Tuesday, April 10, 2012

Pengaruh seorang Pramoedya

TETRALOGI Buru karya Pramoedya Ananta Toer semasa menjalani tahanan tanpa bicara di Pulau Buru adalah sejarah penting abad ke-20 di Nusantara. Empat karya dalam tetralogi ini dibahaskan oleh para sarjana di seluruh dunia. Empat karya fiksyen sejarah itu ialah Bumi Manusia (1980), Anak Semua Bangsa (1980), Rumah Kaca (1988) dan Jejak Langkah (1985).

Tetralogi ini menjadi hasil terbesar lagi berpengaruh untuk menguak sejarah kesusasteraan sebuah bangsa di Asia Tenggara pada abad ke-20 dengan segala macam kompleksiti.

Sumbangan besar tetralogi Buru kepada kesusasteraan adalah seluruh sejarah Indonesia dan kehidupan Pramoedya dituangkan di situ. Malah kesusasteraan juga yang menghantar Pramoedya sebagai ikon sejarah sosial yang penting pada abad lalu apabila haknya sebagai manusia diambil secara yang amat biadab.

Tanpa diberi hak untuk mendapat pengadilan, dia dihumban dalam tahanan selama tiga dekad. Tetapi berakhir era kekuasaan Order Baru Suharto, hukuman terhadap Pramoedya diringankan. Dari tahanan di Pulau Buru, Pramoedya ditahan di rumah. Demikianlah seorang tua hanya berbekal pena dan kertas menjadi manusia yang kononnya paling bahaya kepada negara.

Biar pun tetralogi Buru membawa kesusasteraan Indonesia menyeberangi sempadan politik dan geografi dunia, di negara sendiri karya itu diharamkan era Suharto. Penulisnya menghabiskan tiga dekad usia di dalam buangan. Hadiah itu sangat berharga. Semuanya tidak lain kerana novel-novel Pramoedya yang sangat berpengaruh dan dibimbangi membuka pemikiran rakyat untuk bangun bertanya tentang hak mereka. Lalu sasterawan ini cukup bahaya kepada `bangsa dan negara'.

Order Baru memusuhi orang cerdik pandai dan sastera adalah antara wadah yang boleh mencerdik serta membuka tempurung kejumudan yang diserkup ke kepala rakyat. Selepas jatuhnya Suharto di tangan anak-anak muda, hukuman tanpa bicara terhadap Pramoedya terbubar. Dengan derita sebagai manusia buangan yang tidak tergambar, sastera terus mendampingi Pramoedya.

Suharto melabelkan Pramoedya sebagai penganut Marxisme dan Leninisme. Apa lagi beliau orang kuat Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) yang awal- awal lagi dikatakan wadah komunisme pada zaman rejim Sukarno. Rupa-rupanya sastera dan sasterawan juga ditakuti. Tanpa pengaruh kesusasteraan, Pramoedya barangkali tidak begitu digeruni sekali gus menjadi penyebab penyiksaan yang diwajarkan di Pulau Buru.

Sebahagian daripada warga di negara ini mengenali Pramoedya menerusi Keluarga Gerilya. Inilah novel yang suatu ketika dulu menjadi teks sastera di sekolah menengah di negara ini. Pemikiran dan perjuangan dikaji baik dari pendekatan formalisme, strukturisme atau semiotik. Tetapi Keluarga Gerilya hanya cacatan kecil berbanding sekian banyak novel selepas itu terutama tetralogi Buru.

Abad ke-20 di Indonesia terbukti mencatatkan pengaruh sastera telah diperakui status kekuatannya dalam masyarakat. Sasterawan diperhatikan gerak geri, nada suara dan patah bicara. Nah, dalam ketidakyakinan terhadap sastera, ini tentunya suatu yang paling menggembirakan apabila Order Baru prihatin terhadap liuk lintuk sastera.

Sastera juga ada pengaruh yang luar biasa dalam peralihan Order Lama Sukarno kepada Order Baru. Kerana itu Asia Tenggara wajar berbangga mempunyai seorang `Pramoedya' yang terus percaya kepada prinsipnya sejak tiga dekad lalu. Ternyata bagi seorang sasterawan, hukuman seberat di Pulau Buru bukanlah alasan untuk dia mengubah prinsipnya.

Sasterawan Ernest Hemingway dalam novel Old Man And The Sea menulis; manusia boleh dibunuh tetapi tidak mungkin dapat dihancurkan pengaruhnya. Pramoedya membuktikan kata-kata itu.


No comments:

Post a Comment