Wednesday, April 4, 2012

Pengajaran untuk Adam Adli

(Petikan Malaysiakini)

KUALA LUMPUR, 3 April — Aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim ditumbuk oleh individu yang didakwanya sebagai ahli Umno, manakala rakannya, ditahan pihak polis ketika mereka melawat ke flat PKNS Kampung Kerinchi di sini ekoran pihak berkuasa tempatan (PBT) mahu merobohkan kediaman penduduk di sana.

Adam yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, ketika kejadian, dia beserta 12 rakan mahasiswanya pergi ke kampung berkenaan dan ketika menuruni tangga pangsapuri empat tingkat itu selepas menenangkan keluarga salah seorang penduduk yang merayu agar PBT tidak memusnahkan rumah mereka, dia ditumbuk di mata, oleh individu yang dipercayai penduduk setempat, dan juga ahli Umno kawasan berkenaan.

“Saya naik ke tingkat atas untuk melihat keadaan seorang penduduk yang merayu kepada PBT agar tidak merobohkan kediaman mereka, tetapi kemudiannya ketika menuruni tangga, saya ditumbuk. Saya percaya dia penduduk tempatan kerana masyarakat setempat mengenalinya,” jelas Adam. Adam mengalami kecederaan di mata dan bahagian bibir.

Sementara itu, rakan kepada Adam, Ekhsan Bukhari, saksi kejadian tersebut, telah dibawa ke Balai Polis Jalan Pantai Baharu ketika kekecohan tersebut berlaku.

Menurut Peguam ‘Lawyer for Liberty’ (LFL) Fadiah Nadwa Fikri yang dihubungi The Malaysian Insider, pihaknya bergegas ke balai polis berkenaan sebaik sahaja menerima berita tersebut.

“Ketika kekecohan tersebut berlaku, Ekhsan telah dibawa ke balai polis, sedangkan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan, tetapi individu yang menumbuk Adam tidak dikenakan sebarang tindakan, sebaliknya menghilangkan diri,” katanya meluahkan kekesalan.

Tambah Fadiah, Ekhsan yang ditahan pada jam 11 pagi bagaimanapun dibebaskan sejam kemudian, manakala Adam ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi melengkapkan laporan polis.

Adam sebelum ini menerima kecaman daripada pelbagai pihak kerana telah menurunkan poster tertera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di bangunan pejabat Umno Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sewaktu demonstrasi mahasiswa menuntut kebebasan akademik.

Komen saya:

Pertama, untuk apa si mamat bernama Adam Adli ini berada di situ? Itu bukan tempat tinggal dia dan dia tidak kena mengena dengan rundingan itu. Jadi, orang yang tidak ada kena mengena adalah pengacau atau pengasut yang bukan mahu mencari penyelesaian tetapi menambah kekusutan.

Kedua, bagaimana Adam Adli tahu yang memukulnya adalah orang UMNO? Apakah maksud orang UMNO? Adakah menyokong kerajaan itu orang UMNO? Setahu saya orang UMNO, Pas malah komunis sekalipun tidak ada di dahi mereka bertulis parti yang dianggotai.

Ketiga, kalau tidak tahan dengan halangan dan rintangan tidak usahlah masuk campur kerja orang tua-tua. Belajar dulu hingga tamat. Orang beginilah yang merosakkan imej mahasiswa padahal bukan sebenarnya berstatus mahasiswa. Kalau kena belasah sikit dah heboh satu kampung, lebih baik balik rumah masuk dalam selimut saja.

Keempat, berita di atas adalah versi Malaysiakini yang terkenal dengan manipulasi berita. Dalam berita ini seolah-olah Adam Adli menjadi wira yang melindungi penghuni flat itu dari dizalimi kerajaan. Kena tanya Malaysiakini kena mereka memilih membesarkan berita Adam “dikasari” padahal dia memang pengacau.

Kelima, tahniah kepada orang yang membelasah pengacau yang membantutkan proses rundingan di flat Kampung Kerinchi itu.

No comments:

Post a Comment