembangkang.

Apabila semakin hampir dengan pilihan raya umum, penyokong tegar parti akan bermimpi atau melatah hal-hal parti sahaja. Mereka menterjemah semua perkara dalam erti kata politik semata-mata.

Saya antara 30 orang yang diundang menulis oleh Rahimidin Zahari yang menyelenggara buku ini. Ia sebagai apresiasi terhadap Pak Samad sebagai sasterawan besar sempena ulang tahun kelahiran ke 77 pada 9 April lalu.

Saya menulis mengenai pengalaman mengikuti kerjaya Pak Samad hinggalah menjadi antara rakan bualnya di Pasar Budaya. Dalam tulisan itu juga saya meluahkan kekecewaan apabila Pak Samad menjadi teraju perhimpunan haram Bersih 9 Julai tahun lalu.

Bagi saya Pak Samad tidak wajar berada di situ yang pentasnya telah dikotori politik. Saya fikir saya wajar menyuarakan demikian. Saya tidak pasti apa reaksi Pak Samad tetapi saya percaya Pak Samad dapat menerima sekalipun tidak setuju.

Bagi rakan kalangan penyokong tegar UMNO mereka bertanya kenapa saya menulis yang baik-baik tentang Pak Samad yang telah menyokong pembangkang? Mereka tidak melihat dunia kesusasteraan yang lebih tebal membaluti Pak Samad berbanding politik.

Anehnya mereka juga tidak membaca teguran dan kekecewaan saya apabila Pak Samad sertai perhimpunan Bersih itu. Saya tegaskan, setiap orang bebas menganuti fahaman politik masing-masing asalkan yang tidak diharamkan oleh undang-undang.

Tetapi bagi mereka tulisan yang baik-baik tentang tokoh bukan UMNO akan memberi pengiktirafan dan sokongan kepada pembangkang. Ironinya mereka tidak mengenali Pak Samad sebagai sasterawan kerana imej politik lebih tebal dan sering dikaburi persepsi.

Sementara rakan-rakan kalangan penyokong tegar pembangkang pula kecewa kerana saya mengkritik penglibatan Pak Samad dalam Bersih. Kata mereka, sepatutnya saya berfikiran terbuka dan menerima itu sebagai satu perjuangan Pak Samad untuk mendemokrasikan sistem pilihan raya kita.

Sebenarnya ayat-ayat yang mereka hamburkan itu sangat klise dan mengulang kata-kata pemimpin mereka yang tidak ditapis oleh kewarasan.

Disebabkan saya bukanlah orang yang menutup kewarasan terhadap percanggahan fahaman politik, tindakan mereka sedikit pun tidak menyinggung perasaan. Biarlah Pas atau UMNO, semuanya kawan.

Cuma pengalaman ini memberitahu saya tentang kefahaman politik yang sempit menguasai sebahagian besar daripada kita. Walaupun tulisan saya itu saksama rupa-rupanya tuntutan politik bukanlah kesaksamaan tetapi berat sebelah. Ini pengajaran baru kepada saya.


No comments:

Post a Comment